29 April 2020

Bukan Untuk Aku Tapi Dia

Assalamualaikum warahmatullah... Engkau ni pekerja kilang atau swasta ke? Semua rakyat Malaysia dan bukan rakyat Malaysia yg berada di Malaysia kena taat PKP. Tiada yang terkecuali. Engkau tu kakitangan kerajaan negeri Xxx. Yang kau tak taat PKP apehal. Setiap khutbah Jumaat khatib membacakan wahai orang2 yg beriman, taatlah kepada Allah dan rasulnya dan ulil amri (orang yg berkuasa di kalangan kamu)... Dalam Islam, semua kena taat pada pemerintah.. yang kau tak taat apehal? Ada sekatan ke takde sekatan jalan raya, kita kena taat. Baru2 ini timbalan menteri kesihatan.. ada orang complaint dia tak patuh PKP. Pihak polis panggil dia. Pendek cerita, dia mengakui kesalahannya di mahkamah dan kena denda RM1000. Engkau siapa? Engkau PM? Atau engkau anak raja.. engkau tak taat pada pemerintah, kau derhaka. Ingat, engkau kakitangan kerajaan, kena taatlah kepada pemerintah. Jangan sekali-kali nak jadi hero Tamil ke, hero Hindustan ke. Jangan nak jadi orang yg tolol dan bahalul. Baru2 ini di Sabah, satu keluarga kena tangkap sebab nak hadir majlis hari jadi kawan dia. Taktau la kawan mak bapak dia ke kawan anak dia. Sabit kesalahan, sorang kena denda RM800. Satu lagi, dia ada di dalam akta perundangan, kakitangan kerajaan atau orang yg pencen macam abah, kalau sampai sabit kesalahan, tiba2 dijatuhkan hukuman penjara, walaupun sehari, ia akan dipecat dan orang yg mcm abah ni akan hilang pencennya iaini pencennya ditamatkan serta merta. Sebab itu jangan cuba nak belagak dan jangan cuba main2. Masa ini kan semua tak kerja, semua keperluan barangan, apa salahnya Xxx yg pergi beli. kalau Xxx taknak, engkau pergi beli. Tempat kau mungkin takde sekatan jalan raya, tetapi kalau ada sekatan, kau akan kena tangkap. Dah la kena pergi mahkamah, engkau orang akan didenda RM1000 seorang dan anak kau mungkin didenda RM500 seorang. Ingat, kita bukannya orang kaya. Satu lagi perkara, kereta Xxx tu masih nama abah... Pernah Xxx suami xxx bagitahu abah kalau kereta tu ada kes polis, kemudian dalam masa setahun tak diselesaikan, abah boleh dihilangkan pencen. sebab itu abah minta tolong kereta itu dijaga dgn betul2, kalau ada kes polis/saman polis, cepat2 selesaikan. Kalau tidak, sabit kesalahan sehingga tak selesaikan, abah boleh kehilangan pencen iaitu pencen abah dihentikan serta merta. Ingat, kakitangan kerajaan dan juga bekas kakitangan kerajaan kena taat pada pemerintah. Sekian, terima kasih.

24 April 2020

I am Back! Welcome No 4.

Assalamualaikum,,,

   Pertama sekali selamat berpuasa di bulan Ramadan 1441. Hari pertama puasa ni tapi aku tak dapat puasa. InsyaAllah 4 Ramadan baru aku dapat berpuasa. Punya lah lama tak update blog berbulan-bulan. Tak sempat oiii. Idea ada tapi masa tak ada. Aku rangkum semua update dalam satu entri je lah maybe agak panjang macam cerpen dan novel hahahahaha.

#Chapter 1 : Pasca Bersalin Anak Keempat
    Now dah 58 hari dah umur baby. Cerita ringkasnya masa check up rutin KK. Masa tu dah 37w3d. Nurse offer nak cek jalan tak sebab dah 37w+ ni. Anak2 sebelum ni semua bersalin awal tak lebih 37w. Aku pun ok je lah. Guess what bila cek dah 3cm bukaan huhuh. Tapi memang tak ada turun tanda lagi. Contraction pun tak ada. So misi advice balik rumah dulu, kalau ada contraction sikit2 pun terus ke hospital. Fyi hospital agak jauh ye dalam sejam perjalanan naik kereta. Kalau dah sakit kuat baru nak ke hospital alamat terbersalin dalam kereta lagi haru.

     So balik rumah dulu. Solat. Kemas2 baju2 bebudak ni. Nak stay rumah Sarah dulu satu malam. So  pendek cerita dah sampai rumah Sarah lepak2 tunggu tanda tapi tak kunjung tiba hahahaha. Esoknya decide pergi je lah hospital. Dah sampai hospital lepas ve apa semua, aku terus warded. Tak payah balik rumah pantau kat hospital je kot2 sakit dah senang memang ada kat hospital. Zauji dan anak2 pulang ke Tenggaroh. Petang buat ctg. Jantung baby semua ok. Contraction memang tak ada.

    Hari kedua di hospital (Rabu) pun masih tak ada progress. Masih 3cm. Contraction light2 je. Petang zauji datang melawat dengan anak2.

    Hari ketiga. Jam 11 pagi dah mula ada contraction yang agak kuat. Aku pun bagitau nurse. Ve dan masih 3cm juga. Suruh balik wad dulu. Ok lah. Nak makan pun tak selera minum air soya gedegang je. Dalam pukul 4.00 petang dah makin kuat contraction dan rasa macam keluar sesuatu. Aku ingat air ketuban tapi bila cek kat bilik air rupanya darah macam fresh macam darah haid yang heavy tu. Ohoi aku dah cuak. Aku mandi tukar pad semua pastu terus bagitau nurse dan masuk LR. Dia cek jalan dah 10cm ok tapi ketuban tak pecah lagi so dia assume belum sampai masa nak bersalin. Padahal aku dah sakit gila bila contraction yang kuat tu datang. Lepas pasang alat ctg aku ditinggalkan seorang dalam LR. Aku pun positive yelah belum lagi lah agaknya. Setiap kali kontraksi yang kuat gila tu datang aku kepit kaki. Seksanya oii teringat masa beranak Aqil dulu tahan dan kepit masa dalam kereta otw ke HSI. Yang kali ni setiap kali contraction kuat aku terasa air keluar. Tapi bukan air ketuban ye. Darah. Ini ke yang orang kata 'kembar darah' aku pun tak tau lah. Serius sakit sangat2.

    Aku dah nekad. Contraction datang je aku akan terus teran kuat2 walaupun tak ada nurse dalam LR. Aku tunggu habis azan Asar. Habis azan aku dah standby apa yang patut. Oh ye sebelum tu aku raba2 memang dah rasa kepala baby kat hujung sangat tapi masih dalam karung air ketuban licin je.
Contraction datang, here we go dengan lafaz Bismillah aku teran sekuat hati. Kepala dah keluar aku teran sekali lagi. Alhamdulillah baby laju meluncur keluar serentak dengan air ketuban. Yess aku melihat dengan jelas. Baby pun menangis kuat dan barulah nurse tiga orang masuk LR. Legaaa. Hebat tak hebat bersalin sendiri tak ada orang sambut baby. Keluar dah seketul baby boy berat 3.24kg jam 4.38 petang. Khamis 27 February 2020 (edd 14 Mac).

    Zauji dan anak2 sampai masa aku dah keluar LR tunggu nurse cucuk vaksin hepatitis kat baby. Pastu sorong aku masuk wad. Tak lama tu Sarah datang dengan anak2 dia. Pendek cerita aku discaj esoknya (Jumaat).

Hmm time aku semangat nak menulis time tu lah bateri low hek eleh betul la. Ok lah sambung lain kali.

20 October 2019

Inikah Namanya Janji Dicapati?

Assalamualaikum.

   Wo wo wo. Tajuk boleh bikin kontroversi ni, jangan main-main. Dah ke arah politik ni. Jeng jeng jeng. Ya, sejujurnya memang berkaitan. Marilah kita kupas.

    Masih ingatkah anda dengan salah satu manifesto PH semasa kempen pilihanraya umum dulu yang pasal caruman kwsp untuk surirumah? Yang katanya semua surirumah akan dapat caruman daripada kerajaan walaupun tak bekerja. Waktu itu ramai teruja. Aku? Ya teruja juga tapi betul kah ini? Benarkah akan direalisasikan kalau PH menang?

    Takdirnya PH pun menang. Tapi aku takde ambil pusing sangat pasal caruman kwsp untuk surirumah itu atau nama lainnya i-suri. Ada lah juga baca sikit-sikit. Bila kaji-kaji konon nak daftar, eh ada syaratlah. Kena daftar e-kasih dulu. Apa dia tu? Aku pun tak pernah dengar. Baca komen-komen ramai surirumah yang hampa bila pergi kwsp konon untuk buat i-suri dengan harapan dapatlah caruman dari kerajaan setiap bulan tapi rupanya tak layak? Ya, e-kasih hanya untuk yang pendapatan suami bawah RM1000 ke macam tu. Ada yang berulang kali naik turun pejabat kwsp namun akhirnya hampa juga tak dapat apa yang diinginkan. Nasib baik aku tak beria sangat, hahaha. Just cuba untuk daftar online je. Tak ada lah sampai nak ke cawangan kwsp bagai. Biasanya yang rajin naik pejabat ni orang kampung atau yang tak tahu sangat kemudahan internet, tak pandai guna online.

    Beberapa minggu lepas PH menang tu ada lah kawan-kawan aku tanya, tak daftar i-suri ke? Kan boleh dapat 'elaun' setiap bulan. Aku cuma boleh cakap, ada banyak syaratnya. Bila kaji semua, tak layak pun terima caruman. Hanya sasarkan golongan yang benar-benar susah dan B40 sahaja. Ada juga yang kata yang dapat bantuan JKM automatik layak lah dapat caruman kwsp kerajaan tu. Maka krik krik lah kita yang tak layak ni.

   Tapi iklan kat tv bukan main lagi pasal caruman i-suri ni begitu begini. Tidak pernah diterangkan secara jelas bahawa hanya yang berdaftar e-kasih sahaja yang layak. Dan tak pernah diterangkan apa itu e-kasih. Aku rasa tak ramai yang tahu pasal ni. Aku pun kebetulan terbaca je kalau tak, tak tahu juga. Hahaha.

     Ah, sudahlah. Carum sendiri je lah lagi bagus. Tak payah mengharap daripada tuuuuuutttttt. Sila isi tempat kosong.

18 October 2019

Rindu Taman U

Assalamualaikum.

   Hai hai hai. Saje lah nak bagitau esok 19 Safar 1441H hari lahir aku yang ke 35 (dalam bulan Islam dan tahun Hijri). Lusa pulak 20 Oktober hari lahir Naim yang ke 4 tahun. Dekat-dekat pula tahun ni ye birthday mak dan anak. Jarang berlaku ni, hehe.

   Tapi tak ada sambutan pun. Hahah not for me but for Naim, no celebration this year (maybe). Pertama sebab jatuh hari Ahad, abahnya kena buat rawatan di JB. Tahun lepas pun sama masa jatuh hari Sabtu, kami empat beranak di Tenggaroh, bapaknya ke JB. Kesian Naim. Bukanlah nak sambut beria dan besar-besaran, tapi cukuplah dapat berkumpul satu keluarga kecil kami tak kisah lah dalam rumah je ke atau ke KFC, makan yang special sikit. Bergambar. Takde kek pun tak apa yang pasti hari istimewa itu berbeza dengan hari biasa. Raikan dengan sederhana tetapi ada kenangan yang indah gitu.

   Rindu pusat rawatan masa di Taman Universiti dulu. Dekat dengan Aeon. Bila-bila je boleh pergi. Kalau time abahnya sibuk, aku pergi sendiri je dengan anak-anak naik grab. Plan asal aku untuk esok atau lusa ni kalau ikut ke JB, aku nak bawa anak-anak keluar sendiri naik grab samada pergi Skudai Parade atau Paradigm Mall (mall terdekat dengan Taman Sri Putra). Abahnya fokus buat rawatan je lah, aku dan anak-anak berjimba. Wakaka. Kadang kesian jugak dengan budak-budak ni bosan agaknya terperap je dalam pusat rawatan tak dapat keluar. Tak mengharap pun bapanya luang masa bawa berjalan sebab aku tau masanya memang tak ada sebab dah penuh dengan jadual temujanji rawatan. That's why lah aku tak kisah aje seorang diri bawa tiga anak jalan-jalan di mall. Pandai lah aku handle. Mak-mak biasanya tak ada masalah pun bawa anak-anak berjalan tanpa bapak. Ok saja. Macam dulu-dulu aku selalu buat lah masa di Taman U masa anak dua. Yang payah sikit kalau ada anak yang berak, hahahaha. Tapi still under control dan boleh handle. Strong mama and supermak la katakan.

    Tapi entahlah. Dah tadi bapaknya tukar fikiran kata semua tak payah ikut, dia pergi seorang diri je ke JB. Alasannya takut anak-anaknya kacau masa dia tengah buat rawatan. Ya, alasan yang kukuh dan logik. Aku cuma perlu dapat keizinan je untuk keluar sendiri dengan anak-anak bawa mereka berjalan ke mall naik grab. Cadangnya esoklah baru nak bagitau. Dah jadi macam ni, punah harapanku. Sobss. Dah lama sangat teringin nak buat benda ni (berjalan sendiri with kids without their dad) tapi masih belum tercapai sejak pindah tempat baru ni since April 2019. Sebab itulah aku asyik terkenang masa masih di Taman U dulu. Isk..isk... (meratap dalam hati).

          Maka esok dan lusa mereputlah kami empat beranak dalam rumah yang umpama penjara ini. Apa pun tak boleh. Hadap TV je lah budak-budak ni untuk hiburan diorang. Hadui tepu gila siot. Yang tepu tu aku lah sebagai mak ni. Dah la duduk kampung, jauh dari bandar. Tak pandai memandu. Kalau duduk bandar kat Taman, boleh juga aku call grab kalau nak keluar jalan-jalan dengan anak-anak. Ha, dah mulalah aku rindukan Pulai Perdana pula. Rindu Impian Emas, rindu kuaters. Pendek kata rindu duduk bandar dan jadi orang bandar. Jalan-jalan di mall bukan sebab nak shopping pun tapi lebih kepada cuci mata dan terapi diri, release tension. Ingat surirumah tak boring ke terperap tepu dalam rumah je? Boring tau tak? Tapi apa pilihan yang aku ada? Hadap je lah walaupun ini bukanlah pilihan aku. Ya, aku yang hanya menurut perintah. No choice.

      Bukan tak bersyukur, tapi sebagai manusia biasa, kita pun ada keinginan dan kehendak sendiri. Tak minta lebih pun. Cuma.. yelah. Hai susah lah nak cakap pun. Berserah je lah dengan apa yang Allah telah aturkan dan rancangkan. Allah sebaik-baik Perancang. Kalau kita beria dan berusaha nak dapatkan sesuatu tapi Allah tak izizkan, tetap tak dapat juga, tetap tak kesampaian hajat tu. Semuanya atas ketentuan Allah. Allah tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Dia tak beri apa yang kita MAHU tapi Dia beri apa yang kita PERLU.

Happy birthday to me.
        

11 October 2019

The Next Investment - SSPNI Plus

Assalamualaikum.

    Jaga-jaga, aku tengah kemaruk nak update blog ni, setiap hari ada entri baru. Ahahaha. Konon je lah. Tiba-tiba ada banyak pula idea datang untuk menulis. Sementara masih fresh dan bersemangat ni, ada baiknya aku keluarkan semua. Jangan jemu sudah. Kekeke.

     Bulan Julai hari tu aku ternampak la iklan pasal daftar ahli baru SSPNiplus kat FB lalu lalang di newsfeed hamba. Yang buat aku tertarik nak klik tu sebab promo ada cabutan bertuah bagi pendaftar baharu mulai Julai hingga Disember 2019. Cewah aku pun bersemangat lah nak buka akaun SSPNI untuk anak-anak. Mana tahu luck aku dapat cabutan bertuah ke hahahahaha. Lagipun bagus untuk pelaburan masa depan. Nak pinjam PTPTN kena ada akaun SSPN. Tak kisah lah budak-budak ni nak masuk Universiti atau tak, tak salah pun nak buka akaun SSPN diorang.

   Dulu dikenali sebagai SSPN sahaja. Tak pasti dah berapa lama ada yang patuh syariah ni namanya SSPNi. Dan lagi baharu SSPNiplus pula namanya. Yang latest ni lah untuk pendaftar akaun baharu yang boleh menang cabutan bertuah kalau ada rezeki. Ehem.

   Ok bila aku klik link di FB tu membawa kepada laman sesawang  ptptn. Aku pun study dulu la baca terma dan syarat, apa pakej yang ada dan semuanya nak bagi faham betul-betul sebelum aku buka akaun sspni ni untuk anak-anak. Setelah ditimbang tara, aku pilih pakej yang paling murah iaitu pakej intan RM30 je sebulan caruman. Ada banyak pakej dan pangkat iaitu;

1 - Pakej Intan RM30 sebulan. (Simpanan RM20, takaful RM10)
2 - Pakej Delima RM50 sebulan (simpanan RM40, takaful RM10)
3 - Pakej Topas RM100 sebulan (simpanan RM90, takaful RM10)
4 - Pakej Zamrud RM200 sebulan (simpanan RM180, takaful RM20)
5 - Pakej Nilam RM300 sebulan (simpanan RM270, takaful RM30)
6 - Pakej Berlian RM500 sebulan (simpanan RM200, takaful RM300)

 Yes RM30 je yang aku mampu. Untuk kali pertama ni aku buka akaun untuk Jannah je dulu. Senang aje. Isi je borang online semua maklumat kita. Paling penting nombor kad pengenalan lah. Dulu nak buka akaun sspn ni susah wo kena pergi pejabatnya, ptptn cawangan negeri. Ambil nombor, isi borang manual. Sekarang dah mudah. Online pun boleh maa. Dokumen ke apa tak perlu dah. Amat mudah di hujung jari je. Ok berbalik pada cara buka akaun tadi. Mula-mula maklumat penjaga, lepas itu maklumat anak pula kena isi. Ikut je step nya. Ada juga pilihan nak buat caruman macam mana samada potongan gaji, autodebit, perbankan internet, kad kredit/debit dan paling old-school pergi kaunter PTPTN la hehehe. Aku pilih autodebit je la mudah. Dan untuk pembukaan akaun ini perlukan deposit dua bulan. Maka untuk pakej Intan aku terus bayar RM60 untuk melengkapkan pendaftaran. Gitu. Jadinya bulan Ogos belum ada penolakan RM30 lagi dari akaun bank aku sebab dah bayar deposit dua bulan kan. Bulan September dan seterusnya barulah autodebit diaktifkan. Oh ye bukan semua bank boleh guna autodebit untuk pemotongan caruman. Hanya Maybank, Bank Islam dan RHB sahaja. CIMB yang popular dan paling ramai pemegang akaun tu pun (selepas Maybank) tak tersenarai untuk autodebit.

   Menariknya sspni plus ni sebab ada takaful. Ya ada perlindungan takaful kalau ada kecelakaan macam kemalangan ke, kecacatan kekal, kematian atau penyakit kronik (ada 36 senarai penyakit kronik), SSPNi-plus akan bayar lah berapa ribu rm ikut pakej yang kita ambil. Elaun harian hospital pun ada kalau warded.

   Selain itu dividen pun boleh keluarkan kalau nak tapi ada tempoh matang ke camne tah kena rajin baca di website ptptn tu. Kalau contoh nak keluarkan duit lah tengah sesak ke nak pakai boleh juga tapi selepas tiga tahun caruman dan dalam akaun dah ada lebih RM1000. Senang kata, bolehlah keluarkan duit tu walaupun belum cukup 20 tahun caruman. Ada terma dan syarat lah. Kalau tengok di website ada lah jadual carumannya selepas 20 tahun berapa boleh dapat.

   Akaun Naim dan Aqil aku baru je buka bulan lepas (September). Pakej sama Intan je, hehe. Itu je yang mak mampu. Aku ingat nak buka juga akaun untuk diri sendiri, tengok lah bulan ini ke bulan depan ke kalau rajin dan duitnya ada, hahahaha. Mana nak tahu antara 4 akaun ini ada yang sangkut cabutan bertuah. Hahahaha tak sudah-sudah cabutan bertuah dari tadi. Btw apa dia cabutan bertuah itu? Cash ada, kereta pun ada. Grand prize tu kereta X70 kau (eh betul le nama kereta tu). Aku tak mengharap yang kereta, dapat yang cash RM3000 pun jadi lah. Tuah manusia siapa yang tahu kan? Kakaka.

  So guys masih belum terlambat untuk buka akaun sspni plus ni bagi yang masih belum ada akaun sspni untuk diri sendiri atau anak-anak. Mana tahu kan, tuah anda sebagai pendeposit baharu boleh menang cash atau kereta? Semua pun ada peluang menang. Oh ye cabutan dibuat pada setiap RM50 yang dicarum dalam akaun sspni plus. Sebab tu lah kena buka akaun dan wajiblah masukkan duit, jangan dibiar tanpa tambahan caruman pulak. Perlu diingat bila dah buka akaun dan gagal masukkan duit caruman ikut pakej yang kita pilih, akaun akan ditutup serta merta dan duit yang dah carum pun tak dapat balik. Tak pasti ada tempoh ihsan sebulan ke tiga bulan tapi biasanya ptptn akan bagi SMS reminder suruh bayarlah. Macam aku ptptn bagi SMS autodebit akan berlaku pada tarikh sekian, sekian. Jadi, pastikan dalam bank ada duit yang cukup lah untuk transaksi autodebit.

      KWSP sudah. ASNB sudah. Now SSPNi-plus pula. Cuma bezanya kwsp dan asnb aku bukan autodebit jadi tak ada amaun tetap setiap bulan untuk dimasukkan atau bukan setiap bulan wajib masuk. Terpulang pada duitnya ada atau tidak, kakaka.

Psstt.. hari tu ada kawan cadangkan cuba invest ASBF pulak (Amanah Saham Bumiputera Financial). Oii itu lagi besar  amaun kena carum setiap bulan. Errr...tak lagi kot buat masa ini. Matilanak.

10 October 2019

Diet dan Gaya Hidup Sihat

Assalamualaikum.  

    Ewah gitu tajuk entri kau nyah. Ala-ala jurulatih kecergasan dan pakar diet ke? Ahaks. Dah lama tak tulis blog alih-alih topik diet yang dipilih. Wakaka.

     Dulu kat entri mana entah aku ada tulis pasal kebimbangan dan kekhuatiran aku dulu-dulu masa umur 20-an, aku paling takut jadi gemuk bila usia melangkah ke fasa 30-an sebab aku lihat ramai wanita 30-an yang 'membesar' dan 'mengembang' dengan jayanya. Asalnya kurus atau ideal tapi dah berubah jadi gemuk atau obes bila umur makin meningkat lebih-lebih lagi bila dah berkahwin dan beranak pinak. Kalau dah sejak azali tak kurus atau gemuk/ berisi tu lain cerita lah. Tapi Alhamdulillah lah aku tidak 'menggemuk' di usia 34 tahun dah ni hehe.

      Antara diet atau 'Lifestyle' yang tengah 'in' sekarang dan dua tahun kebelakangan ini adalah ittermittent fasting atau IF (aku tak tahu betul ke tak eja tu hahaha). Puasa 12-18 jam (ada yang sampai 48 jam) then baru makan. Dalam tempoh IF tu boleh minum air masak je untuk alas perut. Mulakan dengan 10-12 jam, lepas tu dah serasi dan boleh tahan lapar lebih lama, bolehlah tambah tempoh IF itu jadi 14 jam, 16 jam dan seterusnya ikut kemampuan diri masing-masing. Setiap orang tak sama penerimaan badannya. Boleh lah google atau join groups IF di media sosial ada banyak info dan perkongsian mereka yang dah berjaya mendapat berat idaman lepas buat IF selama beberapa bulan.

    Biasanya IF dibuat waktu malam sebab waktu tidur yang lama dan tak ada aktiviti berat dilakukan. Contohnya last meal pukul 5.00 petang. Esoknya pukul 9.00 pagi baru makan/ 'berbuka'. 16 jam tempoh IF. Aku masa mula-mula dapat tahu macam tu konsep IF, aku macam terkejut sendiri sebab aku sebenarnya dah 'terbuat' IF tu tanpa sedar. Aku memang jarang makan malam. Last meal paling lewat pun pukul 7 atau 8 malam. Biasanya pukul 5.00 petang last makan dan terus tak makan apa-apa sampai pagi esoknya. Minum air pun tak. Lagi hebat hahahah. Pagi ikutlah pukul 9 atau 10 baru sarapan ikut kerajinan ahaha.  Tapi sejak Aqil dah besar sikit ni dah setahun lebih, aku dah start makan pagi awal sikit pukul 7-8 sebab si Aqil nak makan. Hahaha mak terpaksa ikut timing anak. Kecuali kalau Aqil bangun lambat pukul 9-10 then lambatlah mula makan hehe. Tak ada waktu yang tetap.

    Itu cerita kalau duduk rumah sendiri lah memang tak makan waktu malam. Kalau minggu ke JB atau balik Muar, wajib makan malam, dinner pukul 9 ke atas hahaha. Ikutkan aku tak pernah berdiet pun. Makan je apa aku suka dan tak ada pantang. Yelah orang diet kan pantang macam-macam cut sugar, no fast food, no minyak, makan yang rebus-rebus, stim, no tepung dan macam-macam lagi lah. Konsep suku-suku separuh lagi. Ya, nak kurus perlukan pengorbanan guys. Yang dah sedia kurus pula kena maintain bagi ideal dan tidak bertambah berat badan. Kurus dan sihat. Gemuk memang mengundang banyak penyakit. Better jadi kurus daripada gemuk. Baju pun tak susah nak cari, sentiasa ada saiz. Tak mudah mengah.

   Ada orang kata jugak, biasanya lepas bersalin anak ketiga, berat dah susah nak turun. Ada jugak yang cakap, "ko tunggu lah anak 4 nanti memang susahlah nak kurus balik."

   Usah takut atau risau kalau ada orang cakap macam tu. Jadikan cabaran dan penguat semangat untuk kekalkan berat badan masa anak dara atau sebelum mengandung. Tapi kena ada usaha lah bukan semangat semata-mata, hehe.

   Kalau tanya aku apa tips maintain tak gemuk (tak nak sebut kurus rasa macam poyo hahahahaks), jujurnya tak layak lah nak bagi tips. Sebab aku bukan jaga sangat makan. Sayur pun tak makan. Suka makan fast food, jajan. Suka minum air manis. Coklat, aiskrim pun suka makan. Langsung tak menyihatkan. Bila nak insaf tak tau lah hahaha.

Tips yang boleh ikut;
1 - Makan hanya apabila perut betul-betul rasa lapar dan berhenti sebelum kenyang. Ini memang sunnah nabi pun. Ada orang, walaupun bila lapar baru makan, tapi bila dah kenyang pun masih belum berhenti makan. Salah tu. Alasannya tak nak membazir. Kalau takut membazir, masak cukup-cukup je atau kalau makan kat kedai, order cukup-cukup je jangan order banyak.

2 - Jangan makan selepas pukul 9.00 malam. Lagi awal stop makan lagi bagus. Seperti kita tahu usus kita akan bekerja keras bila lepas makan, terus tidur. Perut perlu kosong/ tidak makan 4 jam sebelum kita masuk tidur. Kalau tidur pukul 9, last meal pukul 5.00 petang. Tidur awal pula termasuk dalam sunnah nabi juga. Tidur awal agar dapat bangun malam tahajjud dan buat ibadah lain. Dan ada hadis yang cakap makruh bercakap-cakap selepas solat Isyak, perlu terus masuk tidur. Dan solat awal waktu memang dituntut.

3 - Aku tak makan kek walaupun suka makan coklat, aiskrim dan minum air manis. Jujurnya kat rumah sendiri pun tak minum air manis sangat sebab aku MALAS bancuh/ buat air, hahahaha. Kalau ada air manis dalam peti ais tu maknanya mood RAJIN aku datang. Hoho. Berbalik pasal kek, kek adalah antara punca utama kegemukan. Hehe.

    Dah itu je lah bebelan aku pada kali ini. Jangan lupa subscribe... eh perasan ada chanel YouTube sendiri pula. 

03 April 2019

Kehamilan Yang Dirancang / Tidak Dirancang

Assalamualaikum.

    The planned pregnancy or unplanned pregnancy. Adakah Kehamilan anda itu memang anda rancang atau 'terbabas' (accidentally pregnant)?

  Apakah bezanya? Mungkin ramai yang tidak tahu yang hamil pun ada jenisnya hehe. Yang dia tahu, oh aku mengandung. Full stop. Ada pula yang belum bersedia tapi termengandung. Itu yang namanya terbabas atau tidak dirancang. Begitu.

     Biasanya bagi pasangan yang baharu berkahwin mesti rasa tak sabar nak ada cahayamata. Ada juga yang nak hidup berdua dulu setahun dua baru merancang nak ada anak. Tapi lebih ramai lagi nak cepat dapat anak sebab tak tahan dengan tekanan makcik pakcik bawang yang sibuk bertanya 'dah ada isi ke? ', 'dah mengandung ke?'. Yeah people nowadays guys.

  Pengertian kehamilan yang dirancang. Merancang dengan ilmu atau merancang dengan 'main hari-hari'. Maaflah andai kurang sopan heheh. Bagi yang buat TTC  (trying to convince) biasanya lebih teliti dan bersedia. Pertama sekali si isteri akan consume folic acid selama tiga bulan sebelum hamil  (aku tak pernah buat). Kemudian akan cek kalendar dan kira cycle days period dan mengira tarikh subur atau ovulasi. Kalau haid tak regular payah sikit nak tembak bila tarikh tepat hari subur. Jadi kena buat BBT chart  (body basal temperature) cek suhu setiap hari. Hari subur suhu badan akan meningkat. Lagi satu cara nak tahu hari subur dengan cek cervix mucus  (cecair yang keluar dari vagina). CM ini akan berubah-ubah warnanya. Bila terjumpa egg whites  (cecair jernih yang bila diregangkan tidak putus), itulah waktu subur dan waktu paling tepat untuk bersama  (valid 24 jam sahaja kerana ovum matang untuk disenyawakan hanya hidup 24 jam). Kalau ada duit lebih belilah OPK (ovulation predicter kit) untuk cek waktu subur dengan lebih tepat.

    Kehamilan yang tidak dirancang adalah kes terbabas yang tak pakai contraceptive (alat pencegah kehamilan seperti pakai kondom, makan pil perancang, cucuk depo, pasang implan atau iucd). Ataupun ada juga kes dah pakai kontraseptif pun masih boleh hamil. Kuasa Allah. Apa pun itu rezeki. Perancangan Allah adalah lebih baik.

  Masa nak mengandung Jannah aku memang zero habis bab-bab cara nak hamil. Oh ye yang aku tahu kena bersama ketika waktu subur. Oleh kerana haid aku regular 28 hari jadi aku tahu la waktu subur aku hari ke-14. Folic acid apa semua tu aku tak tahu. Yang aku tahu cuma upt (urine pregnancy test) je hahaha. Tapi slowly belajar dan tambah ilmu melalui pembacaan di Internet.

   Bila Jannah dah genap umur dua tahun, aku dah mula merancang untuk tambah anak. Masih menggunakan cara yang sama iaitu tembak pada hari subur. Alhamdulillah menjadi. Oh ye aku merancang sendiri je tak pakai contraceptive.
Jadi dua kehamilan ini adalah dirancang. Memang aku nak mengandung dan target nya lepas Jannah umur dua tahun baru aku plan nak hamil lagi tak kisah cepat atau lambat.

    Seterusnya, aku plan nak tambah anak ketiga bila Naim genap umur dua tahun. Namun accidentally termengandung lebih awal iaitu masa Naim umur setahun 10 bulan. Tak sangka juga masa tu tau. Aku lewat period 4 hari terus aku buat upt. Biasa kalau lewat pun dua hari la paling banyak. Aku tak sedap hati then minta zauji singgah farmasi, nak beli upt. Aku tak sabar petang juga aku buat upt. Biasa urine pertama lepas bangun tidur pagi lebih accurate sebab hormone hcg tinggi. Jadi lepas buat upt petang tu naik juga dua line tapi satu lagi faint tak nampak sangat. Aku pun tak sure la betul ke mengandung? Tunggu punya tunggu masih tak datang bulan. Aku buat lagi upt kali kedua empat hari lepas upt pertama. Naik dua line terang benderang. Ok confirm pregnant kah kah. Walaupun tak dirancang dan belum bersedia sangat tapi aku tetap bersyukur dan gembira.

   Tak sebenarnya apa motif aku tulis pasal kehamilan dirancang tak dirancang ni hahaha. Tujuan utama aku nak bagi panduan je kepada golongan ibu-ibu. Jangan panik atau gelabah kalau terhamil tanpa diduga. Jangan kata tak bersedia lah apa lah. Banyak juga kes baby baru dua bulan eh mengandung lagi. Jarak terlalu dekat. Kalau tak nak mengandung jangan bersetubuh! Hah gitu kaedahnya kasar tak kasar bahasa aku hahaha. Ya kaedah perancang keluarga itu memang perlu dan mengikut kesesuaian keadaan masing-masing. 

20 March 2019

Sedekad Aku Dulu dan Kini

Assalamualaikum.

   Ya hari ini 20 March 2019 adalah ulangtahun yang ke-10 blog aku ini 'Aku Dulu dan Kini'. Angka yang amat istimewa. Diam tak diam dah sedekad aku tulis blog. Satu pencapaian yang agak membanggakan bagi blogger picisan macam aku.

    Imbas kembali tahun 2009 dulu aku mula buat blog ketika aku di Mesir, tahun 1. Daripada aku bujang sampai lah berkahwin sampai lah dah anak tiga. Masih setia menulis blog dan akan terus menulis selagi hayat dikandung badan kerana menulis adalah 'jiwa' aku. Aku berharap blogspot akan terus wujud dan tak dihapuskan. Dah berapa banyak media sosial yang telah hapus macam Friendster, My Space, Yahoo Messenger dan lain- lain. Semuanya hanya tinggal kenangan dah tak wujud dalam dunia internet.

    Penulisan semakin matang seiring peningkatan usia blog dan usia penulis blog. Hehehe. Kepala gila-gila tu tetap ada, santai dan serius tetap ada. Yang makin hilang adalah maki hamun. Hahahaha. Siapa yang baca blog aku ini sejak 2009 tahu lah bagaimana cara aku yang dulu-dulu kalau marah dan emosi. Nak tengok aku maki hamun boleh stalk twitter aku hahaha. Tweet aku adalah lebih telus dan terbuka. Facebook aku masih acah-acah suci sikit-sikit tapi bukan level ustazah ok. Paling penting aku suka taip penuh dan tak ada short form. Itulah sisi kematangan aku yang tidak akan berubah.

     Tahun 2018 paling tidak produktif. Cuma ada tujuh entri sahaja dalam masa 12 bulan sepanjang 2018. Alahai. Bukanlah penulis tegar namanya kan. Harapnya tahun 2019 ini dapat lebih rajin tulis blog. Konon lah harap azam tercapai. Haha.

2009 - Kehidupan di Mesir
2010 - Masih di Mesir 100%
2011 - Mesir sampai bulan September then balik Malaysia, dah habis pengajian.
2012 - Tahun berkahwin. Kehidupan baru sebagai mutazawijin.
2013 - Kali pertama bergelar ibu. Banyak cerita pasal Jannah.
2014 - Masih berkisar tentang kehidupan.
2015 - Tahun yang agak sedih dan berduka namun masih menulis macam biasa pelbagai topik.
2016 - Macam-macam topik juga termasuk entri mak-mak gitu, keibubapaan, penyusuan dll.
2017 - Seperti 2016.
2018 -  Seperti 2017 tapi tak berapa aktif menulis.

    Banyak yang aku kongsi berdasarkan pengalaman sendiri contohnya masa keguguran dan proses cuci, pasal penyusuan susu ibu, pasal anak eczema dan macam-macam lagi. Mana yang bermanfaat boleh lah menjadi panduan, mana yang aku merapu tu, baca sebagai hiburan sahaja. Mana yang aku tulis berdasarkan pendapat dan pendirian aku, aku tak minta orang lain bersetuju dengan aku, terserah pada penerimaan masing-masing. Kita raikan perbezaan dan jangan berbalah. Kau tak setuju atau nak bangkang, suka hati kau lah tapi kena hormat cara aku dan jangan buat onar di tempat orang. Hehehe. Adab itu kena jaga.

       Followers tak ramai? Sebenarnya sejak dulu pun aku tak kisah sangat pun pasal pengikut sebab aku menulis untuk suka-suka je, hilangkan bosan dan aku memang suka menulis sebagai salah satu terapi. Menulis blog ini tak ubah macam tulis diari. Kau bebas menulis apa sahaja. Cuma bezanya kalau diari tu mungkin kau seorang je yang baca, kalau blog ni, satu dunia boleh baca penulisan kau. Malah ada di kalangan pembaca blog tidak mempunyai blog sendiri pun (blogspot), pendek kata bukan seorang blogger. Contohnya readers taip random je kat google pasal 'molar pregnancy' dan blog aku pun ada tersenarai dalam carian tersebut dan pembaca pun klik.

    Nak jadi penulis blog kena rajin. Pertama sekali kena rajin menaip dengan penuh setiap perkataan. No short form! Aku sendiri sebagai pembaca, cukup menyampah bila membaca ayat atau karangan yang banyak short form. Rasa nak maki hamun kaw-kaw hahahaha. Walaupun penulisan kau tu bermanfaat tapi bila banyak short form, aku anggap penulisan kau adalah sampah. Bagaimana kau nak memberi manfaat kepada orang ramai sedangkan penulisan teruk hauk macam budak tak habis sekolah? Nak tanya jugak SPM kau dulu mata pelajaran Bahasa Melayu/ Malaysia dapat E ke? Biar kita tak belajar tinggi tak mengapa tapi bab penulisan kita menulis dengan tatabahasa yang betul dan tepat, tak ada menggunakan kata singkatan. Itu belum lagi yang bahasa rojak kejap BM kejap BI. Adoi lagi serabut teman membacanya kome oii.

      Dulu masa awal-awal aku tulis blog memang banyak sangat short form. Bila baca balik rasa nak hantuk kepala ke dinding pun ada. Teruk benau lah. Sudahlah banyak short form, bahasa pasar pulak tu. Malu sungguh la aku ke yang tulis ni? Hahaha. Aku pula memang tak rajin nak edit semula bagi cantik sikit karangan aku dulu-dulu tu kah kah. Setelah beberapa bulan barulah aku insaf dan ada kesedaran untuk mula menaip perkataan penuh dan menggunakan tatabahasa yang betul, mengikut standart Bahasa Melayu. Huruf besar huruf kecil, noktah, koma semua lah. Terselit bahasa pasar sikit-sikit tu tak apa lah normal lah tu. Bukan blog serius pun, blog santai je.

     Oh ye pasal blogspot dan blogger. Aku pun tak berapa ingat macam mana aku sign up ye dulu hahaha. Aku tak ingat aku buat emel gmail dulu ke buat blog dulu. Haha. Rangkaian google ni meluas sungguh. Dulu ada google chrome je dengan gmail. Tahun demi tahun google bergabung pula dengan twitter dan YouTube. Lepas tu muncul pula google plus. Bergabung pula dengan Instagram. Lepas ni apa lagi? Hehe.

      Akhir kata, majulah arena blogspot dan blogger untuk negara.

Investment - ASNB - ADAM50

Assalamualaikum.

     Hai bertemu lagi kita. Sebenarnya entri kali ini boleh kata kesinambungan dengan entri sebelum ini yang pasal kwsp atau epf sebab dua-dua ini adalah dari satu cabang yang sama iaitu pelaburan (investment).

     Aku memang ada install apps maybank2u kat handset supaya senang nak buat transaksi atau nak cek akaun. Walaupun tak berapa ada duit sangat pun hahahaha. Aku topup/ reload pun pakai m2u je mana ada pakai kad topup dah. Ketinggalan zaman la wei wakaka. Dunia hujung jari maa. Hahaha berlagak tak?

    Tempoh hari aku saja godek-godek apps m2u aku. Entah macam mana aku terjumpa 'wealth'. Sebelum itu ada 'fix deposit', 'loan', aku klik semua kosong sebab memang tak ada buat. Tapi bila aku klik pada 'wealth', eh ada sesuatu lah. Amboi sejak bila aku ada 'harta' ni weh? Ahahahaha. Lantas aku pun klik pada ASNB under wealth tadi tu. Oiii ada duit lah rupanya ratus-ratus jugak. Aku terus dalam kebingungan bila masa aku ada buka akaun ASNB ye? Aduduh. Siap ada dua lagi aku punya amanah saham. Satu ASNB, satu lagi Amanah Saham 1 Malaysia. Yang AS1M tu aku ingat pernah buat masa kat pejabat pos Labis tak silap aku tahun 2009 masa aku cuti balik Malaysia (lepas exam tahun 1 kat Mesir aku balik). Aku deposit RM100 je pun lepas tu tak pernah tambah sampai sekarang. Katanya dulu (2009) kalau buka asb tu duit beranak lepas 20 tahun dapat berapa puluh ribu tah walaupun tak tambah duit. Kah kah aku pun percaya dan buat. Ada lagi bukunya sampai sekarang warna kuning. Tak ada lah beranak banyak pun aku cek baki terkini baru RM179 je setelah 10 tahun hahahah.

    Berbalik pada ASNB pula yang masih aku bingung dan tak ingat bila entah aku ada buka akaun ni kekeke. Mungkin ada dapat penyata tapi pos ke alamat Maokil. Mungkin je lah. Boleh je nak cek kat cawangan ASNB bagi je nombor akaun dan nombor kad pengenalan.

    ADAM50 nama panjangnya aku tak ingat. Mantan PM Najib Razak yang memperkenalkan masa pembentangan bajet 2018 dulu. Bayi yang lahir mulai 1 January 2018 hingga 31 Disember 2022 layak dapat RM200 asnb. Bukan cash tapi saham dikreditkan ke dalam asnb dan hanya boleh dikeluarkan bila anak berusia 18 tahun. Tapi sayangnya setelah kerajaan PH menang PRU dan ambil alih pentadbiran, ADAM50 dimansuhkan. Hanya untuk bayi yang lahir tahun 2018 je dapat. Alasannya sebab tak dapat sambutan. Hanya dalam 10-20% je bayi yang dah daftar ADAM50. Aku pun tak daftar lagi untuk Aqil. Sebenarnya bukan tak dapat sambutan, tapi agak susah nak buat sebab kena pergi ASNB atau maybank atau pejabat pos untuk buat. Kalau yang duduk kampung kena pergi bandar. Yang duduk bandar pula kena yang kerja office hour pun susah juga nak buat. Agak sukar la.

    Tarikh tutup nak daftar ADAM50 31 Mac 2019. Jadi aku bercadang minggu depan ni cuti sekolah tidak boleh tidak wajib daftar juga untuk Aqil. Antara syaratnya ibu atau bapa perlu ada akaun ASNB juga. So cantiklah sebab aku dah ada ASNB dah settle tak perlu daftar baru. Gitu.

10 March 2019

Bagaimana nak carum sendiri KWSP

Assalamualaikum.

    Ya sedia maklum aku surirumah sepenuhmasa, tidak bekerja. Tapi ada lah dapat elaun daripada zauji sebab aku arranged appointments rawatan dan elaun surirumah gitu. Sudah tentu aku takde carum kwsp atau epf kan. Aku mula berminat nak carum sendiri bila terbaca kat fb ada someone share macam mana nak carum sendiri. Here we go meh aku pulak ajar korang hahah.

    Tapi aku ajar ni dalam bentuk karangan je ye takde gambar hahahaha. Pandai-pandai lah kome cari dan buat. Oh ye pastikan ada akaun kwsp lah baru boleh carum.

Step pertama buka website maybank2u classic atau website biasa, bukan jenis mobile. Aku guna handset je. Nak guna laptop atau pc pun boleh no hal. Oh ye kalian wajib ada akaun perbankan internet lah. Yang aku nak ajar ni untuk pengguna m2u je tau, cimb dan lain-lain bank aku tak tahu. Zaman sekarang boleh kata majoriti ada online banking sendiri. Tak daftar lagi? Buat sendiri je kat mesin ATM pun boleh ikut je arahan dia. Eh panjang pula intro.
Ok dah buka website m2u, sign in dulu.

Step kedua, klik pada 'investment'. Akan keluar senarai investment iaitu epf, unit trust, asnb dan lain-lain.

Step ketiga, klik pada 'epf' dan ikut arahan seterusnya. Isi je lah maklumat anda dalam form termasuk nombor kwsp. Macam biasa akan guna tac untuk lengkapkan pendaftaran dan siap. Ada dua jenis epf aku daftar je dua-dua iaitu self contribution dan i-suri. I-suri ni baru, masa aku daftar dulu namanya 1 Malaysia.

Dah siap dan boleh terus transfer berapa-berapa je amaun kau nak. Klik pada epf registered payment dan ikut arahan seterusnya. Senang je kan.

Bagaimana nak tengok akaun kwsp sendiri pulak? Nak tunggu statement lama sangat sampai setahun. Daftarlah i-akaun. Ini pun senang. Call ibu pejabat kwsp. Aku google je cari nombor. Nanti ada operator jawab. Bagitau je kita nak aktifkan i-akaun. Dia akan minta nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor kwsp. Sekejap je dia buat. Password sementara akan diberi. Kemudian kita buka website kwsp i-akaun tu, klik sign in. Masukkan nombor kwsp dan password sementara. Lepas tu kita ubah lah password tu. Aku pun alang-alang dah log in aku terus update profile aku apa yang patut. Update nombor telefon, alamat terkini dan sebagainya.

Nah sekarang dah boleh tengok keluar masuk duit kat akaun kwsp. Mana ada keluar, duit masuk je hahahaha. Tak payah dah tunggu surat penyata akaun kui kui kui. Oleh kerana carum sendiri maka duit hanya masuk pada 'pekerja' sahaja, 'majikan' kosong. Carum sendiri ni tak fixed. Ikut kalian lah nak transfer berapa haribulan setiap bulan, berapa ratus setiap bulan. Semua atas pilihan sendiri. Bila dah masukkan tak boleh keluarkan dah, itu yang bagusnya. Maklum lah saka shopping online kadang datang selagi masih ada duit dalam bank. Selamatkan lah dulu sebahagian sebelum habis duit hehehe. Sekurang-kurangnya ada lah juga simpanan di hari tua. Gitu. Aku pun dah terlambat sebenarnya carum sendiri ni, baru je start Ogos 2018. Baru timbul kesedaran waktu itu. Masih belum terlambat untuk kalian yang masih muda umur 20-an untuk buat caruman sendiri kwsp ni.

   Dengar-dengarnya pencen nak dihentikan? Aiyo biar betul. Penjawat awam pula tak diberi pilihan untuk carum kwsp, kena pilih pencen. Dah sudah. Sudahlah kwsp tak carum, pencen pula tak ada. Mari carum sendiri semudah abc. 

04 March 2019

Anak Prolonged Jaundice, Apa yang Aku Buat?

Assalamualaikum.

    Hai hai hai reminder bulan ini adalah bulan ulangtahun ke-10 blog aku ni. Diam tak diam dah sedekad usia blog peribadi aku ni. Tak sangka masih bertahan dan masih menulis blog walaupun sekarang orang lebih suka menulis di status Facebook untuk capaian lebih ramai viewers. Tak mengapa aku kan old skool sikit kah kah.

   Berbalik kepada tajuk post kali ini yang agak panjang hahaha. Jaundice atau kuning bukan lagi asing pada anak-anak aku. Aku berdarah O positive dan tiga orang anak aku ikut darah aku O positive. Memang 'wajib' lah kena kuning. Aku ingat lagi masa Jannah jaundice dulu masa berpantang kat Maokil. Masa tu aku tengah berurut dan misi datang cek biasalah kan. Dia tengok Jannah kuning dan suruh bawa ke klinik. Aku masih ingat lagi kata-kata nurse tu, kuning ni bahaya kalau tinggi sangat boleh menyebabkan baby terencat akal. Kau boleh bayangkan tak perasaan aku sebagai ibu baru waktu itu. Terus rasa down sangat-sangat sampai mengalir airmata. Sobs. Gigih pergi klinik kat Chaah tau bukan Maokil untuk cek kuning. Ambil darah kat kaki Jannah. Sampai lah beli susu kambing Karihome untuk turunkan kuning dia baru lah bacaan kembali normal. Tak ingat berapa kali ulang alik klinik tapi dalam umur Jannah 16 hari camtu dah tak perlu ke klinik.

     Masa Naim pulak. Dah lah pramatang, jaundice lagi. Masa tu pantang sendiri je kat JB. Pernah pergi sekali je kot klinik untuk cek kuning lepas tu tak pergi dah. Zauji pun busy masa tu. Dah lah klinik kat Kempas jauh setengah jam jugak naik kereta. Tapi nurse 'tak kejar' dan tak call pun mungkin sebab patient ramai so diorang pun tak alert sangat. Lama-lama kuning Naim pun hilang sendiri dalam 20 hari macam tu la haha.

     Tiba turn Aqil. Yeah hari kedua dah nampak kuning. Nurse suruh pergi klinik. Hari ketiga pergi klinik dengan terkepit-kepit haha. Prosedur biasa lah, ambil darah kat kaki baby dan cek bacaan. 13 ke 14 entah tinggi jugak. Biasanya setiap hari atau setiap dua hari perlu ke klinik untuk cek bacaan. En suami cakap tak nak datang cek kuning hari-hari. Kena sign surat tanggung risiko sendiri dan aku pun willing sign sebab aku pun malas nak ulang alik pergi klinik setiap hari plus tak sampai hati tengok baby kena cucuk ambil darah. You know what. Datang setiap hari pun mereka tak ada jalan penyelesaian pun. Setiap hari akan cakap benda yang sama, kena kerap susukan baby untuk turunkan kuning dia. Biar baby berak banyak untuk turunkan kuning. Kejut baby kalau tidur lama sangat. Baby kuning kuat tidur. Jangan jemur. Dan bla bla bla. Aku dah hadam sangat. Dah tiga orang anak kan. Bukan aku nak berlagak atau angkuh ye, tapi biarlah kami dengan cara kami. Bukan sampai tolak vaksin pun. Cuma refuse cek kuning kat klinik, itu aje.

      Bila tak ke klinik setiap hari cek kuning sampai bacaan jadi normal, aku lebih gembira sebenarnya. Risau anak jaundice tu memang lah. Tapi kerisauan aku akan bertambah bila bacaan kuning tak turun-turun atau makin bertambah. Nanti aku mulalah rasa stress dan down. Murung. Bila stress boleh jejaskan production susu. Silap-silap boleh jadi postpartum depression (nauzubillah). Jadi biarlah aku tidak tahu langsung bacaan kuning baby. Itu lebih baik untuk menjaga emosi aku. Guys, ada tiga orang anak yang aku kena jaga, bukan cuma seorang bayi. Aku tak ada babysitter, aku tak ada confinement lady, aku tak ada orang gaji. Berpantang sendiri. Dengan suami sahaja membantu. Anda rasa saya ada masa untuk sakit kepala?

    Aqil hari tu aku rasa dia prolonged jaundice sebab dah umur sebulan masih nampak kuning. Menjelang habis pantang baru lah dah tak ada langsung kuning, warna kulit biasa je lah. Apa yang aku buat sepanjang anak jaundice? Aku tak buat apa-apa. Aku cuma susukan macam biasa ikut demand dia. Dan aku refuse cek kuning di klinik sebab aku tak mahu stress bila bacaan makin tinggi atau tak turun-turun. Alhamdulillah dah 10 bulan umur Aqil sekarang. Membesar dengan sihat.

Bateri low plak aku chow dulu lah. Bai.

28 January 2019

Kemurungan Tersembunyi Part 2

*Aku hampir gila*

Hari ni betul2 dah sampai limit kesabaran aku. Yes selama lima hari ni aku bertahan dan bersabar tapi hari ni kecundang dan hampir2 nak bunuh orang! Sikit lagi aku nak jadi tak waras dan hilang pertimbangan.

Pukul 6.15pm aku tengah minum petang satu family si Aqil dah meragam tak tau apa dia nak. Try susukan dia meniarap dan turun dari pangku. Merengek. Aku pun bawak masuk bilik mungkin Aqil nak baring2 kat tilam. Air aku pun masih belum habis minum sebenarnya.

Dah masuk bilik baringkan. Menyusu sekejap lepas tu meniarap. Lepas tu masih merengek tak stabil. Panjat2 badan. Pastu menyelar sampai ke hujung katil macam nak turun. Aku turunkan eh dia menangis pulak. Aku naikkan balik atas katil. Baringkan. Eh meniarap lagi menyelar ke tebing katil. Aku turunkan lagi. Merengek lagi. Naikkan semula. Proses berulang2 sampai aku jadi naik darah. Dengan merengek dia, menangis dia. Last sekali sambil aku marah2 dengan muka bengis aku angkat dan hempas atas tilam (hempas rendah je pun tinggi dua inci dari tilam). Aku dah geram sangat. Apa lagi melalak kuat lah si Aqil. Aku biar je dia melalak. Mujur mak masuk dan terus ambil Aqil bawak keluar.

Aku terus masuk bilik air sambil mulut mengomel menyumpah memaki (nada suara perlahan macam berbisik). Aku ambil wuduk. Belum solat Asar lagi kan.

Sebelum pakai telekung aku duduk jap atas sejadah tarik nafas. Dengar suara Aqil masih melalak walaupun neneknya dukung sambil pujuk. Aku masih membebel.

Serius aku dah penat lah hadap semua ni.
- baby tak nak dengan orang lain
- baby berkepit 24 jam tak boleh berenggang
- baby melalak bila tak nampak aku
- baby melalak bila tinggal kejap je pun pergi bilik air ke dapur ke
- baby tidur (siang) kejap2 sangat tak sempat aku nak bernafas.
Selama lima hari aku hadap benda ni dan hari ni kecundang tak dapat bersabar lagi.

Orang tak akan faham betapa aku penat mental dan fizikal dengan perangai super clingy baby. Masa untuk diri sendiri langsung tak ada. Bukan masa untuk rehat ye tapi masa untuk;
- mandi dan buang air dengan tenang
- solat dengan tenang
- makan dan minum dengan tenang tanpa gangguan.

Struggle nya seorang aku bila waktu tengah makan pun baby berkepit sebelah, memanjat badan, tak duduk diam.
Bila baby tidur laju2 aku kendiri (mandi bersihkan diri dll). Asyik nak berdukung lagi satu hal. Langsung tak boleh buat apa2. Sikit lagi aku boleh jadi gila kalau berterusan macam ni hari demi hari. Jangan sampai dah hilang satu nyawa barulah terbukak mata semua orang. Baru nak ambil berat. Baru nak ambil tahu. Baru nak ambil peduli.

Alhamdulillah mak, abah, adik2 aku memahami dan banyak tolong aku. Kalau lah aku tak duduk dengan famili sendiri lima hari ni sementara zauji pergi Sibu, aku tak tahu lah apa jadi dengan diri aku dan anak2. Kemurungan teruk lah aku takde siapa tolong. Seorang diri mengurus tiga orang anak. Memang boleh jadi tak waras.

Mak aku yang sentiasa memahami. Setiap kali masuk waktu solat kalau mak aku tengok baby asyik berkepit dan tak tidur, mak mesti tanya "kau dah sembahyang ke belum?"
Kalau aku jawab belum, mak akan terus ambil baby tolong dukung jap. Melalak pun melalak lah asalkan aku dapat tunaikan kewajipan. Hanya mak sendiri je yang akan prihatin macam tu. Ya hanya mak sendiri yang faham anak kandungnya. Terima kasih banyak mak. Jasamu tak terbalas.

Orang lain ingat aku ni banyak sangat masa terluang sebab tidak bekerja. Ya aku hanya surirumah. Tugas aku cuma jaga anak je. Mudah je kan pada pandangan mata orang. Hakikatnya tiada siapa pun tahu. Sangat struggle. Aku perlu buat kerja rumah. Aku perlu memasak. Aku perlu susukan baby. Alu masih perlu urus anak-anak yang lain. Tapi ada orang fikir aku ada banyak masa lapang, aku banyak berehat, aku hanya bermalasan. Nak aje aku sumpah seranah maki hamun spesis ni. Bawak bersabar.

Satu je aku pohon. Mind your own business please. Jangan sibuk hal rumahtangga orang. Setiap ibu bapa itu ada cara sendiri nak didik anak. Lagi satu jangan sedap nak memerintah dan mengarah orang. Kau tak tahu pun apa kesusahan yang orang lalui setiap hari. Tak kan semua nak cerita kat media sosial? Aku bukan macam kau setiap hari update status Facebook dengam upload gambar apa benda yang kau buat setiap hari. Ok yelah untuk kenang-kenangan katanya. Apa-apa je lah.

Aku tak merungut pun. Aku tak mengeluh. Aku bersyukur. Baby memang lah sifatnya begitu. Manja dan rasa tak selamat bila ibunya tak berada di sisi dia. Bila dalam dakapan ibu rasa tenang dan selamat. Itu normal bagi bayi. Yang tak normal ialah orang lain yang mengeji mengata macam-macam. Ah malas aku nak cakap lah sendiri mau ingat lah.

Done membebel. Okbai.

12 December 2018

Kemurungan Tersembunyi

Assalamualaikum.

    Lama juga tak menulis di sini. Kali ini wajib post entri baru. Mungkin yang terakhir untuk tahun 2018? Kita tunggu dan lihat. Heheh.

    Bulan 10 hari tu dekat group WhatsApp kawan aku ada share link saringan kesihatan mental iaitu tahap  stress, depression dan anxiety kita dengan menjawab beberapa soalan yang diberikan. Result nya akan diberi melalui emel. Aku pulak tak sempat2 nak cek emel sampai lah bulan 12 baru cek. Apakah keputusan ujian saringan itu? Jeng jeng.

Kemurungan (depression) = 11 - teruk
Tekanan (stress) = 11 - sederhana
Anxiety (kerisauan) = 4 - ringan
Tahap kesihatan mental adalah tidak normal jika salah satu keputusan daripada komponen di atas menunjukkan teruk atau sederhana.

    Dalam tak sedar rupanya tahap kemurungan aku agak teruk. Tapi ini cuma ujian saringan bukan diagnosis. Nak tahu dengan lebih tepat kena jumpa doktor. Kat emel tu ada bagi link klinik-klinik desa atau klinik kesihatan yang boleh dirujuk. Aku cek klinik Tenggaroh 2 pun ada tersenarai.

  Ya sebenarnya aku teringin sangat nak cek dengan doktor atau sesiapa pegawai kesihatan adakah aku memang benar-benar hidap kemurungan. Entah lah. Aku perasan tahun demi tahun aku macam jadi makin hilang kewarasan bila terlalu marah campur stress. Anak-anak jadi mangsa kemarahan. Aku rasa aku perlu berubat. Aku perlu bantuan. Tapi tak tahu nak refer kat mana. Masalahnya kalau aku usulkan aku nak cek tahap mental aku, ada ke yang nak layan? Pasti aku akan diperlekehkan. Eleh, surirumah je pun boleh kemurungan ke? Jadi sampai bila aku nak simpan semua ini sendiri?

   Aku bukan gila. Aku cuma nak tahu tahap kesihatan mental aku ni. Hanya doktor atau pakar psikitari yang boleh cek atau diagnos. Aku perlukan nasihat dan konsultasi. Kalau betul ada kemurungan, cuba dapatkan rawatan. Tapi harus bagaimana?

    Bukan mahu buka pekung, tapi cuma nak meluahkan. Bila datang aku punya 'naik hantu' mulalah aku terpekik-pekik kat rumah. Aku macam dah hilang rasa malu dengan jiran-jiran yang terdengar aku terjerit-jerit bila marah anak. Aku tak boleh kawal amarah aku ni. Makin lama makin teruk. Makin kurang sabar. Aku dah tak peduli lah yang mendengar tu nak mengumpat ke mengeji ke mengutuk ke ah lantak lah. Orang lain tak berada dalam kasut aku. Tak tahu apa yang aku lalui hari-hari. Ujian dan dugaan setiap insan juga berbeza. Aku diuji begini, kau diuji begitu. Jadi aku tidak sekali-kali mengata atau mengutuk mak-mak yang terjerit terpekik marah anak.

    Dah lepas marah mula lah menyesal. Berulang kali lah begitu tak ada kesudahan. Istighfar pun sudah. Zikir pun sudah.

    Tahap paling teruk bila terkeluar kata-kata kesat dan makian. Aku tahu memang tak patut dan tak elok anak-anak dengar tapi kadang terlepas bila dah terlalu stress atau tension campur marah campur hilang sabar. Teruknya aku. Adakah orang lain pun sama macam aku? Aku kadang rasa macam loser je. Tak dapat menjadi seorang ibu yang baik, yang lemah lembut, soft spoken. Gagal. Lemahnya aku dalam mengawal emosi. Sayang anak memang lah sayang. Ada tak cara supaya aku dapat jadi lebih penyabar dan tak mudah marah?

   Kalau anak-anak tak buat perangai, aku pun tak bertukar menjadi singa atau harimau. Sebenarnya aku pun ok kalau tak ada tekanan. Walau bagaimana pun aku masih perlukan 'terapi' dan bantuan untuk masalah kesihatan mental aku. Aku perlu rawatan peringkat awal. Takut jadi lebih teruk jika dibiarkan. Tapi siapa boleh bantu aku? Kalau aku nak buat check up kesihatan mental, siapa nak jaga anak-anak aku? Siapa yang boleh beri sokongan? Siapa sudi luangkan masa untuk tolong aku? Siapa yang nak layan request aku? Siapa boleh janji dia tak akan ketawakan aku atau perlekehkan aku bila aku suarakan hasrat nak cek mental? Aku tak kisah pun diketawakan tapi tolong jangan tanya soalan "Nak buat apa cek mental?" Atau tolong jangan keluar ayat seperti "kau ni biar betul?", "dah kenapa kau ni?", "perlu ke sampai nak ke klinik cek semua tu? Teruk sangat ke stress?"
Aku perlukan sokongan dan bantuan, bukan soalan yang buat aku rasa lebih down dan rasa nak marah dan maki orang yang bertanya. Anda bukan pakar jadi tak perlu bertanya itu ini. Full stop.

    Aku cuma nak tahu adakah aku betul-betul ada kemurungan. Kalau betul ada walaupun sikit, aku perlukan cara untuk mengatasi. Yes semua ni perlukan pada yang pakar. Bukan jumpa orang biasa. I need help. 

26 October 2018

Masih Sama Macam Dulu

Assalamualaikum.

  Tak lama lagi nak tiba birthday aku. 3 November ini genap lah usiaku 33 tahun. Dewasa belia. Bukan muda remaja lagi tau. Dah makcik-makcik gitu. Kah kah.

     Sebenarnya aku macam tak perasan aku ni dah 'tua' hehe. Rasa macam tak ada apa yang berubah, sama je macam 10 tahun lepas cuma umur je meningkat. Yang berubah ialah aku dah beranak pinak anak dah tiga.

  Suatu masa dulu perkara yang paling aku takutkan ialah badan aku berubah jadi gemuk bila masuk umur 30. Sebab aku lihat ramai perempuan makin tua makin gemuk lebih-lebih lagi lepas berkahwin dan lepas bersalin. Tapi Alhamdulillah aku tak termasuk dalam golongan 'saban tahun semakin mengembang ' hehe.

  Perkara kedua yang aku takutkan ialah penampilan jadi terlalu tua atau makcik sangat. Ahaha. Yelah tau je lah ada anak kecil bukan sempat sangat nak berhias bagai. Cukuplah sekadar kemas dan sopan. Sebenarnya dari dulu pun aku bukan jenis berdandan beria tapi jenis sempoi. So memang sama je tak berubah.

  Perkara seterusnya yang tak berubah adalah minat aku pada manga dan anime. Cuma tak lah se Otaku dulu. Ada masa, tonton tapi tak lah mencari, tak ekstrem. Hardcore tu dah berkurangan tapi kalau ditanya aku dikira masih otai hahaha. Tinggal lagi tak pernah join cosplay je kakakaka.

   Kehidupan memang berubah tapi ada certain things yang tak akan berubah. Contohnya sikap atau perangai, minat atau kecenderungan, rutin harian dan apa saja yang menjadi trademark diri seseorang.

28 July 2018

Persepsi, Provokasi dan Prejudis

Assalamualaikum.

   Haaa nampak tak bulan ni tiba-tiba aku rajin post entri baru kat blog? Banyak masa terluang nampak? Masa terluang apa nya. Sambil ngempeng baby okay.

   Aku teringat masa berurut dengan bidan masa dalam pantang hari tu. Mak bidan tu peramah habis. Macam-macam cerita diborakkan. Aku pun layankan je. Entah macam mana boleh termasuk cerita tentang aku dulu belajar kat mana dan sampai mana. Bila aku cakap sampai Mesir dia macam terkejut gila. Hahah. Macam tak sangka lah. Yelah aku kan tak kerja, surirumah je, mungkin dia ingat aku belajar sampai SPM je ke tak tau lah. Lepas tu biasa lah soalan cliche kenapa tak kerja, sayang sijil ko. Aku pun cerita lah dulu pernah kerja lepas tu berhenti bla bla bla. Ya persepsi makcik orang kampung, kalau surirumah tu mesti tak berpelajaran tinggi. Tak semua lah makcik begitu. Sebahagian besar lah.

    Kisah lain. Bila ada seseorang konon dengan rendah diri berkata, "Yela, aku tak belajar tinggi macam kau. Aku sedar la diri aku bodoh tak pandai macam kau."
Ini aku tak tau lah ayat betul rendah diri atau ayat perli sebenarnya nak kata aku berlagak. Rasa macam, apa hal kau ni aku ada hina kau ke sampai kau cakap pasal belajar tinggi apa semua?
Nak je aku jawab, haah memang aku belajar tinggi pun sebab kena naik kapal terbang, kan tinggi melepasi awan tu kan? Saje konon melawak la tapi tak jawab gitu pun.
Ayat seperti di atas tu ada unsur provokasi tapi kita buat tak tau je lah malas layan.

    Situasi lain pula. Paling menyampah bila orang cakap begini, "Nama je ambil aliran agama tapi perangai teruk sama macam orang biasa yang tak ada sliran agama."
"Nama je ustaz ustazah tapi perangai teruk."
Contohnya lah peramgai suka berbalah, bergaduh, mungkin ada maki hamun ke mencarut ke mengutuk ke. Kiranya maksud dia 'golongan agamawan atau aliran agama' ni gagal memberi contoh yang baik kepada orang lain yang bukan aliran agama. Prejudis seorang netizen.
Aku cuma nak cakap, ustaz ustazah pun manusia biasa. Bukan sempurna. Dan bukan semua golongan agamawan itu perangai kurang sabar ke apa ke. Dah kalau kau asyik provok mengutuk itu ini, siapa pun akan rasa marah dan tercabar lalu dihambur semula kata-kata kesat (kalau ada) kat kau.
Sebab tu ada hadith suruh diam bila kita tengah marah. Kalau tengah berdiri disuruh duduk. Kalau tak reda juga pergi ambil air sembahyang/ wuduk.
Kesimpulannya tak kisah kau ustaz ke bukan, tetap kena jaga akhlak. Tittle 'orang biasa' (bukan aliran agama) itu bukanlah tiket untuk kau sesuka hati nak bermulut jahat.

      Jika tiada kata-kata yang baik mahu diucapkan (atau ditulis di ruang media sosial), lebih baik kamu diam. Maka diam itu adalah lebih baik daripada berkata-kata tetapi menyakitkan hati orang. Pesanan untuk diri sendiri jua.

22 July 2018

Warkah Buat Yang

Assalamualaikum adik.

Entah kenapa aku asyik teringatkan kau je. Hari ni rasa paling dahsyat terkenang. Rasa macam tak percaya kau dah pergi. Berkali aku cakap ini mimpi je kot. Tapi hakikatnya bukan mimpi dik. Kau benar-benar dah kembali ke rahmatullah.

   Masih teringat dan terkenang status-status kat Facebook kau. Agak tegas dan kasar biasanya tapi aku suka baca. Itu memang cara kau dan diri kau. Tapi sayangnya Facebook kau pun dah tak ada. Samada kau sendiri sempat nyah aktifkan atau waris kau memang ada password Facebook kau dan tolong nyah aktifkan. Aku rindu kau dik. Kenapa cepat sangat kau pergi? Umur kau baru 30. Muda lagi. Ya Allah.

   Aku dengan kau bukan siapa-siapa pun. Cuma senior junior je. Tak tau kenapa aku terasa sangat kehilangan kau padahal kita bukan saudara mara dan tak ada pertalian darah pun. Kalau aku yang tak ada kaitan pun rasa sedih sangat apatah lagi adik beradik dan keluarga kau kan. Moga Allah beri ketabahan dan kekuatan kepada keluargamu.

   Jumaat 20 Julai jam 5.00 pagi. Aku terjaga dan tengok WhatsApp. Aku terus tengok WhatsApp group batch aku (perempuan sahaja). Kecoh pasal kau dah meninggal. Aku betul-betul terkejut. Eh tak kan lah. Gigih aku search FB kawan baik kau, adik beradik kau. Sukar untuk diri ini menerima kenyataan yang kau benar telah pergi petang semalam (Khamis). Bukan khabar angin. Inna lillah wa inna ilaihi rojiun.

    Bukan aku je terkesan dengan pemergian kau, sahabat-sahabat lain pun sama. Semua orang tahu kau rajin update status FB dan rajin juga komen status kawan-kawan. Rasa macam baru dua ke tiga hari lepas tengok kau update status FB, tiba-tiba hari ni kau dah tak ada? Benar-benar sangat mengejutkan. Tak tau pun kau ada sakit ke apa. Cuma yang kami tahu kau ada asthma/ semput kadang-kadang guna inhealer (betul ke eja) tu.

     Petang tadi aku nampak adik kau update status pasal kau. Ya Allah sedih sangat. Adik kau ada cakap semput dan demam panas cuma asbab kematian. Barulah aku tahu kau meninggal sebab apa. Kalau lah kau tahu betapa ramai yang sayang kau dan terlalu bersedih atas kematian kau. Betul lah orang kata, orang baik-baik ni memang Allah akan jemput awal. Kau memang terlalu baik dan menyenangkan. Tak pernah lah aku dengar orang cakap buruk pasal kau. Kau selalu tolong orang. Walaupun kau garang tapi hati kau sangat baik dan lembut. Moga Allah merahmatimu dan syurga buatmu.

     Aku ingat lagi dulu pernah pm kau kat mesenger tanya pasal poligami dan berkaitan. Masa tu kau jadi kadi daerah. Memang terbaik semua jawapan. Kemusykilan aku pun hilang. Lepas lepas tu kau ditukarkan ke unit halal pulak. Setiap ilmu yang kau kongsikan di status FB, amat besar manfaatnya pada sesiapa yang membaca. Inilah yang akan kami rindukan. Ya Allah. Lepas ini tiada lagi.

    Apa pun kau telah pergi ke alam lain. Selesai sudah tanggungjawab mu sebagai khalifah di bumi Allah ini. Walaupun mati di usia muda, tapi curahan bakti yang telah kau buat seolah-olah dah berpuluh tahun.

   Hidup ini singkat. Entah esok lusa aku pun akan dijemput Illahi siapa tahu kan? Dik, aku rindu kat kau dik. Allahu Akbar kenapa aku sedih sangat ni? Kau rajin komen status aku. Tiap tahun wish birthday kat FB. Kau amat menyenangkan walaupun tegas dan sedikit garang. Semua orang pun senang lah dengan kau.

     Allahummaghfir lahu warhamhu wa'afihu wa'fu 'anhu.
AlFatihah buat almarhum Yang Zulhilmi bin Mohamad. 1988-2018.

Malaysia Baharu? Benarkah?

Assalamualaikum.

Entri kali ini ada berbaur politik sikit. Sambil mengimbas pasca pilihanraya umum baru-baru ini. Semua dah tahu kita dah ada kerajaan baharu. Jadi apa yang aku tulis adalah pendapat peribadi aku sahaja dan tiada unsur hasutan atau sebagainya. Juga tak bermaksud untuk membangkitkan perbalahan. Kita santai-santai sahaja ya.

     PRU hari tu aku tak dapat mengundi sebab masih dalam pantang. Sebab lain pula adalah kerana tempat mengundi aku masih di Maokil sedangkan zauji di Tenggaroh. Situasi sama macam tahun 2013 dulu lah. Seorang timur, seorang barat. Sekitar tahun 2016 kononnya aku nak ubah alamat la nak tukar tempat mengundi di Tenggaroh. Masa tu ura-ura kata pru akan diadakan sekitar Mac 2017. Jadi bila aku kira-kira eh tak cukup enam bulan tempoh matang ni, dah tak boleh tukar la. Redha je lah. Tup tup pru tak jadi buat tahun 2017. Dan aku pun dah lupa terus pasal daftar pemilih nak tukar tempat mengundi. Sampai lah akhir nya dah muncul tahun 2018 dan aku terlepas lagi nak tukar alamat dan tempat mengundi. Eh panjang pulak intro haa. Belum sampai klimaks lagi ni. Haha. Harap bersabar baca sampai habis ye sebab super panjang entri kali ini.

    Seperti yang aku pernah cerita dulu-dulu dalam blog ini, aku adalah penyokong kerajaan, bukan pembangkang. Bermakna siapa juga yang menang pru, aku sokong. Jadi yang dulu tu memang aku sokong Barisan Nasional dan UMNO lah kan. Cuma aku tak dapat peluang mengundi tahun 2013 dan 2018. Untuk 2018 aku masih berharap BN menang walaupun peluang mungkin agak tipis dan bakal kalah dengan PH (Pakatan Harapan).

     Saat kira undian. Aku tak tengok sangat tv. Sibuk dengan baby newborn kan. Dalam WhatsApp ada tersebar kiraan undian di Johor PH memonopoli menang sebahagian besar parlimen dan adun. BN hanya menang sikit je. Aku mula tak sedap hati. Alamak, Johor yang kubu kuat umno bn ni pun dah kalah, rasanya PH bakal menang keseluruhan ni. Situasi agak kecoh bila sampai tengah malam pun masih belum siap kira undi di beberapa negeri. Rumours kata ada yb suruh kira semula lah, ketua tak nak sign lah. Macam macam. Akhirnya pada pukul 5.00 pagi lah baru diumum secara rasmi PH telah menang mengalahkan BN. Wow sangat tak sangka. Selepas 61 tahun akhirnya UMNO tumbang. Sedih juga sikit tapi redha je. Mudah-mudahan ada sinar baharu untuk Malaysia bila PH ambil alih.

    Ingatkan dah menang dah tak ada lah lagi perbalahan dan gaduh sesama penyokong parti. Rupanya masih tak habis kecohnya bila mana sebahagian manifesto PH gagal ditepati atau tidak menepati manifesto perlaksanaannya. Ah sudah. Pembangkang (BN dan PAS) mulalah menghasut dan mengapikan rakyat melaui media sosial terutamanya di FB. Penyokong kerajaan PH pula bermatian mempertahankan. Sampai sekarang ini pun masih berlaku hasutan, ejekan, perlian antara satu sama lain tak kira lah kerajaan ke pembangkang ke. Orang PAS dan BN hentam orang PH. Hai aku pun pening lah.

   Walaupun aku ni penyokong UMNO BN, tapi aku tak taksub. Bila mana PH dah jadi kerajaan, aku pun ok je. Tak menentang. Jangan tanya pulak kenapa aku tak sokong PAS. Eh suka hati aku lah hahaha. Yang jadi masalah ni bila masing-masing 'menganjing' antara satu sama lain. Contoh ayat: hah inilah yang korang pilih kan? Temgok apa jadi? (Ayat penyokong BN dan PAS).

    Ye aku tahu setiap orang bebas bersuara tapi tolong berhati-hati jangan sampai ada unsur hasutan, kecaman, sindiran, perlian. Tak elok lah macam tu. Daripada kau sibuk api-api kan keadaan adalah lebih baik berdoa semoga kerajaan baharu ini dapat mentadbir negara dengan lebih baik di samping dapat menyatukan rakyat. Sesiapa sahaja pun yang memerintah, kita doakan yang baik-baik sahaja. Mesti ada yang nak cakap aku lalang kan? Eleh dulu sokong Umno BN sekarang sokong PH pulak. Lorr. Apa masalah nya? Dah PH menang dan dah jadi kerajaan, kita patuh je lah. Bukan masalah setia tak setia dengan parti yang disokong, tapi inilah pilihan rakyat betul tak? Majoriti memilih. Kalau PAS menang pun, aku akan beri sokongan yang padu. Tidak akan jadi pembangkang.

    Paling tak suka bila ada pula yang terlebih rajin membuat perbandingan antara kerajaan dahulu dengan kerajaan sekarang. Itu pun ada unsur hasutan tau tak? Tak takut ke kena dakwa atas Akta Hasutan? Boleh masuk penjara kalau sabit kesalahan. Sebenarnya ramai yang masih belum move on. Yang penyokong BN masih tak move on BN kalah kali ini. Yang penyokong PAS masih tak move on sebab tak menang dan tak dapat jadi kerajaan. Boleh tak berhenti ejek mengejek sindir menyindir hasut menghasut? Tak boleh ke kita bersatu? Tak apa lah kita beri peluang PH kali ini jadi kerajaan dan lihat bagaimana Malaysia ditadbir dan diuruskan. Kalau banyak skandal ke apa lima tahun lagi kita kasi tukar je lah. Pilihan kan di tangan anda?

    Ada pula yang kata PH ni BN 2.0 atau senang kata tak ada beza BN dan PH. Kalau benar pun biar je lah apa masalah nya? Memang lah kebanyakan menteri PH dulu ex BN dan UMNO. Sebenarnya mereka nak kata kerajaan korup la tu. Maaf cakap lah ada ramai penyokong PAS yang terlalu ekstrem galak mengutuk, mercerca, memaki hamun kepimpinan kerajaan. Aku tak hormat langsung dengan orang macam ni, menyampah lagi ada. Cuba lah berlapang dada menerima kekalahan (PAS dan BN) dan tolong berhenti jadi penghasut. Kadang- kadang mereka ini tak sedar yang kata-kata atau status mereka di media sosial ada berbaur hasutan dan mengundang kebencian pada sesiapa yang membaca. Kenapa mesti nak semaikan rasa benci di hati orang terhadap kerajaan? Kenapa ye korang ni buat macam ni?

    Aku masih berharap ada sinar di sebalik kekecohan yang masih belum reda ni. Bagi peluang kerajaan baharu ini menjalankan tanggungjawab serta kerja mereka. Berhenti mengungkit dengan tujuan menghasut. Cuba bertenang dan cakap yang baik-baik sahaja.

   Ohoi bateri low. Kalau aku rajin aku buat part 2. Kalau rajin. Hahahaha. Kbai.

05 June 2018

Perjuangan Breastfeeding

Assalamualaikum.

   Sedar tak sedar dah masuk 20 Ramadhan. Ramadan tahun ni hambar je bagi aku sebab tak boleh berpuasa. Nifas masih ada walaupun aku dah habis pantang 44 hari. Hari ini hari ke 46 dah. Dua anak sebelum ni nifas sampai 60 hari.

    Perjalanan bf aku berjalan lancar je. Cuma masa hari ketiga hari tu aku kena bengkak susu dua hari. Sakit gila. Barulah kelam kabut nak beli pump. Beli yang manual dulu je sementara yang elektrik punya sampai (order online). Now aku dah tak pump just direct feed je. Masih juga bf si abang Naim tapi tak lah kerap. Si baby ni paling kuat menyusu antara tiga anak ni.

   Dua hari lepas masa lepas iftar tetiba zauji cakap macam ni, "Rupanya susu ibu ni ek dia punya khasiat effect sampai ke besar, bukan masa baby je (tempoh penyusuan". Aku jawab, "haah memang pun". Agaknya zauji baru baca article pasal susu ibu lah tu. Hahah. Effect yang dimaksudkan mestilah dari sudut positif seperti otak lebih pandai dan bijak, cerdas, tak mudah jatuh sakit dan banyak lagi kebaikan susu ibu.

   Kemudian zauji sambung lagi, "Itulah sebabnya kaum ibu ni kena jadi surirumah duduk rumah je. Biar suami seorang je kerja. InsyaAllah rezeki cukup walaupun cuma seorang bekerja".

   Maksudnya tu bila jadi housewife kan 24 jam dengan anak. Jadi tak ada alasan la tak dapat beri susu ibu. Walaupun zaman serba canggih ni ramai je ibu bekerja yang gigih pam masa waktu bekerja demi nak beri susu ibu untuk anak, tapi sebenarnya ramai juga ibu yang terus sahaja beri susu formula. Kena yang malas mengepam macam aku ni, hah nak senang bagi fm je masa baby sitter jaga anak. Dan harus diakui juga, direct feed khasiat dan nutrisi 100% dapat ke anak bila baby hisap. Kalau ebm (susu perah) tu dah kurang beberapa peratus lah nutrisi nya tapi still beribu kali lebih baik berbanding susu formula.

   Sambung sembang laki bini tadi, hahah. Aku pun balas, "Biasanya ibu yang bekerja tu sebab diorang ada hutang yang perlu dibayar. Contoh hutang ptptn, loan kereta, personal loan kalau ada. Nak tak nak kena bekerja juga la sebab nak bayar hutang."

Zauji pula jawab, "Suami kena tolong bayarkan la."
Hahahah kalau lah semudah itu. Kalau gaji suami pun cukup-cukup makan macam mana pulak. Aku pun stop berjidal dengan zauji sebab masa tu aku nak buat apa tah, kakaka.

   Tapi kalau lah semua wanita jadi surirumah je lepas berkahwin, nescaya tak ada lah nurse dan doktor wanita. Haru. Kalau ada pun yang bujang atau andartu. Pendek kata status isteri orang yang bekerja memang langsung tak ada tak kira lah kerja bidang professional atau kerja biasa-biasa. Takpe. Allah Maha Adil. Tak kisah lah bekerja atau surirumah, masing-masing pasti ada kelebihan tersendiri.

  Walau bagaimana pun, aku memang sangat kagum dengan golongan ibu yang bekerja dan masih ada baby, yang gigih mengepam dan kumpul stok ebm. Salute habis. Anda memang ibu terbaik.

    Selama lima tahun lebih aku df anak ni, Alhamdulillah aku pun tak sangka sampai ke tahap ini. Non stop okay. Time pregnant pun still bf. Tak pernah berhenti. Syukur Alhamdulillah. Allah beri kekuatan dan rezeki susu sentiasa ada. Tak ada lah meriah atau oversupply, tapi yang penting cukup. Please make me as your idola mommies. Kah kah. Meminta sangat kau ni kan.? Puii.

    Susu ibu terbaik di dunia. Jangan nafikan hak anak. Tak guna kalau kau orang paling rajin pun buat kerja tapi malas mengepam susu untuk anak. Tak lama pun, cuma dua tahun sahaja mommies.

24 April 2018

Pengalaman Bersalin Anak Ketiga

Assalamualaikum.

   Dah lama gila tak update blog, tetiba cerita pasal bersalin lah pulak. Hahaha. Sementara masih fresh dari ladang ni adalah sebaiknya aku abadikan dalam bentuk tulisan. Amboi. Haha. Jom.

21 April 2018. 2.30 pagi.

Aku terjaga dari tidur dan perut ada rasa memulas. Dalam mamai tu aku sempat berdoa, "Ya Allah, kalau betul ini tanda nak bersalin, tunjukkanlah dengan pecah air ketuban atau leaking ketuban macam Jannah dan Naim dulu". Dua minit lepas tu betul-betul air keluar. Masa tu masih baring lagi. Keluar sikit dulu, tiba-tiba terus mengalir deras dan panas. Aku cepat-cepat bangun ambil spender baru letak pad dan ke bilik air. Masa tu air dah mengalir sampai ke kaki sama macam yang kau selalu tengok dalam drama tv. Kah kah.

Aku kejut zauji tapi tak bangun. Oh ye kami satu keluarga ada di PRDH. Aku pun ke sofa depan call mak zauji tapi tak angkat. Then aku call mak aku bagitau macam dah nak bersalin. Pastu dalam 2.45 aku kejut zauji sampai bangun dan cakap macam dah nak bersalin dah pecah ketuban. Dia bangun dan pergi bilik air. Aku pun terus siap-siap dan kemas beg. Dah start contraction yang selang lima minit tu tapi tak kuat sangat. Masih boleh tahan dan berjalan.

3.00am 21 April 2018.

Semua dah setel aku pun masuk kereta. Duduk je dalam kereta aku dah rasa contraction yang maha hebat. Sakit gila. Betul2 kemuncak gitu. Tapi still berdoa sabar baby jangan keluar dulu tunggu sampai hospital ye. Ya Allah aku dah cuak takut terbersalin dalam kereta sebab memang sakit sangat dan terasa kepala baby berusaha nak keluar. Setiap kali contraction datang setiap kali tu aku kepit tahan. Setiap kali contraction datang air ketuban keluar sekali dengan banyaknya. Oleh kerana pakai pad jadi takde lah meleleh. Sepanjang perjalanan ke HSI ada la dalam lima kali contraction dan aku bertarung menahan sakit.

3.30am

Sampai je HSI aku cakap dengan zauji aku perlukan wheel chair sebab memang dah tak boleh berjalan dah sakit sangat. Mujur ada satu. Guard perempuan yang tolak wheel chair aku naik ke tingkat atas sementara zauji cari parking. Masa duduk wheel chair contraction datang lagi dan aku tahan dan kepit lagi. Sampai kaunter aku just past buku pink pada nurse dan guard terus sorong aku masuk bilik saringan. Masa tu ada dua ibu tengah tunggu turn nak cek jalan kot. Ada seorang je doktor masa tu boleh tanya kenapa ye puan? Waduh. Aku dalam kesakitan jawab nak bersalin lah dah sakit sangat ni. Dia pun suruh naik katil untuk cek jalan. Amik kau dah 10cm. Kelam kabut misi semua sorong katil aku nak masuk labour room. LR pulak penuh. Mujur ada satu kosong. Yang lawaknya diorang siap suruh luruskan kaki konon jangan bagi beranak dulu. Aku ikut kan je la jemah oi.

3.40am
Sampai LR still suruh luruskan kaki sebab nak buat persiapan la kan katil sediakan alas alatan semua. Tengah sakit2 sempat lagi la jawab soalan doktor pelatih kot tanya maklumat diri nama ic semua. Madatu ada nurse dua orang, sister seorang. Contraction pun datang. Kali ni aku tak boleh tahan lagi. Tak sempat aku betul bersedia kangkang rapat kaki ke punggung aku dah teran. Terasa kepala baby keluar. Terus aku teran sekali lagi badan baby pun keluar. Alhamdulillah mudah. Takde pun aku kena tarik nafas dalam2. Main teran je. Diorang pun terkejut agaknya eh senangnya keluar baby. Wakaka. Dalam beberapa saat lepas baby keluar barulah dengar suara baby menangis. Masa tu nurse tengah sibuk potong tali pusat. Lepas tunjuk gender baby barulah baby dibawa keluar ke bilik lain untuk dibersihkan. Tinggallah aku dengan seorang doktor dalam lr tu. Dia keluarkan placenta dan bersihkan darah beku.?Ada koyak sikit. Mula-mula doktor nak jahit, datang sister dia offer biar akak buat, doktor siapkan report. Haha dalam hati aku agak lega. Kalau dah namanya sister mestilah otai dan berpengalaman. Doktor tu pun muda sangat aku tak berapa yakin. Kah kah. Oh ye baby keluar pukul 3.47 pagi.

Nak dekat pukul 5.00 barulah aku keluar dari LR nak dibawa masuk ke wad. Baby dah letak kat sebelah aku. Baby boy seberat 3.09kg. Wah lebih 3kg besar juga. Jannah dulu 2.8kg, Naim 2.17kg. Alhamdulillah selamat dah semuanya.

Bersambung


21 December 2017

Fast Food

Assalamualaikum.

    Orang zaman sekarang dengan fast food macam tak boleh dipisahkan terutama yang tinggal di bandar. Kalau 20 tahun lepas orang yang makan fast food di restoran makanan segera cuma orang 'ada-ada' je. Maksudnya hanya orang berada dan kaya je mampu makan. Dulu pun tak sebanyak sekarang restoran makanan segera. Orang cuma tahu KFC dan McDonald je.

    Tetapi sejak Y2K dah makin ramai mampu dan suka makan fast food. Generasi yang lahir lewat 90-an dan 2000 ke atas, zaman sekolah menengah lagi dah biasa pergi lunch di Kepsi dan Mekdi sendiri dengan kawan-kawan, bukan dengan ibu bapa lagi dah (budak bandar). Secara purata lah Malaysian yang duduk bandar akan mengunjungi atau pandu laju (drive thru) restoran makanan segera paling kurang seminggu sekali (termasuk order online delivery). Orang suka order dan makan fast food sebab mudah dan cepat, tak perlu tunggu lama nak makan dan tak perlu susah-susah memasak. Yelah bekerja pagi sampai lewat petang dah penat, balik tempuh jammed lagi memang tak sempat lah nak memasak bagai perut pulak dah lapar.

   Walaupun ada banyak artikel dari pakar kesihatan dan pemakanan, ceramah dari doktor-doktor tentang bahayanya pengambilan fast food berlebihan, namun tak ramai yang ambil kisah (termasuk aku). Doktor pun nasihat kalau boleh elakkan terus dari mengambil fast food. Tapi biasa lah kan tipikal Malaysian, dah sakit barulah nak pantang makan macam-macam padahal mencegah lebih baik dari mengubati. Kesedaran masih kurang. Ada kesedaran tapi tiada tindakan pun tak boleh jadi apa lah. Makan sesekali takpe tapi jangan selalu.

   Macam aku sendiri paling suka kfc dan mcd. Marrybrown pun suka tapi francais dia tak sebanyak kfc dan mcd jadi jarang dapat makan. A&W aku pernah makan dua kali je kot tu pun entah berapa belas tahun lepas last masa Diploma. Tak minat sangat pun. Pizza Hut ada la setahun sekali atau beberapa tahun sekali. Haha. Secret Recepi dah ada anak ni barulah alu pernah jejak kaki sebab dulu alu ingat jual kek semata-mata so aku tak teringin nak masuk sebab aku tak makan kek. Masa hantar zauji ke KLIA nak pergi umrah barulah aku ada singgah SR (sebab itu yang paling dekat dengan tempat menunggu hehe). Singgah order minum je pun sebab aku dah larat dukung Naim lama-lama so aku kena cari tempat duduk sambil minum hehe. Siap order pasta lagi. Ceh. Starbucks seumur hidup tak pernah masuk sebab aku tak suka kopi. Subway pun bila dah anak dua baru aku pandai masuk, order dan makan. Sejak baru buka kat Aeon Taman U barulah aku try makan subway. Dulu aku tak pandang dan tak reti sebab sandwich banyak sayur. Rupanya boleh request tak nak sayur haha. Dominos pizza pulak aku order online tapi ni jarang jugak. Setahun ada la tiga atau empat kali. First time order delivery aku ingat lagi tahun 2014 masa di pusat rawatan lama. Haha. Burger King pernah order drive thru sekali je. Bapak mahal gila burger dia terus tak pernah lagi beli sampai sekarang. Kah kah. Yang lain-lain macam Kenny Rodgers, Nandos, Sushi King, Soul Garden (betul ke eja ni, yang steamboat tu), Chicken Rice Shop memang tak pernah makan kat situ. Aku cuma familiar kfc, mcd, marrybrown, dominos. Kfc secara purata sebulan sekali la makan. Mcd pun sama. Kadang sebulan dua kali. Takde lah kerap mana. Tapi tu lah. Aku memang suka lah fast food. Tapi zauji tak berapa. Dia lagi suka restoran makanan Melayu lah, nasi, mee.

     Tak kira lah apa jua yang kita makan, perlu bersederhana dan jangan berlebihan. Makanan yang sihat tentulah yang kita masak sendiri di rumah. Masak sendiri pun perlu kawal gula dan garam, ajinomoto, serbuk perasa dan lain-lain. Pilihan di tangan anda.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...