05 June 2015

Utamakan Bahasa Ibunda

Assalamualaikum..

   Setelah lama menyepi, barulah tiba-tiba muncul semula untuk update blog. Macam-macam hal yang berlaku. Alhamdulillah akhirnya berkesempatan juga nak buat entri baru. Cewah.

   Jannah dah nak masuk 2 tahun 4 bulan 12 Jun ini. Alhamdulillah. Semakin cerdik dan banyak perangai. Haha. Mulut kepoh banyak cakap. Layankan aje si kecil ini. Boleh lah gabung dua perkataan untuk jadikan ayat. Kalau tiga perkataan susah sikit. Contohnya, 'ummi pegang', 'ummi tido', 'abah, bangun' (kejut dari tidur), 'naik keta', 'ummi, duduk', 'nak ikut'. Ada sesetengah perkataan masih tak sempurna sebutan tapi boleh faham la. Nak kata pelat tak juga. Semua huruf boleh disebut dengan betul cuma ada yang tak sempurna contohnya 'jalan' jadi 'alan'.

  Yang lawak sikit, Jannah bahasakan diri dia 'kakak'. Kata pengganti diri untuk diri dia sebut 'kakak'. Padahal aku dan zauji ajar panggil 'Jannah' untuk pengganti diri. Contohnya, 'kakak punya', 'kakak beyak'. Kadang-kadang sebut 'kakak Jannah' sambil tunjuk kat diri dia, hehe. Kalau tengok gambar diri sendiri dan kita tanya siapa ni? Jannah akan jawab 'kakak'. Haha, maknanya dia la tu, tak sebut Jannah tapi sebut kakak.

   Tantrum? Biasa lah tu budak-budak umur macam ni, kalau tantrumnya datang, menguji kesabaran juga kadang-kadang. Tapi selalunya lebih rasa kelakar kalau tengok tantrum Jannah. Baling-baling barang lah, protes, jerit, membebel. Kalau dipegang menggeleding dan macam nak hempas badan. Tapi semua boleh dikawal. Kadang marah juga tapi tak ada lah teruk sangat sampai menengking. Marah gitu-gitu je la. 

  Berbalik pada tajuk entri, aku dan zauji memang berkomunikasi dengan Jannah menggunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Melayu 100%. Langsung tak guna bahasa lain contohnya English ke, Arab ke. Mungkin ada sesetengah ibu bapa berkomunikasi dengan anak kecil guna Bahasa Inggeris. Ada yang campur-campur English dan Malay. Terpulang lah pada didikan masing-masing.

   Tapi pada pendapat aku la kan, jangan campur-aduk kan bahasa ketika berkomunikasi atau ajar anak kecil bercakap. Nanti anak akan jadi keliru. Sebab otak mereka sedang berkembang, senang mengingat atau menghafal apa sahaja yang dia dengar samada spontan atau tidak. Untuk permulaan biarlah anak belajar dan mengingat hanya perkataan-perkataan Bahasa Melayu sahaja. Kalau nak english biar semua English jangan dicampur-aduk kan. Bila dia dah fasih bercakap, barulah ajar bahasa lain. 

    Terus terang, aku memang tak gemar parents yang kengkonon speaking English dengan anaknya yang masih kecil. Konon nak ajar speaking English sejak baby dan toddler. Lantak lah orang nak kecam aku tapi aku rasa macam parents ini poyo sangat. Dah kita dilahirkan bangsa Melayu, ajarlah anak cakap Melayu, tak payah nak orang putih sangat. Geli telinga aku ni dengar mak bapak speaking omputeh dengan anaknya yang masih kecil macam Jannah. Macam tak sedar diri yang kau tu Melayu, bajet orang putih pulak. Lain lah kalau kahwin campur, laki nya atau bini nya memang orang putih. 

  Biarlah anak betul-betul dah fasih dan petah bercakap, dah tak pelat, baru slow-slow ajar bercakap bahasa lain pula. Ini yang aku maksudkan berkomunikasi dua hala. Tetapi kalau setakat nak mengajar mengenal benda atau bianatang atau apa sahaja yang berpandukan buku bergambar, tak mengapa lah nak ajar pakej BM BI BA sekali. Itu pun biarlah umur dah besar sikit tiga atau empat tahun ke baru ajar bahasa lain. Macam aku cakap awal tadi, anak akan jadi keliru. Jangan tergesa-gesa atau tergopoh-gapah sangat nak ajar anak kecil speaking English (kononnya.. puih.. hahaha). Just follow the flow. 

   Lagipun dah banyak juga aku jumpa anak-anak kecil yang berbangsa Melayu tapi tak reti atau tak tak tau cakap Melayu dan berbahasa Melayu? Eii... nyampah la aku tengok. Kita cakap Melayu dengan dia, dia terpinga-pinga tak faham. Yelah, dah ibu bapa nya tak pernah berkomunikasi dalam bahasa Melayu bila di rumah atau di mana sahaja. Please la jangan nak kebaratan sangat. Ini salah mak bapak la konon nak speaking London/ Amerika sangat. Puiii!! Geli la tau tak. Menyampah gila. Whatever.

      Hahaha, emo terlebih pulak. Apa pun, Jannah kami biasakan berkomunikasi bahasa ibunda dengan dia. Nampak dia bijak dan mudah menghafal/ mengingat. Cepat tangkap la. Apa yang orang sebut, dia akan ikut sebut semula. Paling penting dia faham dan tau apa yang dia sebut. Itu mustahak. Bukan main sebut je tapi tak tau apa dia. Haha. 

19 April 2015

Hati Perempuan

Assalamualaikum..
  Maaf, ini bukan nak ulas cerita bertajuk Hati Perempuan daripada novel atau drama tv. Ini cerita hati perempuan yang real, bukan rekaan atau imaginasi.
    Hati seorang perempuan asalnya lembut, tak ada yang keras. Walaupun mulut jahat ke atau terlepas kata-kata menyakitkan hati orang lain, namun hati perempuan itu bukanlah sejahat mulutnya.
   Aku keliru sebenarnya. Tak tahu siapa yang benar, siapa yang tak jujur. Hanya doa yang dapat ku pohon setiap masa agar Allah memberi aku petunjuk. Bukan mahu mencari siapa salah, aku hanya mahu tahu kebenaran dan kesahihan. Itu sahaja. Barulah kekeliruan dan kekusutan ini akan berakhir. Ya, hanya pada Allah tempat mengadu dan meminta.
      Hati perempuan ini, selalu berdoa kepada Allah. Saat hati disakiti, terus berdoa dalam hati, Ya Allah, berikan aku ketabahan dan kekuatan. Kita hamba memang lemah. Tak ada kekuatan dan daya melainkan dengan kehendak Allah. Allah yang pegang hati kita. Dia berkuasa membolak-balikkan hati. Oleh itu kita jangan angkuh, berlagak dan bercakap besar. Setinggi mana ilmu dan kekuatan kita ada, jika Allah tak izinkan, memang tak akan terjadi apa-apa.
    Hati aku ini, kadangkala diracuni fikiran dan minda jahat, untuk doakan yang buruk untuk orang yang buat aku terluka. Tapi lembutnya hati perempuan ini, boleh dan mudah memaafkan. Kadangkala bila datang idea jahat atau dendam, macam-macam yang aku rancang untuk lakukan,  tapi bila sampai masanya aku jadi tak sampai hati dan tak jadi buat. Adakah aku terlalu lembut hati atau hati perempuan memang begini?
     Busuk hati? Hasad dengki? Minta Allah jauhkan rasa negatif itu. Minta Allah jauhkan segala sifat mazmumah. Ameen.
     Alhamdulillah. Bersyukur atas segala nikmat yang Allah beri. Semuanya datang dari Allah. Tidak kira lah kebahagiaan, kegembiraan, ujian dan apa sahaja. Asalkan kita sentiasa ingat pada Allah, hati kita akan menjadi tenang. Besar mana pun masalah yang datang, ujian dan dugaan yang menimpa, bila kita ingat Allah dan kembali pada-Nya, hati akan rasa tenang dan damai. Allah sentiasa bersama kita.
     Semoga segala kekusutan dan kekeliruan ini akan berakhir secepat yang mungkin. Aku tidak mencipta sengketa. Bukan aku yang buat huru-hara. Bukan aku punca semua ini berlaku. Ini semua adalah kehendak Allah jua. Kalau lah dia faham tentang ini. 
     Sabar. Sabarlah dalam menghadapi ujian ini. Ya Allah, damaikan semua hati mereka. Tunjukkan lah kebenaran.

09 April 2015

Doa Seorang Isteri dan Ibu

Assalamualaikum...
   Alhamdulillah. Allah menguji tanda sayang. Walau berat mana ujian yang Allah beri, ketahuilah yang kita mampu untuk menghadapinya. Allah tidak akan memberatkan satu ujian itu melainkan dengan kemampuan hamba-Nya.
    Tetapi, tidak sekali-kali aku melakukan perkara syirik dan khurafat. Nauzubillahi min dzalik. Aku dah hilang akal ke atau terdesak sangat ke sampai nak guna ilmu sihir lah, penunduk la, guna-guna lah. Apa aku cetek sangat ke pengetahuan agama? Akidah aku dah terpesong sangat? MasyaAllah. Kenapa begitu sekali tuduhan daripada orang yang aku hormat dan sayang? Ya Allah Yang Maha Melihat, kuatkan dan tabahkan diri ini. Ameen.
    Kalau pun memang tak suka aku, benci aku, janganlah sampai menuduh aku seteruk itu. Tak apa lah. Hanya Allah yang tahu hati aku, diri aku macam mana. Biar dibenci manusia tapi Allah lebih tahu akan hamba-Nya. Ya Allah Yang Maha Mendengar, tolong beri aku kekuatan untuk menghadapi semua ini. Ameen.
      Ujian demi Ujian bertimpa-timpa. Alhamdulillah. Ujian juga adalah hadiah dari Allah. Sebagai peringatan agar aku tidak lalai dan hanyut. Alhamdulillah. Aku juga bersyukur diuji sebegini. Allah ingin mengangkat darjat hamba-Nya dengan memberi ujian yang berat dan bagaimana hamba itu mengatasinya dengan sabar dan redha. Ya Allah Yang Maha Mengetahui, hanya pada-Mu segala pergantunganku. Ameen.
      Hari ini, aku juga mendoakan yang baik-baik untuk 'mereka'. Semoga Allah mudahkan semua urusan dan cepat-cepat pulang. Walau hati disakiti, pedih dan terluka, aku tetap doakan yang baik-baik. Tak apa lah, mengalah bukan bererti lemah. Sebaliknya aku sedang membina kekuatan dan ketabahan diri. Allah sahaja yang tahu hati aku. Ya Allah Yang Maha Agung, tolong pulihkan semangatku, kuatkan semangatku, kuatkan hatiku untuk redha dengan semua ini. Ameen.
    Walau sakit ini sukar sembuh atau mungkin tak akan sembuh sampai bila-bila pun, aku kena kuat untuk teruskan hidup ini. Ujian ini mungkin hanya kecil sahaja nak dibandingkan dengan orang lain yang Allah uji lagi besar ujiannya. Tetapi, ujian yang melibatkan hati dan jiwa ini sebenarnya amat perit lagi daripada ujian fizikal atau yang boleh nampak contohnya harta dan keperluan.
Ya Allah Yang Maha Penyayang, jaga dan pelihara lah hati ini agar selalu dekat dengan-Mu Ya Allah. Jangan sekali-kali hatiku dibiar lalai dari mengingati-Mu. Ameen.
    Allah sebaik-baik perancang. Allah sedang merencana yang terbaik buat hamba-Nya yang lemah ini. InsyaAllah semuanya akan baik-baik sahaja. Yakinlah dengan apa yang telah Allah atur, pasti itu yang terbaik buat kita. Bersangka baik dengan semua ujian yang Allah beri. Bukan untuk menyusahkan atau menyeksa, tetapi kerana Allah ingin memberi ganjaran lebih untuk hamba-Nya yang sabar.

01 April 2015

Semakin Hampir

Assalamualaikum...
   Semakin hari, semakin hampir hari 'derita' ku akan bermula. Aku masih tetap bertegas dengan pendirian dan doaku pohon tanpa jemu. Setiap hari, setiap masa aku berdoa benda yang sama tanpa gagal. Seandainya tidak dimakbulkan Allah, aku redha. Allah ingin memberi yang lebih baik lagi untuk aku.
     Dan seandainya doaku termakbul. Alhamdulillah. Aku bersyukur sangat. Allah menyebelahi aku. Bermakna 'mereka' tidak diredhai Allah. Aku dalam golongan 'teraniaya' dan 'dizalimi'. Hati aku dilukai. Hati aku bagai ditoreh, dihiris, ditikam sehingga hancur berkecai. Sakit. Memang sakit. Sakitnya itu di sini. Di hati. Sangat sakit. Pedih. Aku yang amat terluka. Aku memang tak akan maafkan pengkhianatan ini sampai bila-bila.
    Mulut memang mudah mengatakan...
Semuanya takdir Allah..
Allah yang gerakkan hati ini...
Allah yang atur semua ini...
Allah yang timbulkan perasaan suka dan cinta ini...
Tak tau macam mana boleh terjadi. Perasaan itu datang sendiri.. tanpa dipaksa. Timbul sendiri..
Ah, sudahlah! Semuanya dusta! Kau yang tak setia. Kau pengkhianat. Kau tamak. Kau yang tak bersyukur. Kau sentiasa mahu lebih.
Dan kau pula. Kau pengkhianat juga.
Ah aku benci semua ini.

20 March 2015

Selamat Ulangtahun

Assalamualaikum..  

     Hai semua. Hari ini adalah ulang tahun blog ini yang keenam. Wahhh... sudah enam tahun laa. Alhamdulillah masih bernyawa. Walaupun kadang lama tak update dan tak ada entri baru tapi sekurang-kurangnya masih ada viewers dan pembaca. Weeee~

     Sekarang aku memang update blog pakai smartphone je, senang. Kalau bukak kat laptop kadang lambat loading. Atau kadang-kadang kena kacau. Ada saja halangan. Ceh, konon. Dengan android,  aku menaip sambil baring pun boleh. Anytime anywhere lah katanya. Tapi tak lah sampai bawa masuk ke dalam bilik air. That's not me.

      Kadang-kadang aku rindu juga zaman kegemilangan (ceh) blog aku dulu-dulu. Dulu aku lebih out spoken. Sesuka hati nak tulis apa. Nak kutuk, nak maki, nak puji, nak luah tak puas hati dan apa-apa sahaja lah. Kata orang tu, tulisan yang jujur dan tak hipokrit. Lantak lah orang nak cakap apa. Pedulikan.

    Sekarang, seiring dengan peningkatan usia (ewah) aku dah kurang atau pun dah tak ada  lah nak memaki mengutuk atau cakap apa saja yang tak puas hati. Biasa-biasa saja. Bukan lah nak jadi hipokrit tapi dah semakin matang mengawal perasaan dan lebih berlapang dada. Wahh gitu kau. Kekeke.

    Walaupun blog aku ini lebih kepada kisah hidup aku, bukan spesis blog formal yang penuh informasi tapi aku enjoy menulis. Followers tak ramai pun aku tak kisah. Gah nya satu blog itu bukan hanya kerana sebab followers yang ramai, hehe. Aku selalu juga tengok statistik viewers blog aku ni. Boleh tahan juga ramai yang baca setiap bulan. Yelah,  bukan blog glamour hanya blog picisan. Bukan glamour yang aku cari. Heheh.

    Identiti aku dengan nickname Seimura juga kekal misteri di mana tak ada satu pun gambar myself aku upload di sini. That's my style. That's so me.

18 March 2015

Menangani Suami yang Workaholic

TIPS MUNAKAHAT – MENANGANI SUAMI YANG WORKAHOLIC

Dalam dunia yang serba mencabar ini ramai para suami menjadi workaholic, iaitu terlajak komitmen mereka terhadap kerja sehingga dirasakan oleh isteri sebagai mengabaikan rumahtangga. Pada masa yang sama, ada pula suami yang pemalas dan asyik melekat di rumah macam ular sawa.

Ramai pasangan yang mengadu mengalami masalah keretakan rumahtangga yang berpunca dari fenomena ‘suami workaholic’ ini. Kebanyakannya dari kalangan pasangan muda yang rumah tangganya masih belum cukup stabil. Lebih parah lagi jika pasangan itu belum dikurniakan anak sebagai peneman isteri atau golongan suri rumah sepenuh masa.

Keretakan bermula dari sang isteri yang merasa terbiar kesunyian sehingga merasa tertekan. Segala urusan rumahtangga termasuk urusan anak-anak terpaksa diuruskan sendiri, namun gagal meluahkan perasaan dengan bijaksana. Tindakbalas yang diberikan terhadap suami agak keras dan berupa protes yang menimbulkan ketegangan. Ini ditambah pula dengan kerasnya sikap suami.

Berdasarkan pengalaman komuniti RPWP yang memang rata-rata para suaminya adalah dari jenis workalhlic kerana terbeban dengan berbagai tugasan, maka ingin kami kongsikan beberapa tips yang berguna.

KENALI APA YANG MENYEBABKAN SUAMI ANDA WORKAHOLIC.

Petua pertama yang ingin kami kongsikan ialah asas kesefahaman dan saling memahami. Para isteri harus cuba untuk memahami atas sebab apakah suami anda jadi workaholic? 

Biasanya suami yang workaholic ialah jenis yang mempunyai cita-cita, tanggungjawab dan komitmen yang tinggi. Ini banyak terjadi kepada lelaki yang menjalankan perniagaan sendiri atau menjadi ketua atau eksekutif di tempat kerjanya. Suami jenis ini banyak memikirkan masa depan dan tanggungjawab berat untuk memastikan kemajuan dan kepentingan syarikat yang diterajuinya.

Ada juga lelaki yang dilihat workaholic kerana tekanan hidup. Mereka terpaksa melakukan kerja lebih masa untuk menambah pendapatan bagi menampung keperluan keluarga. 

Tidak kurang juga jenis yang agak lemah atau kurang cekap dalam melakukan kerja. Ini jenis yang mengamalkan ‘work hard’ tetapi tidak ‘work smart’. Akibatnya mereka terpaksa melakukan kerja lebih masa untuk menyiapkan kerja yang sama dengan orang lain.

BAGAIMANA MENGHADAPI SUAMI WORKAHOLIC?

1. BERLAPANG DADA - Kebanyakan isteri menjadi tertekan dan merasa tersisih dengan keadaan suami workaholic. Tekanan itu menyebabkan mereka menjadi berjauh hati dan bersikap emosional terhadap suami. Kerana itu amat penting untuk para isteri bersikap sabar, tenang dan berlapang dada dalam menghadapi situasi itu.

2. JANGAN MENCACI – Jangan sekali-kali mencaci atau merendah-rendahkan kerja suami. Harus diingat bahawa suami jenis ini hampir menjadikan tugasan atau kerja mereka sebagai prioriti dalam hidup. Dalam bahasa mudahnya, kerja itu menjadi ‘sembahan’ mereka. Jika isteri tersilap langkah dalam menyuarakan ketidakpuasan hati maka keretakan rumah tangga boleh terjadi dengan mudah. 

3. BERI DORONGAN - Cuba dampingi suami jenis ini dengan memberikan kata semangat dan penghargaan. Nampakkan yang anda berbangga mempunyai suami yang kuat kerja dan kreatif berbanding suami yang pemalas dan asyik makan tidur sahaja di rumah.

4. TAMBAH DAYA TARIKAN, JANGAN TAMBAH KEBOSANANNYA – Suami jenis ini biasanya agak kreatif dan akan pulang ke rumah dengan baki tenaga dan mood yang kurang. Ada kalanya akan jadi cepat marah dan mudah bosan dengan isteri yang pemalas dan pengotor. Justeru carilah jalan untuk mengimbangi sikapnya agar beliau merasa selesa di rumah. Siapkan diri dan indahkan suasana rumah agar nyaman dan selesa ibarat syurga. Penuhi segala keperluannya yang biasa seperti makan pakai dan peralatan kerjanya.

5. JANGAN SUKA MENDESAK - Walaupun kita merasa bosan dan tertekan, cuba pujuk diri agar bertolak ansur ketika permintaan kita tidak dipenuhi. Jangan sekali-kali bersikap mendesak ketika meminta sesuatu apabila dilihat beliau tidak selesa atau melayani permintaan kita. Contohnya untuk mengajak beliau ke mana-mana sedangkan dia kelihatan sibuk.

6. BANTU KERJANYA - Jika memang workaholic tidak dapat dielakkan, cuba fahami situasinya dan jadilah penolongnya secara fizikal. Tawarkan apa sahaja yang boleh anda bantu seperti tolong mengira dan menaip, tolong menyusun dan sebagainya. Jika suami anda berkerja sendiri, cuba cari jalan agar boleh pindahkan tempat kerja supaya dekat dengan rumah atau bawa balik sedikit kerja agar sama-sama boleh dibantu jika perlu.

7. SILATURRAHIM - Lazimkan untuk sentiasa bersilaturrahim dengan suami dari mula beliau berangkat ke tempat kerja, sampai pulangnya. Kirim mesej yang lunak dan mesra seperti mendoakan keselamatannya dalam perjalanan, doakan beliau dimudahkan urusan kerja hari itu, nampakkan anda bersyukur yang beliau telah selamat sampai ke tempat kerja, tanyakan beliau sudah makan ke belum? Makan apa? Di mana? atau apa sahaja mesej yang mesra.

8. AMBIL PELUANG ‘QUALITY TIME’ - Minda lelaki jenis ini sentiasa berputar memikirkan kerjanya. Adakalanya ia kurang berbicara. Jangan cepat melatah dan berputus asa. Jika mulutnya berat, cuba pelbagaikan kaedah berinteraksi atau apa sahaja pendekatan yang boleh ‘menggoda nafsu kelelakiannya’ ketika beliau berada di rumah. Contohnya,

a. Hargai kepulangannya dengan mempersiapkan diri dengan apa sahaja yang dia suka menjelang waktu beliau tiba dari tempat kerja. Sebaiknya hubungi beliau melalui telefon atau apa sahaja untuk mengetahui saat ketibaannya dengan tepat.

b. Beri senyuman paling manis, bergegas membuka pintu dan keluar rumah untuk buka gate sebaik sahaja beliau tiba. Bukakan pintu kereta atau bukakan helmetnya jika perlu. Pastikan ada menyarung pakaian ‘luar’ seperti jubah dan tudung yang lengkap ketika keluar menyambutnya.

c. Salam dan cium tangannya dengan penuh keikhlasan. Tundukkan kepala penuh tertib, bukan dengan mengangkat tangannya ke mulut sedangkan kita kekal tegak berdiri tanpa tunduk. 

d. Tolong ambil, bawa masuk dan simpankan dengan cermat apa sahaja barang yang dia bawa bersama seperti beg kerja, pakaian, buah tangan atau apa saja.

e. Jika 'keadaan mengizinkan' dakaplah tubuhnya dengan erat, kucup pipi dan mulutnya penuh mesra dan manja. Beri juga peluang beliau untuk saling mencium pipi, kucup mulut, memeluk tubuh, dan ‘bermesra’ dengan tubuh anda semahunya kerana ia halal dan dituntut. Sebaiknya anda mengenakan pakaian paling ‘menjolok mata’ yang boleh beliau lihat dengan rasa ghairah sebaik sahaja anda masuk ke rumah dan melepaskan ‘pakaian luar’ anda.

f. Walaupun beliau kurang berbicara, cuba juga ajak berbual dengan soalan yang tidak merimaskan beliau. Jangan lontarkan soalan ‘bodoh’ yang membosankan fikirannya. Orang begini hanya melayan sesuatu yang berkualiti dan diminati sahaja. Jauhkan adu domba di saat beliau baru pulang dan tidak tenang.

g. Cuba dekati beliau di dalam rumah dengan layanan seperti membukakan stokin, kot, jaket, baju dan menyimpannya dengan baik. 

h. Sebaik sahaja beliau duduk, pastikan anda sudah sediakan minuman dan makanan ringan kesukaannya.

i. Tawarkan beliau untuk diurut kaki atau tangan dengan penuh teliti dan kasih sayang sebaik sahaja beliau duduk. Jangan mengurut dengan gaya malas atau acuh tak acuh, sekejap urut sekejap berhenti, terutamanya jika anda mengurut sambil menonton tv. Ini akan membuatkan suami anda merasa bosan dan membenci. Ingat, suami jenis ini amat teliti dan sensitif. Beliau boleh rasa samada anda berlakun dengan fasik atau ikhlas dan bersungguh-sungguh.

j. Tawarkan juga jika beliau ingin mandi bersama bahkan jika beliau inginkan ‘sesuatu’ yang lebih dari itu. Hargai ‘permintaannya’dengan penuh bangga kerana itu tanda anda sangat ‘berharga’ padanya. Itu juga tanda anda bijak kerana berjaya ‘menggoda’nya sebagai isteri yang berkualiti untuk seorang suami.

k. Jika beliau tidak menjamah makanan atau sedang melakukan kerja, ambil peluang ini untuk anda mendekatinya. Contohnya ambil makanan dan tawarkan untuk menyuapnya dengan manja dan penuh kasih sayang. Jangan pula anda ganggu anggota tubuhnya jika beliau sedang khusyuk melakukan kerja, juga jangan teruskan suapan makanan ketika ia kelihatan sedang khusyuk bekerja seperti menaip dan sebagainya.

l. Selain perhubungan maya, carilah juga jalan apa sahaja untuk mendekatkan diri secara fizikal dengan suami. Contohnya, jika suami bekerja sendiri atau anda bebas hadir ke tempat kerjanya, hantarkan bekalan makanan dan ajak suami makan sama di pejabat atau tempat kerja. Jika ‘keadaan mengizinkan’, anda juga boleh suap beliau ketika sedang berkerja seperti menaip atau sebagainya - seperti di gambar hiasan.

KESIMPULAN

Keretakan rumahtangga sering timbul kerana salah faham yang asyik menimbulkan selisih faham. Sebagai isteri, kitalah yang harus tunduk kepada suami. Cubalah memahami situasi suami anda agar anda mampu bertolak ansur dan bersabar dengan sikap workaholicnya. Jangan paksa suami anda untuk memahami anda sehingga ke tahap bertegang dan menghina peribadi dan kerjayanya.

Perkara yang paling sukar untuk kita ialah bersyukur dengan apa yang ada. Jika anda ada suami yang workaholic, cuba syukuri kerana di luar sana ada suami yang pemalas dan tidak suka kerja. Bahkan ada suami yang langsung tidak mahu kerja dan asyik meminta wang belanja dari isteri sahaja. Lebih malang lagi ada wanita di luar sana langsung tidak merasa hidup bersuami pun.

Jika kita tidak mampu menarik suami kita, dan memang itu agak sukar kerana ego suami begini memang tinggi dan sukar dilentur, biar kita pula yang mengalah untuk mendekati dia. Godalah ‘dia’ dengan apa sahaja kelebihan yang ada pada kita sepertimana yang disenaraikan di atas. Janganlah cepat merasa tertekan dan berputus asa.

Kami telah mengamalkannya dan kami telah dapati ia sangat berjaya. Selamat mencuba. InsyaAllah kami doakan anda akan turut merasa bahagia.

17 March 2015

Jika Itu Takdirku

Assalamualaikum...   
 
    Dalam hidup ini, ada ketikanya perlukan banyak pengorbanan. Korbankan perasaan, korbankan jiwa raga, korbankan kebahagiaan dan macam-macam lagi. Bukan setakat berkorban harta sahaja.

    Dalam kes aku, aku terpaksa korbankan sebahagian kebahagiaan aku demi orang lain. Tak apa lah andai itu takdir yang tertulis untukku.

    Sejujurnya, selama ini adakah aku benar-benar bahagia?  Apakah definisi bahagia yang sebenarnya? Apakah definisi derita? Adakah aku tak tahu atau tak faham apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan bahagia? 

   Selepas ini, bahagia mungkin makin menjauh dari aku. Bahagia mu deritaku. Tak apa lah aku rasa terluka dan menderita asalkan dia bahagia. Tidak mengapa. Ini pun satu pengorbanan. Aku redha. Walaupun rela dalam terpaksa. Aku bukan berdaya nak menghalang. Tiada dayaku. Tiada...

     Jika itu benar-benar takdirku, aku akan redha. Mencuba untuk ikhlas menerima. Mencuba untuk berpura-pura aku bahagia.  Mencuba untuk selindungkan penderitaan dan kesedihan. Mencuba untuk menjadi lebih tabah. Mencuba untuk berpura-pura seperti aku langsung tak terkesan. Mencuba untuk menunjukkan kegembiraan palsu.

    Hidup mesti diteruskan. Allah sebaik-baik perancang. Allah tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Allah mendengar rintihan kalbuku. Allah juga mendengar doaku. Moga Allah makbulkan doaku. Ameen.
 

04 March 2015

Vco dan madu

Assalamualaikum.  

  Kali ini aku update blog melalui fon je. Sambil baring boleh taip. Kalau guna laptop susah betul nak habiskan. Ada je halangan. Dengan Jannah lagi. Hoho.

   Sudah masuk bulan Mac. Bulan February tak update langsung. Tak sempat. Baru tulis seperenggan lepas tu ada orang kacau. Macam-macam halangan.

   Alhamdulillah Jannah genap berusia dua tahun tanggal 12 Februari yang lepas. Membesar menjadi seorang anak yang bijak dan cerdik. Dah pandai cakap walaupun belum boleh buat ayat sangat tapi orang boleh faham lah dia cakap apa. Hari tu Jannah macam kena allergic ke apa tak tau lah. Bermula dengan jari tengah tangan kiri macam menggelupas. Then merebak ke perut jari. Habis kuku dia dah macam cagu. Lebih teruk lagi merebak ke jari lain pulak. Lepas tu jari kaki pulak kena.

   Kami tak bawa pergi klinik. Just sapu vco dan beri minum madu. Dah dua minggu masih belum sembuh. Lepas tu keluar pula bintik-bintik merah kat badan, perut, muka dan kaki. Kami masih teruskan sapu vco dari badan dan beri minum madu kelulut setiap hari.

   Alhamdulillah kini sudah beransur pulih. Kulit menggelupas semua dah tak ada. Bintik-bintik pun dah semakin hilang. Ada tinggal parut sikit-sikit. Masih jua sapu vco setiap hari. Ambil masa sebulan juga nak baik sejak kena di jari-jari dia hari tu. Alhamdulillah. Kuasa Allah.

   Tak pergi klinik sebab dah tau doctor hanya akan beri antibiotik dan krim untuk sapu. Sedangkan madu asli merupakan antibiotik terbaik untuk badan manusia. Krim sapu pula mesti lah beracun. Bila sapu kang dah tak boleh nak pegang makanan ke apa. Sapu vco yang terbaik. Selamat dan tak ada bahan kimia langsung.

    Cuma ada sehari je dalam tempoh kulit allergic ni Jannah ada demam. Tak sihat. Merengek je. Mujurlah sehari je. Lepas tu ada la Selesema sikit tapi tak lama. Dalam dua, tiga hari. Kata orang demam beralih bulan/ tahun. Hehe. Masuk umur dua tahun demam pula. Alhamdulillah hanya sementara.

   Akhir kata, yakinlah dengan pemakanan sunnah.

30 January 2015

Suction and Curettage part 2

Assalamualaikum.

   Entri sambungan. Hihihi. Dah lepas operation suction and curettage atau singkatannya S&C. S&C dengan D&C proses 'pencucian' tapi menggunakan kaedah dan alat yang berbeza. Proses Dilate and curettage atau DNC melalui cerita kawan yang pernah DNC ialah diorang korek dan cuci darah keguguran dalam rahim menggunakan alat khas nya lah. Aku pun tak tau macam mana rupanya hehe. Akan rasa sakit dan ngilu sikit. SNC pulak proses 'sedut' menggunakan alat khas juga. Mungkin macam tiub yang masuk air atau darah tu aku pun tak tau, hehe. 

    Ok bila tekanan darah aku dah stabil, aku pun disorong pulang ke wad asal. Tapi kali ini aku tak rasa sakit atau lemah. Biasa je. Dah sampai wad aku sms zauji suruh masuk wad. Dia sampai je aku mintak tolong bawakan aku ke toilet nak cuci dan salin apa yang patut. Sorong aku pakai wheelchair siap dia masuk bilik air sekali teman aku, haha. Aku guna bilik air 2nd class sebab besar dan orang tak guna sangat. Kalau bilik air 3rd class style asrama atau hostel banyak-banyak gitu dan kecil.

  Dah kembali ke katil, zauji ruqyah kan aku. Aku baring sampai tertidur-tidur jugak. Sebelum tu aku dah makan dah, kira buka puasa lah, dah puasa sejak malam tadi. Selesai baca-baca, zauji pun keluar dan balik rumah. Aku terus sambung tidur sampai petang. Kira beberapa jam sekali aku tukar pad sama macam nifas jugak la. Beberapa kali sampai esoknya masih kena ambil darah dan masuk ubat kat tangan aku. Beberapa jam sekali jugak nurse ada bagi pil tahan sakit. Aku ambil je semua dan telan. Biar banyak dadah dalam badan aku. Wakaka. Sebab aku mana tahan sakit. Daripada tanggung sakit lebih baik aku makan ubat. Lagipun sementara dalam wad ini je diorang bagi ubat, dah balik kang takde lagi dah.

  Alhamdulillah aku rasa cergas je boleh berjalan dengan laju lagi. Tak ada rasa sakit pulak kat mana-mana. Kata orang lepas keguguran memang sakit tapi aku pun tak tau la sakit kat bahagian mana kat badan, hehe. Esoknya tu (Khamis, 18hb) aku dah boleh keluar tapi tunggu doc pakar datang cek. After doc pakar datang dan berborak lebih kurang, dia kata dah boleh balik. Yeay. Hahaha. Lepas doc habis cek semua patients dalam wad, aku terus pergi mandi dan tukar baju biasa, tak pakai baju spital dah. Lepas tu siap turun bawah pergi kedai beli air dan majalah. Weee.

  Otw nak naik wad semula, nurse call tanya ka mana. Rupanya nak scan untuk tengok rahim aku macam mana, ada lagi tak. Dah masuk bilik tu bila doc buat ultrasound dia kata ada lagi saki baki. Aku... WHATTT?? Aku pelik dan tak sedap hati. Lepas tu kena seluk. Peh, perkara paling aku benci berlaku lagi. Ada keluar macam ketulan daging sikit, auch. Lepas itu buat TVS pulak untuk tengok dengan lebih jelas. Yes, ada lagi dan dia kata akan buat semula SNC. APA??? Aku mula la nak marah. Dah kenapa semalam cuci tak bagi habis?? Tapi aku cool je la. Doc suruh aku balik wad dulu nanti tengahari putuskan semula nak buat apa. Dan.. tak boleh balik lagi. Boleh tak aku nak maki? Cela** punya doctor semua termasuk yang pakar dan yang terlibat dalam proses SNC aku.

   Sampai katil aku terus call zauji cerita semua dan aku nak balik jugak. Ok zauji kata nanti dia call Sheikh Hassan (tok guru dia) tanya macam mana nak buat. Lepas call tu aku terus nanges2. Sedih gila. Sudahlah aku kehilangan janin, dah cuci lepas tu ada lagi baki kena repeat cuci pulak. Aku betul-betul tak sanggup dah. Kena bius spinal yang sakit nak mamp**, kena seluk, kena induce, ambil darah berulang kali sampai lebih 3 kali sehari, masuk air, masuk ubat. Semuanya menyakitkan. Sambil-sambil istighfar banyak-banyak aku tarik nafas dalam-dalam, cari kekuatan. Ok, I am strong. 

  Aku terus kemas semua barang-barang aku. Apa nak jadi, jadi lah. Zauji datang ambil nanti aku akan terus discaj, lantak lah dengan hospital ni. Dalam pukul 3 petang jugak baru zauji sampai. Aku turun bawah jaga Jannah, zauji naik atas jumpa doctor. MIl pun ada sekali. Tak lama tu zauji sms kata dah settle. Aik? Hahaha. Ada la tu beliau promote rawatan yang dia buat. Ustaz katanya, semua nurse, sister dan doctor kat situ respect habis kat dia. Entah ayat manis apakah yang beliau guna untuk berhujah dan bercakap sampai semua pun, ok wife boleh balik. Siap kata nak datang rumah buat rawatan. ehem.

   Alhamdulillah semua dah selesai dan aku pun balik rumah. AlhamduLillah Jannah pun ok je sepanjang aku dalam wad. Tak ada cari aku sangat dan nanges2 nak susu nak umi. Cuma bila malam dah tidur tu bila tiba-tiba terjaga memang melalak habis lah cari ummi. Sebab dah biasa asal bangun tidur atau terjaga mesti ada ummi kat sebelah lepas tu cari susu. Haha.

    So bermulalah episod berpantang. Bersambung

16 January 2015

Suction and Curettage part 1

Assalamualaikum.


    Ini adalah entri sambungan dari entri lepas pasal keguguran. So aku terus sambung je. Lepas appointment dengan Dr. Siti, aku kena pergi ke bilik lain pula untuk ambil darah. Satu tabung untuk beta hcg (aku pun tak tau untuk apa aku just dengar diorang sebut, hahah), satu tabung untuk apa tah. Waktu ini fil mil dah sampai. Sementara aku kena ambil darah, fil mil zauji dan Jannah duduk kat ruang menunggu. Dah settle ambil darah, kena hantar ke lab pula, makmal K. 

   Aku dan zauji je pergi. Jannah atok dan neneknya jaga tunggu kat O&G je. Yang lawaknya kami siap menapak jauh pergi poliklinik iaitu di bangunan lain padahal Makmal K ada dalam bangunan yang sama. Peh, susah payah. Lepas hantar kami semua pergi makan kejap sementara nak tunggu result satu jam. Aku pun memang belum makan dari pagi. Sempat susukan Jannah sampai dia tertidur. Dah sejam tu aku dan zauji pergi semula ke Makmal K ambil result dan pergi ke bilik doktor bius pula.

   Masa ini pun kena tunggu turn jugak tapi tak ramai sangat orang. Aku tunggu seorang diri je, zauji pergi ke mil fil dan Jannah. Bila nama aku dah dipanggil aku pun masuk bilik jumpa doc bius. Gitu-gini berbual dan tanya macam-macam, dia bagi borang untuk aku sain. Borang kebenaran untuk bius la masa operate nanti. Wahh.. bukan operate tapi proses S&C (suction and curettage). Bius spinal yang akan dicucuk pada tulang belakang. Bius separuh badan je dari pinggang ke bawah. Kiranya masa operasi S&C aku dalam keadaan sedar cuma tak rasa sakit. Bius/ suntikan spinal ni lebih kurang macam epidural juga cuma bius spinal ini akan dicucuk lebih dalam lagi berbanding epidural. Dulu masa lepas bersalin Jannah memang aku ada disuntik bius epidural masa nak jahit bawah. Ouch. Actually tak berapa bagus la epidural atau bius-bius yang jenis cucuk kat tulang belakang ini sebab effect dia akan datang atau lebih cepat akan rasa sakit pinggang, sakit belakang dan lain-lain. Tapi apa pilihan yang aku ada? 

   Dah setel kat doc bius, barulah aku boleh daftar masuk wad. Oleh kerana kami bukan gomen, daftar masuk wad 3rd class aje je, hihih. Bila dah naik wad dan dapat bed, aku kena salin baju hospital warna hijau. Ok. Haha. Berhadapan dengan wad O&G adalah wad bersalin kelas dua dan tiga yang baju hospital nya warna pink. Dulu masa bersalin Jannah aku duduk wad kelas satu kat bangunan lain di hujung sana. Jauh rupanya. Sebelum masuk wad aku kena cek dengan beberapa doktor termasuk doktor pakar. Dia buat ultrasound je. Kemudian ada kena tandatangan satu borang lagi menyatakan aku bersetuju menjalani proses S&C. Lepas itu baru lah pergi ke katil.  Zauji pun balik rumah, malam karang baru datang melawat kejap.

  Beza D&C dan S&C ialah kalau kata mudahnya dilate tu korek, suction itu sedut. Ada alat khasnya lah. Proses yang sedikit berbeza tap tujuannya sama, untuk membuang kandungan  yang gugur dan membersihkan ruang dan dinding rahim daripada darah atau sel-sel yang gugur. Kalau tak buang boleh membahayakan rahim, boleh kena infection.

   Bila dah duduk wad O&G ini baru lah aku tahu dan sedar rupa-rupanya ramai lagi wanita yang senasib dengan aku iaitu keguguran. Aku jadi lebih insaf dan bersyukur. Sekurang-kurangnya aku dah ada seorang anak. Ada kes yang gugur berkali-kali dan masih belum dikurniakan cahayamata. Ada yang dah empat bulan tiba-tiba heartbeat baby stop tanpa tahu apa punca, pun dikira gugur juga. Dan macam-macam kes lagi. Walaupun O&G tak semua kes keguguran tapi kebanyakan memang miscarriage. Ada juga kes cyst, fibroid dan lain-lain yang tak ada kaitan dengan mengandung. Dah namanya pun wad sakit puan. Kikiki.

  Aku kena ambil darah lagi. Kali ini empat tabung. Sakit ooo tapi bertahan aje lah. Pukul 12.00 malam aku dah kena start puasa. Lepas itu dah start cucuk kat tangan untuk masukkan air. Pagi Rabu 17/12 aku kena ambil darah lagi. Hadoi, letih. Nasib baik darah aku banyak, wakaka. Terinngat plak masa kat dalam bilik doktor bius aku sempat tengok report lab darah aku hb aku 13.3. Wow. Tinggi juga bolah tahan la. Maknanya aku tak ada anemia lah dan darah aku pun tak cair , biasa-biasa je normal. Hb rendah kalau bawah 11.0.

   Dalam pukul 8.00 pagi aku dah kena bersiap sedia untuk operasi S&C. First kena masuk ubat dulu kat vagina untuk bukak jalan dan memudahkan proses S&C. Aku agak itu induce kot. Hoho. Aku memang fobia dan ngeri betul bab seluk-seluk ni wei boleh jadi trauma. Teringat masa nak bersalin Jannah dulu la dan lepas bersalin pun kena lagi. Paling benci. Masa cek dengan Dr. Siti pun dia seluk. Nasib baik dia buat slow je. Sebenarnya kena bertenang dan tarik nafas dalam-dalam baru tak rasa sakit atau ngilu. Tapi biasalah dah macam refleks la bila bahagian sulit dikacau dan diseluk pulak. Ah, bencinya. Haha. Lepas masuk ubat, aku terus salin baju bedah. Wah gitu. Masa nak jahit lepas bersalin Jannah dulu pun salin baju itu juga. Aku awal-awal lagi sebelum pergi hospital dah tanggalkan semua barang kemas. Masuk bilik bedah memang tak boleh pakai apa-apa jenis emas ke besi ke apa ke. Kemudian aku diangkat alih ke katil bedah. Oleh kerana dah masuk ubat aku memang dah tak boleh banyak bergerak, kena baring je atau duduk. Sebelum ditolak ke operation room nurse bagi minum air apa benda ntah untuk beri tenaga gitu sebab dah puasa sejak malam tadi kan. Rasanya sebijik air gula KKIA, manis yang amat dan rasa nak termuntah. Bezanya kena minum sikit je, kalau air gula tu satu gelas besar. Haha nasib baik.

   Bila dah diusung ke bilik bedah, aras lain, bermulalah episod ngeri dalam hidup aku. Menyesal pun  ada ko tahu tak. Aku dah dup dap, bertenang selagi boleh siap zikir-zikir tapi tetap kacau fikiran aku. Mula-mula aku dibius. Doktor perempuan muda yang buat. Entah kenapa sakit sangatttt masa dia cucuk dan masa ubat bius itu masuk. Masa epidural dulu tak sakit macam ni. Dah la kena tundukkan kepala. Naik lenguh la badan dan tengkuk aku tak siap-siap dia bius. Lepas itu, yang mengejutkan aku, rupa-rupanya bius spinal ini dia cucuk banyak tempat la kat tulang belakang, bukan satu tempat je. Patut la lama gila. Masa epidural dulu kejap je lepas itu aku terus rasa kebas dan mamai-mamai sikit tapi masih sedar la. Boleh bayangkan tak, setiap kali dia cucuk dan ubat itu masuk akan rasa macam kena renjatan elektrik kat paha aku. Dia punya sakit dan pedih itu Allah saja yang tahu. Masa cucuk tulang belakang pun sakit. Aku dah mula menyesal sign borang bius. Vangang. Aku pelik kenapa masa epidural dulu tak sakit ponnn??

     Dah siap dibius aku piun dibaringkan. Keadaan sama sebijik macam tahun 2013 dulu. Tangan didepakan. Tapi... Aku masih belum rasa kebas. Apa cerita? Mesti la sakit masa proses. Masa dia sapu ubat ke apa tah dekat v aku rasa sejuknya. Menggigil-gigil kaki aku terketar-ketar menahan sejuk aircond. Diorang semua surus aku jangan bergerak la apa la. Aku mula nak marah. Sejuk ko tau tak. Apa cerita ni patutnya bila dah bius aku akan rasa kebas dan tak rasa sejuk. Aku mula buat gila. Aku bangun dan duduk. Doktor-doktor dan nurse dalam tu semua dah terkejut aku macam nak hilang kawalan. Aku siap cakap tak nak buat S&C ni, nak rawat sendiri guna rawatan alternatif macam bekam dan lain-lain. Doktor semua cuba tenangkan aku dan nasihat macam-macam. Aku dah mula rasa kebas kat kaki, dah tak boleh angkat tapi tetap rasa sejuk. Macam mana ni?

   Lepas itu doktor bius cuba tenangkan aku. Diorang pasangkan oksigen kat hidung aku. Doc suruh aku tarik nafas dan hembus perlahan-lahan. Lama-lama aku terus tak sedar apa dan sedar-sedar je aku dah tak berada dalam bilik bedah. Dah selesai. Dan aku agak doctor telah pun bius satu badan sampai aku pengsan. Sama macam masa bersalin dulu, lepas operation aku tak terus dihantar ke wad tapi tunggu tekanan darah aku kembali stabil. Ada rasa sakit kat vagina. Setiap beberapa minit nurse akan tanya sakit lagi tak. Siap suruh bagi nombor berapa tahap kesakitan itu antara 1 hingga 10. 10 paling sakit, 1 dah tak sakit. Mula-mula aku bagi 5, sakit tapi tak sakit sangat. Tak lama lepas tu memang dah tak rasa sakit aku bagi 1, hihi.


Bersambung...

11 January 2015

Molar Pregnancy dan Missed Miscarriage

Assalamualaikum.   

    Entri/ post kedua pada 2015. Entri kali ini ada sedikit perkongsian pengalaman sendiri miscarriage atau keguguran baru-baru ini iaitu pada akhir tahun lepas (Disember 2014). Aku harap dapat membantu mommies di luar sana yang mungkin baru pertama kali mengandung ke supaya berhati-hati dan bersedia dengan segala kemungkinan dan andainya sesuatu yang yang tidak diingini berlaku, anda lebih bersedia dari segi fizikal dan mental. Wah.. bunyinya macam serius sangat.

   Biarlah aku cerita dari awal. Ceritanya aku buat upt beberapa hari sebelum due period. Haid aku regular. Keputusannya positif pregnant naik dua line, line satu lagi agak faint tapi boleh nampak la. Happy la. Walaupun aku target nak start mengandung dalam bulan 12 gitu sebab nak baby September tapi kalau dapat awal pun ok. Hari-hari aku ulang buat upt dan line makin lama makin terang.

   Kalau ikut LMP baru empat minggu. Dah lima minggu baru lah kami beritahu famili. Tak ada kecoh kat semua orang pun. Orang tertentu je tau termasuk rakan-rakan alam maya aku iaitu member Ratu Hati. Tapi masih tak sah kan kat klinik dan doktor sebab fikir awal lagi. Nanti lah tunggu dah dua bulan ke.

  Kalau masa Jannah dulu masuk minggu ke lapan aku dah start morning sickness yang super teruk. Muntah-muntah, pening dan tak lalu makan. Asal makan je keluar balik. Memang lembik. Sampai berat turun tiga kilogram. Tapi kali ini langsung tak ada. Pelik sikit tapi normal je kot, setiap pregnancy lain-lain pembawakannya agaknya. Positif je. Dalam masa yang sama Jannah masih menyusu badan.

  Aku masih tak buka buku merah klinik sebab kengkonon nak scan kat klinik swasta dulu baru lah buka buku. Dulu masa Jannah tau positif je terus pergi private klinik sebab excited. Biasa lah bakal ibu bapa baru. Ececeh. Tapi scan nampak kantung dan dot je belum ada heart beat. Scan lagi masa 7w++ baru ada degupan jantung. Ya Allah, teruja sungguh kami. 

  So, untuk pregnancy kedua tak se excited dulu, just rilek2 je. Dah 15w baru terhegeh-hegeh nak pergi scan kat swasta. Masa buat ultrasound, doktor perempuan muda tu cari-cari baby tak jumpa. Hanya ada kantung. Aku pun tengok tak ada bentuk kepala ke at least sebab 15w sepatutnya dah jelas nampak anggota walaupun cuma scan 2D. Doktor pelik, aku pun pelik. 

Then aku tanya, "Ada kemungkinan kandungan anggur ke doc?". 
Doc pelik dan tanya aku balik, "Awak tau pasal kandungan anggur?".
Eleh doktor ni macam la aku bodoh sangat tak pernah membaca ke. Aku jawab, "Tau".
Dia jawab, "Mungkin jugak tapi tak confirm. Akak ni cikgu ke?"
Aku geleng kepala sambil jawab, "Surirumah je." Walaupun sebelum ini memang pernah jadi cikgu tapi tak payah cerita la. Tak penting.
Dia tanya lagi, "Mana akak tau pasal kandungan anggur?".
Aku dengan konfiden jawab, "Oh, saya banyak baca kat internet la pasal pregnancy dan yang berkaitan".
Mungkin dia ingat orang biasa-biasa ni tak tahu atau tak ambil tahu pasal kes kandungan yang pelik-pelik macam chemical pregnancy, molar pregnancy atau ectopic pregnancy. Hello, dunia di hujung jari lah sekarang. Sesiapa yang rajin google, rajin buat researcrh, rajin cari ilmu kat internet, pasti lah dia tahu. Macam aku sejak mengandung Jannah dulu memang aku banyak baca kat internet pasal macam-macam. Terima kasih kepada Ratuhati.com yang banyak membantu.Keh keh.

     Sambung cerita. Dah sembang macam-macam akhirnya aku dan zauji buat keputusan nak pergi klinik lain dulu tengok scan macam mana baru refer ke pakar. Doc memang suggest suruh pergi pakar terus untuk cek dan ambil tindakan seterusnya. Lepas tu aku pun balik. Tahu tak apa perasaan aku masa tu? Sedih, terkejut, down, kecewa, menyesal dan yang negatif semua ada. Macam tak percaya. Dan masih berharap ada keajaiban berlaku.

   Balik rumah, malam itu masa aku sorang2 aku menangis. Sedih gila kot. Sesiapa yang pernah mengalami miscarriage mesti faham perasaan aku. Tapi kes aku lagi pelik dan mneyedihkan. Tak ada baby! Kantung ada tapi baby tak ada.  Doc pun tak tau apa dia, nampak macam uri, yang lain tu entah apa benda tak tau memenuhi ruang rahim dalam imbasan ultrasound itu. Dalam hati berdoa banyak-banyak semoga benar-benar ada baby dan sihat tapi dalam masa yang sama sudah bersedia dan redha andai benar tiada baby. Berserah.

  Esoknya (Jumaat) aku perasan ada spottiing brownish pada pantyliner. Aku mula rasa tak sedap hati. Ada pengalaman ibu-ibu lain cerita brownish pun tanda-tanda miscarriage. Aku hidu tak ada bau so aku solat macam biasa. Aku mula consume madu tiga kali sehari. Tujuannya untuk kuatkan rahim kalau betul baby ada atau bersihkan rahim andai benar sudah miscarriage. Setiap kali nak buang air bila nak tukar pantyliner memang ada spotting brownish.

  Pagi Isnin sudah mula keluar fresh blood tapi tak banyak. Aku dah start pakai pad. Kami pergi klinik Healthcare untuk cek dengan Dr. Nur, Memang dah biasa dengan dia sejak mengandung Jannah dulu. Bila scan pun sama tak nampak baby. Dia pun suspect molar sebab tak nampak baby tapi tak berapa sure katanya. Sebab tak ada bulat-bulat bentuk anggur pun bila scan. Dia tanya aku tau tak kena buat apa lepas ni? Aku teka D & C? Dia angguk. Then dia terus buat surat refer pakar O & G di HSA untuk ambil tindakan seterusnya.

  Esoknya seperti yang tercatat di appointment jumpa Dr. Siti, pakar O & G di HSA kami bergerak ke sana. Ramai betul orang. Siap daftar semua bukak buku biru untuk rekod hospital. Kena cas RM80 sebab refer later daripada klinik swasta, bukan KKIA. Kalau dari KKIA cas RM5 je. Hek eleh betul. Bila dah jumpa Dr. Siti bila dia scan dia kata bukan molar tapi missed miscarriage dan kena buat S & C (suction and curettage). Aku tanya agak-agak dah gugur masa berapa minggu tapi doc pun tak boleh nak agak bila. Tapi aku agak sendiri mesti bawah 6 minggu sebab belum ada anggota, heartbeat dan lain-lain. Masih ketulan daging atau gumpalan darah. Seperti yang tercatat dalam Al-Quran kejadian manusia yang berasal dari air mani kemudian segumpal darah, kemudian ketulan daging, kemudian baru diciptakan tulang dan ditiupkan roh.

  Info: Missed miscarriage ialah jenis keguguran yang berlaku pada peringkat awal kehamilan. Biasanya pada waktu ini baby tak dapat develop dengan baik atau berhenti develop dengan sendiri sebelum sempat tumbuh anggota. Selalunya berlaku di bawah enam minggu tempoh kehamilan. Dan kebiasaannya tiada apa-apa simptom keguguran macam sakit perut, kontraksi, spotting brownish (tompok coklat) atau bleeding (turun darah) pada peringkat awal itu. Hanya boleh dikesan melalui imbasan ultrasound di klinik atau hospital.
Ok thats why aku tak tau aku dah keguguran sebab memang tak ada tanda langsung. Scan pulak lambat dah 15w baru scan. Sudah takdir.

  Info: Molar pregnancy atau kandungan anggur ialah kandungan yang juga tiada baby dalam kantung tapi hanya ada sel-sel berbentuk gugusan anggur bila dilihat melalui ultrasound. Kandungan anggur ini terjadi apabila kromosom x dan y tidak bercantum atau terdapat kecacatan pada kromosom maka tidak menjadi embrio. Mengandung anggur akan mengalami alahan atau mabuk luar biasa. Pening dan muntah lebih teruk daripada mengandung normal kerana hormon hcg yang terlalu tinggi. Antara tanda-tandanya boleh bleeding dan boleh dikesan melalui imbasan ultrasound. Sel-sel tidak normal dalam kandungan anggur ini perlu dibuang kerana kalau merebak boleh jadi kanser. Biasanya lepas buat D & C (dilation and curettage), hospital akan pantau setiap minggu dan cek samada hcg masih ada atau tidak. Sekiranya hcg tidak menurun atau makin meningkat, ada kemungkinan sel tak normal itu masih ada dan perlu buat kimoterapi secara berkala untuk hapuskan sel-sel itu daripada merebak menjadi kanser.

Bersambung...





05 January 2015

Rindu

Assalamualaikum.


   Masih belum terlambat untuk aku ucap selamat tahun baru 2015. AlhamduLillah masih diberi kesempatan untuk bernafas di bumi Allah ini. Tak kisah la tahun baru Hijrah ke Miladi/ Masihi ke, tak ada apa yang istimewa sangat gitu. Azam? Tak ada lah beria macam dulu-dulu. Azam ni setiap hari kita mesti berazam bukan kena tunggu tahun baru je. Pastikan hari ini lebih baik daripada semalam. Itu penting.

   Kali ini aku nak imbau kenangan silam masa kat Mesir. Hahaha. Sekarang ini boleh kata tengah kemuncak musim sejuk. Walaupun tak ada salji kat Mansurah, Kaherah, Tanta dan lain-lain tapi memang cukup sejuk. Rindu pulak. Malam lebih  panjang daripada siang. Syok tido. Ceh. Walaupun cuma tiga tahun kat Mesir tapi ingatan aku masih kuat mengenang setiap moment sepanjang berada di sana. Cewah, haha. Sebab ramai juga yang duduk di sana bertahun-tahun sampai 9, 10 tahun pun ada. Memang otai dah la. Speaking Arab berhabuk kata kau.

   Kalau ada rezeki lebih kami suami isteri nak juga ziarah Mesir saja suka-suka. Bawak anak. Makan angin dan jalan-jalan. Hihi. Pergi time musim sejuk yang best. Tapi kena standby baju tebal, baju sejuk banyak-banyak la. Boleh jugak beli kat sana, lagi murah. Cuma terfikir jugak kargo pun ada had kilogram. Mesti mau beli souvenir untuk famili dan kawan-kawan. Amboi jauh plak verangan. Kakaka.

  Kalau diberi peluang ke sana lagi? Jeng jeng jeng. Aku mahu kembali ke Sinai dan Dahab. Seronoknya. Entri aku dulu-dulu dah banyak cerita pasal jaulah ke Sinai dan Dahab siap pakej gambar-gambar menarik. Ahaks. Sebenarnya mujur juga aku ada simpan gambar di blog sebab gambar-gambar kenangan sepanjang di Mesir semua dah musnah dan tak ada. Sebab external hard disk guwe rosak dan semua gambar dalam tu. Sobs. Ada juga yang aku tak sempat upload dan buat entri jaulah tempat lain iaitu Hurghada. Kuciwa dan ralat.

    Diam tak diam dah tiga tahun aku meninggalkan Mesir. Kata orang jauh perjalanan luas pemandangan dan pengalaman. Yelah betul tu. Tengok budaya bangsa lain di negara lain. Tengok cara hidup mereka. Belajar sesuatu dan menyesuaikan diri. Mungkin tak seindah yang disangka, mungkin juga tak seburuk yang disangka. 

   Rindu nak jalan-jalan kat suq. Rindu ayam Albaik. Rindu nak naik tremco. Rindu nak ke Maahad. Rindu kan mama dan famili tuan rumah. Rindu bait Al-Mawardy. Rindu Madinat Salam. Rindu  nak shopping kat Sikah. Rindu air kotak coklat Juhayna. Haha macam-macam lagi lah kenangan.

   Ok lah sebenarnya dah macam merapu pulak entri ni, so boring. Ngahaha. Tunggu entri akan datang yang lebih menarik tapi agak serius. Wow. Apakah itu. Nantikan perkongsianku. Weee.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...