Showing posts with label baby. Show all posts
Showing posts with label baby. Show all posts

28 January 2019

Kemurungan Tersembunyi Part 2

*Aku hampir gila*

Hari ni betul2 dah sampai limit kesabaran aku. Yes selama lima hari ni aku bertahan dan bersabar tapi hari ni kecundang dan hampir2 nak bunuh orang! Sikit lagi aku nak jadi tak waras dan hilang pertimbangan.

Pukul 6.15pm aku tengah minum petang satu family si Aqil dah meragam tak tau apa dia nak. Try susukan dia meniarap dan turun dari pangku. Merengek. Aku pun bawak masuk bilik mungkin Aqil nak baring2 kat tilam. Air aku pun masih belum habis minum sebenarnya.

Dah masuk bilik baringkan. Menyusu sekejap lepas tu meniarap. Lepas tu masih merengek tak stabil. Panjat2 badan. Pastu menyelar sampai ke hujung katil macam nak turun. Aku turunkan eh dia menangis pulak. Aku naikkan balik atas katil. Baringkan. Eh meniarap lagi menyelar ke tebing katil. Aku turunkan lagi. Merengek lagi. Naikkan semula. Proses berulang2 sampai aku jadi naik darah. Dengan merengek dia, menangis dia. Last sekali sambil aku marah2 dengan muka bengis aku angkat dan hempas atas tilam (hempas rendah je pun tinggi dua inci dari tilam). Aku dah geram sangat. Apa lagi melalak kuat lah si Aqil. Aku biar je dia melalak. Mujur mak masuk dan terus ambil Aqil bawak keluar.

Aku terus masuk bilik air sambil mulut mengomel menyumpah memaki (nada suara perlahan macam berbisik). Aku ambil wuduk. Belum solat Asar lagi kan.

Sebelum pakai telekung aku duduk jap atas sejadah tarik nafas. Dengar suara Aqil masih melalak walaupun neneknya dukung sambil pujuk. Aku masih membebel.

Serius aku dah penat lah hadap semua ni.
- baby tak nak dengan orang lain
- baby berkepit 24 jam tak boleh berenggang
- baby melalak bila tak nampak aku
- baby melalak bila tinggal kejap je pun pergi bilik air ke dapur ke
- baby tidur (siang) kejap2 sangat tak sempat aku nak bernafas.
Selama lima hari aku hadap benda ni dan hari ni kecundang tak dapat bersabar lagi.

Orang tak akan faham betapa aku penat mental dan fizikal dengan perangai super clingy baby. Masa untuk diri sendiri langsung tak ada. Bukan masa untuk rehat ye tapi masa untuk;
- mandi dan buang air dengan tenang
- solat dengan tenang
- makan dan minum dengan tenang tanpa gangguan.

Struggle nya seorang aku bila waktu tengah makan pun baby berkepit sebelah, memanjat badan, tak duduk diam.
Bila baby tidur laju2 aku kendiri (mandi bersihkan diri dll). Asyik nak berdukung lagi satu hal. Langsung tak boleh buat apa2. Sikit lagi aku boleh jadi gila kalau berterusan macam ni hari demi hari. Jangan sampai dah hilang satu nyawa barulah terbukak mata semua orang. Baru nak ambil berat. Baru nak ambil tahu. Baru nak ambil peduli.

Alhamdulillah mak, abah, adik2 aku memahami dan banyak tolong aku. Kalau lah aku tak duduk dengan famili sendiri lima hari ni sementara zauji pergi Sibu, aku tak tahu lah apa jadi dengan diri aku dan anak2. Kemurungan teruk lah aku takde siapa tolong. Seorang diri mengurus tiga orang anak. Memang boleh jadi tak waras.

Mak aku yang sentiasa memahami. Setiap kali masuk waktu solat kalau mak aku tengok baby asyik berkepit dan tak tidur, mak mesti tanya "kau dah sembahyang ke belum?"
Kalau aku jawab belum, mak akan terus ambil baby tolong dukung jap. Melalak pun melalak lah asalkan aku dapat tunaikan kewajipan. Hanya mak sendiri je yang akan prihatin macam tu. Ya hanya mak sendiri yang faham anak kandungnya. Terima kasih banyak mak. Jasamu tak terbalas.

Orang lain ingat aku ni banyak sangat masa terluang sebab tidak bekerja. Ya aku hanya surirumah. Tugas aku cuma jaga anak je. Mudah je kan pada pandangan mata orang. Hakikatnya tiada siapa pun tahu. Sangat struggle. Aku perlu buat kerja rumah. Aku perlu memasak. Aku perlu susukan baby. Alu masih perlu urus anak-anak yang lain. Tapi ada orang fikir aku ada banyak masa lapang, aku banyak berehat, aku hanya bermalasan. Nak aje aku sumpah seranah maki hamun spesis ni. Bawak bersabar.

Satu je aku pohon. Mind your own business please. Jangan sibuk hal rumahtangga orang. Setiap ibu bapa itu ada cara sendiri nak didik anak. Lagi satu jangan sedap nak memerintah dan mengarah orang. Kau tak tahu pun apa kesusahan yang orang lalui setiap hari. Tak kan semua nak cerita kat media sosial? Aku bukan macam kau setiap hari update status Facebook dengam upload gambar apa benda yang kau buat setiap hari. Ok yelah untuk kenang-kenangan katanya. Apa-apa je lah.

Aku tak merungut pun. Aku tak mengeluh. Aku bersyukur. Baby memang lah sifatnya begitu. Manja dan rasa tak selamat bila ibunya tak berada di sisi dia. Bila dalam dakapan ibu rasa tenang dan selamat. Itu normal bagi bayi. Yang tak normal ialah orang lain yang mengeji mengata macam-macam. Ah malas aku nak cakap lah sendiri mau ingat lah.

Done membebel. Okbai.

05 June 2018

Perjuangan Breastfeeding

Assalamualaikum.

   Sedar tak sedar dah masuk 20 Ramadhan. Ramadan tahun ni hambar je bagi aku sebab tak boleh berpuasa. Nifas masih ada walaupun aku dah habis pantang 44 hari. Hari ini hari ke 46 dah. Dua anak sebelum ni nifas sampai 60 hari.

    Perjalanan bf aku berjalan lancar je. Cuma masa hari ketiga hari tu aku kena bengkak susu dua hari. Sakit gila. Barulah kelam kabut nak beli pump. Beli yang manual dulu je sementara yang elektrik punya sampai (order online). Now aku dah tak pump just direct feed je. Masih juga bf si abang Naim tapi tak lah kerap. Si baby ni paling kuat menyusu antara tiga anak ni.

   Dua hari lepas masa lepas iftar tetiba zauji cakap macam ni, "Rupanya susu ibu ni ek dia punya khasiat effect sampai ke besar, bukan masa baby je (tempoh penyusuan". Aku jawab, "haah memang pun". Agaknya zauji baru baca article pasal susu ibu lah tu. Hahah. Effect yang dimaksudkan mestilah dari sudut positif seperti otak lebih pandai dan bijak, cerdas, tak mudah jatuh sakit dan banyak lagi kebaikan susu ibu.

   Kemudian zauji sambung lagi, "Itulah sebabnya kaum ibu ni kena jadi surirumah duduk rumah je. Biar suami seorang je kerja. InsyaAllah rezeki cukup walaupun cuma seorang bekerja".

   Maksudnya tu bila jadi housewife kan 24 jam dengan anak. Jadi tak ada alasan la tak dapat beri susu ibu. Walaupun zaman serba canggih ni ramai je ibu bekerja yang gigih pam masa waktu bekerja demi nak beri susu ibu untuk anak, tapi sebenarnya ramai juga ibu yang terus sahaja beri susu formula. Kena yang malas mengepam macam aku ni, hah nak senang bagi fm je masa baby sitter jaga anak. Dan harus diakui juga, direct feed khasiat dan nutrisi 100% dapat ke anak bila baby hisap. Kalau ebm (susu perah) tu dah kurang beberapa peratus lah nutrisi nya tapi still beribu kali lebih baik berbanding susu formula.

   Sambung sembang laki bini tadi, hahah. Aku pun balas, "Biasanya ibu yang bekerja tu sebab diorang ada hutang yang perlu dibayar. Contoh hutang ptptn, loan kereta, personal loan kalau ada. Nak tak nak kena bekerja juga la sebab nak bayar hutang."

Zauji pula jawab, "Suami kena tolong bayarkan la."
Hahahah kalau lah semudah itu. Kalau gaji suami pun cukup-cukup makan macam mana pulak. Aku pun stop berjidal dengan zauji sebab masa tu aku nak buat apa tah, kakaka.

   Tapi kalau lah semua wanita jadi surirumah je lepas berkahwin, nescaya tak ada lah nurse dan doktor wanita. Haru. Kalau ada pun yang bujang atau andartu. Pendek kata status isteri orang yang bekerja memang langsung tak ada tak kira lah kerja bidang professional atau kerja biasa-biasa. Takpe. Allah Maha Adil. Tak kisah lah bekerja atau surirumah, masing-masing pasti ada kelebihan tersendiri.

  Walau bagaimana pun, aku memang sangat kagum dengan golongan ibu yang bekerja dan masih ada baby, yang gigih mengepam dan kumpul stok ebm. Salute habis. Anda memang ibu terbaik.

    Selama lima tahun lebih aku df anak ni, Alhamdulillah aku pun tak sangka sampai ke tahap ini. Non stop okay. Time pregnant pun still bf. Tak pernah berhenti. Syukur Alhamdulillah. Allah beri kekuatan dan rezeki susu sentiasa ada. Tak ada lah meriah atau oversupply, tapi yang penting cukup. Please make me as your idola mommies. Kah kah. Meminta sangat kau ni kan.? Puii.

    Susu ibu terbaik di dunia. Jangan nafikan hak anak. Tak guna kalau kau orang paling rajin pun buat kerja tapi malas mengepam susu untuk anak. Tak lama pun, cuma dua tahun sahaja mommies.

24 April 2018

Pengalaman Bersalin Anak Ketiga

Assalamualaikum.

   Dah lama gila tak update blog, tetiba cerita pasal bersalin lah pulak. Hahaha. Sementara masih fresh dari ladang ni adalah sebaiknya aku abadikan dalam bentuk tulisan. Amboi. Haha. Jom.

21 April 2018. 2.30 pagi.

Aku terjaga dari tidur dan perut ada rasa memulas. Dalam mamai tu aku sempat berdoa, "Ya Allah, kalau betul ini tanda nak bersalin, tunjukkanlah dengan pecah air ketuban atau leaking ketuban macam Jannah dan Naim dulu". Dua minit lepas tu betul-betul air keluar. Masa tu masih baring lagi. Keluar sikit dulu, tiba-tiba terus mengalir deras dan panas. Aku cepat-cepat bangun ambil spender baru letak pad dan ke bilik air. Masa tu air dah mengalir sampai ke kaki sama macam yang kau selalu tengok dalam drama tv. Kah kah.

Aku kejut zauji tapi tak bangun. Oh ye kami satu keluarga ada di PRDH. Aku pun ke sofa depan call mak zauji tapi tak angkat. Then aku call mak aku bagitau macam dah nak bersalin. Pastu dalam 2.45 aku kejut zauji sampai bangun dan cakap macam dah nak bersalin dah pecah ketuban. Dia bangun dan pergi bilik air. Aku pun terus siap-siap dan kemas beg. Dah start contraction yang selang lima minit tu tapi tak kuat sangat. Masih boleh tahan dan berjalan.

3.00am 21 April 2018.

Semua dah setel aku pun masuk kereta. Duduk je dalam kereta aku dah rasa contraction yang maha hebat. Sakit gila. Betul2 kemuncak gitu. Tapi still berdoa sabar baby jangan keluar dulu tunggu sampai hospital ye. Ya Allah aku dah cuak takut terbersalin dalam kereta sebab memang sakit sangat dan terasa kepala baby berusaha nak keluar. Setiap kali contraction datang setiap kali tu aku kepit tahan. Setiap kali contraction datang air ketuban keluar sekali dengan banyaknya. Oleh kerana pakai pad jadi takde lah meleleh. Sepanjang perjalanan ke HSI ada la dalam lima kali contraction dan aku bertarung menahan sakit.

3.30am

Sampai je HSI aku cakap dengan zauji aku perlukan wheel chair sebab memang dah tak boleh berjalan dah sakit sangat. Mujur ada satu. Guard perempuan yang tolak wheel chair aku naik ke tingkat atas sementara zauji cari parking. Masa duduk wheel chair contraction datang lagi dan aku tahan dan kepit lagi. Sampai kaunter aku just past buku pink pada nurse dan guard terus sorong aku masuk bilik saringan. Masa tu ada dua ibu tengah tunggu turn nak cek jalan kot. Ada seorang je doktor masa tu boleh tanya kenapa ye puan? Waduh. Aku dalam kesakitan jawab nak bersalin lah dah sakit sangat ni. Dia pun suruh naik katil untuk cek jalan. Amik kau dah 10cm. Kelam kabut misi semua sorong katil aku nak masuk labour room. LR pulak penuh. Mujur ada satu kosong. Yang lawaknya diorang siap suruh luruskan kaki konon jangan bagi beranak dulu. Aku ikut kan je la jemah oi.

3.40am
Sampai LR still suruh luruskan kaki sebab nak buat persiapan la kan katil sediakan alas alatan semua. Tengah sakit2 sempat lagi la jawab soalan doktor pelatih kot tanya maklumat diri nama ic semua. Madatu ada nurse dua orang, sister seorang. Contraction pun datang. Kali ni aku tak boleh tahan lagi. Tak sempat aku betul bersedia kangkang rapat kaki ke punggung aku dah teran. Terasa kepala baby keluar. Terus aku teran sekali lagi badan baby pun keluar. Alhamdulillah mudah. Takde pun aku kena tarik nafas dalam2. Main teran je. Diorang pun terkejut agaknya eh senangnya keluar baby. Wakaka. Dalam beberapa saat lepas baby keluar barulah dengar suara baby menangis. Masa tu nurse tengah sibuk potong tali pusat. Lepas tunjuk gender baby barulah baby dibawa keluar ke bilik lain untuk dibersihkan. Tinggallah aku dengan seorang doktor dalam lr tu. Dia keluarkan placenta dan bersihkan darah beku.?Ada koyak sikit. Mula-mula doktor nak jahit, datang sister dia offer biar akak buat, doktor siapkan report. Haha dalam hati aku agak lega. Kalau dah namanya sister mestilah otai dan berpengalaman. Doktor tu pun muda sangat aku tak berapa yakin. Kah kah. Oh ye baby keluar pukul 3.47 pagi.

Nak dekat pukul 5.00 barulah aku keluar dari LR nak dibawa masuk ke wad. Baby dah letak kat sebelah aku. Baby boy seberat 3.09kg. Wah lebih 3kg besar juga. Jannah dulu 2.8kg, Naim 2.17kg. Alhamdulillah selamat dah semuanya.

Bersambung


14 July 2017

4 Day Rules --> Tak buat pun takpe.

Assalamualaikum.

    Golongan mak-mak moden pasti biasa dengar atau pernah dengar istilah ini. 4 day rules. Kononnya rules untuk memperkenalkan solid food buat pertama kali untuk baby umur 6 bulan.

    Entah siapa yang cipta #4dayrules ni pun aku tak tahu lah. Yang pasti dari negara barat. Kalau tak Amerika, negara Eropah. Hahaha. Memang kebanyakan tips-tips untuk ibu hamil dan penjagaan bayi dicedok dari sana kan kalau search di internet pun. Mana yang elok dan sesuai dengan adat dan budaya kita, boleh je kita ikut. Tapi tak semestinya perlu taksub. Eh mesti buat macam ni, mesti buat macam tu. Jangan protocol sangat.

     4 day rules bermaksud try and error selama 4 hari. Contohnya beri makan solid food pertama puri buah pisang. Beri makan baby puri pisang sahaja dalam tempoh 4 hari dan perhatikan penerimaan bayi dari segi najis dia atau alergi. Kalau ok tak ada masalah bermakna serasi dengan bayi dan boleh teruskan. Kalau ada cirit ke apa jangan teruskan. Lepas 4 hari puri pisang, tukar menu lain pula contohnya puri epal. Pun sama 4 hari juga.

    Nak cerita lah juga masa Jannah dulu aku ada buat juga lah puri-puri ni. Siap beli baby bullet lagi kau. Beli online je. Aku rasa ada lah dalam dua minggu ke tiga minggu aku rajin buat puri dan simpan. Jannah makan tapi tak banyak. Aku pun fed up lepas tu takde buat puri lagi dah. Aku bagi nestum dan biskut baby bite atau baby guide. Sebab Jannah pun dah pandai pegang sendiri. Tapi aku tak ikut betul 4 day rules tu. Kali pertama je. Lepas tu ah lantak lah. Hahahah. Sebab tengok Jannah pun ok takde sakit perut ke muntah ke so tak payah tunggu sampai empat hari untuk tukar menu. Nestum pun Jannah tak makan sangat. Tak habis pun satu pack. Oh ye aku start bagi Jannah solid food umur 8 bulan.
Sebulan kemudian dia dah mula makan macam-macam. Bubur, roti, nasi. Walaupun tak ada gigi lagi tapi dia menunjukkan minat nak makan tu. Jadi selamat tinggal solid food baby, welcome to makanan orang dewasa. Kah kah.

    Bila tiba part Naim, aku langsung takde buat puri. Baby bullet tu pun aku dah jual balik lama dah, masa Jannah umur setahun kot. Aku terus bagi bubur nasi. Naim pun jenis pemakan. Apa je bagi dia tak tolak. No 4 day rules dah. Hahaha.

    Tapi aku kagum lah dengan mak-mak yang rajin buat puri untuk bayinya. Aku ni malas tu satu hal lah, anak-anak aku kan kuat ngempeng. Ada masa pulak aku nak bikin puri. Masak pun kadang tak sempat. Bila Naim dah setahun lebih ni la baru kurang ngempengnya sebab dah banyak main. Ada geng lagi dengan kakak memang syok la bermain.

      Lagi satu yang termasuk dalam rules memperkenalkan makanan separa pepejal untuk bayi adalah no sugar and no salt. Kalau nak bubuh garam pun sikit je. Tapi seeloknya jangan letak garam langsung. Kalau nak ada rasa masin letak ikan bilis yang dah dikisar. Senang kata biar tawar pun tak apa. Baby lagi kan. Kalau ikut rules sebenar umur setahun ke atas baru lah bagi makanan atau minuman yang ada gula dan garam. Tapi aku mana nak ikut rules poyo ni, wakaka. Umur 9 bulan anak-anak aku dah makan macam orang dewasa makan. Takde nya no salt no sugar.

    Kenapa aku kata poyo? Ok konon lah no sugar no salt. Habis tu baby yang memang minum susu formula sejak lahir tu apa cerita? Dah tentu FM pun tinggi gula. Atau baby yang campur bf dan FM. Atau baby yang minum FM sejak umur 6 bulan. Jadi jangan nak poyo konon nak ikut rules no gula no garam bawah umur setahun. Hahaha.

    Yelah katanya bagi home made food lah, takde bagi process food. Macam aku semua pun aku bagi. Nugget, kentang goreng, yang frozen2 tu lah tapi tak lah kerap. Ada sesetengah orang tak bagi langsung procces food ni. Bagi yang home made atau real food je atau lebih 'jaga' cuma bagi yang benar-benar healty food sahaja. Terpulang lah pada kerajinan mak-mak sekalian.

    Kepada yang rajin nak buat 4 day rules aku bagi lah panduan sedikit berdasarkan pembacaan aku tiga empat tahun lepas. Hahaha. Masih tersemat dalam ingatan walaupun aku takde buat sepenuhnya pun. Kakaka.

Umur baby 6 bulan:
Puri pisang
Puri labu (perlu rebus dahulu)
Puri epal
Puri avocado (amboi omputeh sangat)
Puri kentang (macam kentang putar)
Dan beberapa lagi buah dan sayuran lain.

Umur baby 7 bulan:
Bubur nasi blend ditapis. Blend sayuran macam lobak atau brokoli.
Bubur + ikan bilis kisar.

Umur baby 8 bulan:
Bubur nasi biasa tanpa blend atau tapis.
Perkenalkan ikan dan ayam. Potong kecil-kecil.
Perkenalkan seafood. Ada setengah orang tunggu umur setahun baru bagi seafood.
Kalau ada alergi hold dulu jangan bagi.

Umur baby 9 bulan:
Nasi lembik atau bubur biasa. Tambah sayuran. Pelbagaikan lauk ikan dan ayam.

Umur 12 bulan/ setahun:
Makanan orang dewasa. Nasi putih dengan lauk dan sayur. Dah tak perlu 4 day rules bila umur 8-9 bulan sebenarnya. Hehe.

Sekian. Terima kasih. Hihi.

11 July 2017

Babywearing - My Booba

Assalamualaikum.

     Penggunaan babywearing atau nama kampungnya 'alat dukung baby' (aku yang cipta istilah ni hihi) semakin meluas di kalangan ibu-ibu moden masa kini. Kalau di luar negara boleh dikatakan setiap ibu mesti memiliki satu babywearing. Kalau di Malaysia, dalam 10 orang ibu yang mempunyai bayi, hanya seorang je menggunakan babywearing.

       Aku pakai babywearing jenama Booba. Salah satu jenama famous. Aku beli second hand atau preloved je dari seorang kenalan. RM250. Harga asal RM400 lebih something. Yup memang mahal tapi berkualiti tinggi. Boleh pakai tujuh keturunan. Selain Booba, ada Ergo dan beberapa jenama famous lain yang harga RM400-500 atau lebih yang menjadi pilihan ibu-ibu. Dah macam harga stroller pun ada. Hehe.

     Aku beli masa Naim umur 3 bulan. Memang sedap je Naim duduk dalam Booba siap tertidur lagi bila berjalan. Sampai lah umur Naim 8 bulan aku dah jarang keluar rumah sebab eczema Naim tu. Tersadai lah kejap tak digunakan. Bila umur Naim dah setahun dan eczema dia pun semakin pulih tinggal bahagian kaki je, baru lah aku pakai semula Booba bila keluar rumah berjalan di mall ke apa. Aku prefer babywearing berbanding stroller sebab easy to wear gitu. Stroller susah nak kena lipat masuk dalam kereta, bila nak guna kena buka balik. Buang masa. Lepas tu nak sorong lagi kalau ramai orang payah. Ye cukup lah pengalaman masa Jannah baby dulu duduk dalam stroller. Lagi pula anak-anak aku jenis suka berdukung.

     Tapi yang akward nya bila aku pakai Booba pergi pasar lambak kampung atau bazar Ramadhan kawasan kampung. Semua orang pun tengok je. Yelah biasa la ibu-ibu yang duduk kawasan kampung yang rumah nya dekat je dengan pasar bawa anak kecil atau baby dukung biasa je. Kononnya cuma 'orang Bandar' je yang pakai macam orang putih tu babywearing. Hahaha.

    Memang kreatif dan inovatif siapa yang merekacipta babywearing. Kalau yang jenis mahal si pereka sudah kaji material apa yang paling selamat dan kukuh, tidak membebankan tulang belakang si pemakai, bayi pun selesa, struktur tulang bayi pun tidak terjejas. Sangat membantu ibu-ibu. Anak pun selesa dalam dakapan ibu. Biar lah alah membeli tapi menang memakai. Biar mahal tapi berbaloi, tahan lama, tahan lasak dan berkualiti tinggi. Terbaik.

   

     

21 June 2017

Setahun 8 bulan

Assalamualaikum.

    Alhamdulillah hari ini genap umur Naim 20 bulan atau setahun lapan bulan. Tapi gigi baru ada enam batang. Dua gigi bawah, empat batang gigi atas. Berjalan pun dah laju. Naim baru je pandai berjalan tiga minggu. Walaupun lambat tapi tak mengapa. Alhamdulillah.

     Eczema Naim memang dah pulih cuma ada saki baki sikit je lagi di bahagian lutut dan masih digaru kalau rasa gatal (tapi tak kerap). Jadi aku masih pakaikan leggings atau balut bandage bahagian lutut. Ahad dua minggu lepas zauji botakkan kepala Naim. Cukur guna mesin. Ni dah tumbuh semula rambutnya si comel.

    Berat dan tinggi terbaru tidak diketahui. Haha. Dah lama tak pergi Klinik since umur setahun. Saiz badan kecil molek je tak debab. Tapi pipi tembam macam kakak. Itu trademark dua beradik ni hahaha.

    Seperti baby lain, paling senang nak sebut perkataan 'abah'. Takpe lah Ummi redho masih belum dapat sebut 'Ummi'. Sobs. Asyik abah abah abah. Hahaha. Saje suruh sebut 'mama', OK confirm lah boleh sebut. Mama. Hahaha. Ada sekali tu aku cakap "haaa cepat lah naik" masa Naim tengah panjat katil. Naim pun sahut "aik...aik". Konon sebut perkataan naik la tu tapi pelat. Haha comel je.

     Makan memang kuat makan. Semua dia sebat. Pandai minum sendiri pakai cawan. Orang nak tolong pegangkan dia marah. Yelah takut tumpah ke. Tapi tak tumpah pun, sekadar berjaga-jaga. Minum air kotak pun pegang sendiri. Air botol air tin pun nak pegang sendiri tu (yang ni memang tumpah-tumpah le).

   Mulut memang bising becok bahasa dia. Paling cute bila dia bawa beg kecil atau bakul mainan ke hulu ke hilir ala mak jemah pergi pasar. Playskool pun dah pandai naik sendiri dan tolak sendiri. Sama jugak dengan kenderaan macam lori yang boleh naik tu dah pandai naik turun sendiri dan tunggang sendiri. Motor Jannah pun sama Naim naik turun sendiri. Dah besar la katakan. Haha.

     Biasa lah budak kecil suka kembur baju-baju yang dah dilipat. Setiap kali lipat kain kalau dia datang dan mula nak mengembur aku akan jerit aaaaaa (suara halus) sambil cepat-cepat simpan semua pakaian yang dah dilipat. Kadang-kadang aku tak perasan Naim datang kacau dan mula nak kembur lepas tu dia pun jerit aaaaaa (ajuk aku sebenarnya) sambil tangan dia mula nak sepahkan. Aku pun terus jerit aaaaaa jugak la.

   Aku memang selalu jerit aaaaaa kalau Naim buat sesuatu yang bikin mak-mak rasa marah. Contohnya tumpahkan air, teraburkan makanan. Konon-konon aku jerit tu tanda geram dan marah le tapi dalam mood kelakar. Buat muka dan aksi terkejut (beliakkan mata dan mulut lopong) lalu jerit aaaaaaa.

      Takde gambar pulak nak post. Nanti lah akan datang kita post gambar terbaru anak-anak ye. Mungkin Syawal nanti? Heheh.

11 January 2017

Perkembangan Setiap Baby Tak Sama

Assalamualaikum.   
Welcome 2017. Nak update blog tak sempat sempat. Lagi pulak baru pindah rumah ni. Banyak lagi benda belum settle.  Ni baru renew data tengah laju internet, ada baiknya aku post entry baru. Haha.
Naim dah berusia setahun dua bulan. Masih belum tumbuh gigi. Sebatang pun takde. Masih belum boleh berjalan. Hanya memapah je. Berjalan dengan berpaut pada kerusi, meja atau apa saja yang berdekatan.
Perkembangan lambat? Sebenarnya aku ok je tak risau sangat. Risau sikit je lah tapi tak ada lah sampai nak stress. Asalkan anak sihat Alhamdulillah. Biarkan saja orang lain nak buat perbandingan ke apa. Abaikan. Anak kau normal bukan oku.
Jannah dulu umur setahun tujuh bulan baru berjalan. Aku ingat lagi masa Jannah umur setahun tiga bulan dan masih belum berjalan, ada lah seorang hamba Allah ni cadangkan aku bawa Jannah pergi jumpa pakar kanak-kanak atau paediatric. Dalam hati aku, kau ni kenapa sibuk. Aku tahu kau concern tapi tak perlu bagi cadangan macam tu. Anak aku cuma lambat berjalan, tak ada masalah lain pun. Aku buat tak tahu je.
Nah sekarang Jannah pun dah nak masuk empat tahun umurnya. Normal je seperti kanak-kanak lain. Paling membanggakan Jannah begitu petah bercakap. Langsung tak pelat. Semua perkataan disebut dengan jelas, betul dan sempurna. Walaupun mulut dia yang kecoh tak berhenti bercakap tu kadang merimaskan (haha), tapi dah memang dia fasih bercakap sejak usia dua tahun lagi. Ini kelebihan anak aku. Anak orang lain pula ada kelebihan lain.
Nasihat aku kepada ibu bapa di luar sana (terutama mak mak lah), usah terlalu risau dengan perkembangan anak anda. Dia lambat berjalan ke, lambat bercakap ke, tak perlu risau sangat. Anak anda normal. Tak perlu gelabah sampai nak jumpa pakar bagai. Jalani hidup seperti biasa. Sesetengah budak memang ada perkembangannya lambat, itu perkara biasa tak ada apa yang serius. Kalau asyik sakit je yang itu perlu risau lah.
Lagi satu, orang sekeliling tolong berhenti membuat perbandingan.
'Eh anak aku gigi dah banyak.'
'Eh, belum tumbuh gigi lagi ke.'
Mungkin pada kau ayat kau biasa je tapi boleh jadi ia mengguris hati ibu bapa yang anaknya masih belum tumbuh gigi. Lagipun itu kan kuasa Allah nak bagi tumbuh lambat atau cepat. Sama juga dengan berjalan dan bercakap.
Kalau asyik nak fikir apa yang orang mengata, memang murung je lah sepanjang hayat. Buat tak tahu je dan stay positive. Paling penting apa tau? Anak-anak dapat cukup kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapanya. Anak tak terabai. Sesibuk mana pun ibu dan ayah dengan kerjaya, jangan sampai tiada masa untuk anak terutama anak kecil. Bonding time omputeh panggil. Bermesra, bergurau, peluk, cium, mendengar dia bercerita, bermain bersama, menyanyi atau apa saja aktiviti yang boleh dilakukan bersama anak ketika bonding time.
Anak happy, parents happy.

27 November 2016

Merawat Eczema

Assalamualaikum...  
   Naim dah pun berusia 13 bulan. Masih belum tumbuh gigi. Masih belum berjalan. Masih berdiri berpaut. Mak tak kisah anak lambat berjalan. Asalkan sihat Alhamdulillah.
     Yang paling membahagiakan, eczema Naim semakin pulih sejak menginjak umur setahun. Muka dah bersih habis. Kembali licin dan mulus. Tangan pun dah licin bersih. Ada kesan parut sikit-sikit. Badan pun dah bersih licin. Tinggal kaki je masih ada lagi tapi tak lah seteruk dulu.
    Walaupun tangan Naim dah bebas eczema, aku masih balut dengan bandage sebab nak elak Naim menggaru. Kalau garu pun tak direct ke kulit lah sebab ada bandage.
    Cakap pasal balut bandage ni aku teringat masa check up Naim setahun di KKIA. Biasa lah nurse tanya ada berubat di klinik ke, jumpa pakar ke, aku cakap tak ada. Rawat sendiri je sapu guna vco. Tiba-tiba nurse tanya,
"Awak kerja bahagian medical ke, maybe doctor atau nurse? "
Dalam hati aku, amboi ada rupa doctor perubatan ke muka aku ni? Kah. Aku jawab,
"Tak ada lah. Saya surirumah je. "
Reaksi nurse macam tak percaya.
"Ataupun pernah belajar perubatan ke dulu? "
Aku geleng sambil senyum jawab, "Tak ada lah. Saya bukan pelajar medic atau nurse."
Nurse senyum.
"Ok. Saya ingat awak memang kerja di klinik atau hospital, tengok balutan ni cantik elok je macam professional."
Ok part dia cakap aku balut pakai bandage cantik elok tu aku dah kembang gila bangga. Ahahahaha. Mungkin dia tak sangka orang biasa macam aku (yang bukan belajar medical atau nurse) mampu balut dengan kemas. Dia siap tanya, bukan pergi hospital atau klinik ye untuk nurse balutkan. Hahaha.

    Sebenarnya bagi aku buat benda tu (balut menggunakan bandage) simple je semua orang boleh buat kot, cuma bezanya kemas atau kurang kemas. Habis kalau dah setiap hari selama empat bulan hidup aku bergelumang dengan bandage (ceh, macam aku pula yang sakit), dah tentu la bab membalut membungkus ni aku dah hadam sangat, pakar. Kakaka.
    Harapan aku agar eczema Naim akan terus pulih bila semakin meningkat umur dia. Ye lah, eczema ni tak ada ubat. On off. Ada yang boleh sembuh, ada yang sampai dewasa dan ke tua masih menghidap eczema. Kena control makan, pantang makan, pantang sabun dan macam-macam pantang lagi. Eczema tak boleh sembuh sepenuhnya tapi boleh dikawal daripada menjadi lebih teruk. Tapi ada juga yang boleh pulih terus dengan izin Allah. Rezeki masing-masing.  InsyaAllah aku yakin Naim pun boleh bebas eczema satu hari nanti. Amin.

22 October 2016

Naim First Birthday - ummi with Qissara Zara

Assalamualaikum.  
   Alhamdulillah Naim dah berumur setahun tanggal 20 Oktober baru ni. Kejap je masa berlalu. Rasa macam baru hari tu habis pantang. Ceh. Kakaka. 
 
   Sambut sekadarnya je di Marrybrown.
Kek tempah. Kek coklat lembap RM80.
      
       Baju cantik yang aku pakai from Qissara. Baju kurung menyusu yang sangat cantik, tak perlu iron, dan kain material sejuk tak panas. Bab tak perlu iron tu paling aku suka. Faham je lah dah ada anak kecil ni masa untuk bersiap nak keluar perlu diminimakan. Kalau tak, serba serbi lambat. Hahaha. 
   Aku pakai saiz M untuk baju ni. Rasanya ada lebih 10 pasang kurung menyusu Qissara yang aku dah pernah beli sejak tahun 2015 termasuk Qissara Zara. Saiz S, M dan L. Sampai aku mengandung 8 bulan pun masih muat pakai baju Qissara ni. (Naim lahir 35 minggu). 
   Menariknya baju Qissara ni boleh mix dan match dengan seluar, palazzo atau skirt warna lain. Tak semestinya kena pakai sepasang. Tudung atau shawl pelbagai warna pun boleh matching dengan baju Qissara ni. 
   Dengan baju menyusu Qissara, amat mudah untuk menyusukan anak walau di mana saja termasuk NIP (nursing in public). 
    Ada poket di sebelah kanan. Biasanya baju kurung siap mana ada poket. Kebanyakan jubah pun tak ada poket. Tapi Qissara ada poket. Terbaik. 
    Qissara Zara memang cantik menarik kau memang the bomb! 

29 August 2016

Yang Halus Mulus

Assalamualaikum.  
    Semalam shopping baju budak-budak dan baju bapak budak di Pasarayaku. Tak plan pun. Jannah tetiba minta nak beli baju. Layankan aje. Hahah.
     Untuk Naim belikan leggings siap stoking. Yang dijual semua gegel punya. Lantak lah beli je. Sebab utama nak pakai leggings untuk elak Naim menggaru terus ke kulit. So tak perlu susah-susah membalut kaki dengan bandage lagi. Sarung leggings lepas sapu minyak. Senang cerita. Haha tak pasal Adik pakai seluar gugirl. Takpe lah dik, pakai dalam rumah je.
      Semalam bawa jalan aku pakaikan Naim baju lengan panjang dan seluar panjang. Tapi muka Naim still nampak la eczema dia. Semalam juga daftar nombor baru u mobile untuk internet unlimited katanya. Haha. Habis lah Jannah layan youtube sampai lebam kang.
     Berbalik cerita pasal Naim. Paling malas dan lemah nak menjawab kat orang bertanya bila terserempak di luar samada kedai ke mall ke. Tanya kenapa dengan Naim tu. Ye, aku faham rakyat Malaysia ni memang sangat concern tapi bila aku jawab eczema ada pula yang terpinga-pinga tak faham atau tak pernah dengar. Kalau time aku malas nak layan aku cakap ruam atau arlegik je. Kalau arlegik pun tak faham jugak sila lah masuk sekolah rendah dan menengah semula. Kakaka.
    Sedih je tengok kulit Naim sekarang dah tak halus dan mulus macam dulu. Takpa dik, dugaan dan ujian untuk adik.
     

25 August 2016

Naim 10 Bulan

Assalamualaikum.  
    Kali ini aku sertakan gambar Naim ala ninja setelah berbalut. Hehe. Gambar kaki dan tangan Naim dengan luka eczema aku tak dapat nak tangkap. Susah oii. Pantang balutan dibuka, mula lah tangan dia nak menggaru. Mustahil dapat ambil gambar.
      Bila pegang tangan dia, dia gesel-gesel kaki atas kaki dia sebab gatal tapi tak dapat garu. Tenaga dia kuat oi, susah dipegang. Time dia meronta keraskan badan, berpeluh jugak nak handle. Ahahah. Memang kena dua orang dewasa 'buat' dia. Kalau kat klinik atau hospital ni, kena dua orang nurse lah handle. Hahaha.

23 August 2016

Jangan Berputus Asa

Assalamualaikum.   
   Sambungan kisah si kecil Muhammad Naim. Hari ni dah makin teruk merebak ke badan pula. Timbul biji-biji. Sama macam masa kaki dan tangan dia awal kena penyakit ini hari tu.
    Aku tak tahu lah ini eczema kategori apa. Mula-mula biji bintik. Lepas tu pecah dan melecet. Melecet tu sebab digarulah. Aku dah macam jururawat dah setiap hari bergelumang (ceh) dengan ubat, minyak, bandage dan gunting. Awal hari tu guna bandage pakai buang. Lepas tu beli yang jenis kain boleh basuh dan guna semula. Sebelum balut, sapu vco dulu. Kadang buat bersama dengan zauji, selalunya aku buat seorang diri. Susah payah dengan si Naim melalak, tangan nak menggaru, kaki menendang-nendang, meronta.
    Beberapa hari lepas aku sapu antiseptik dettol bancuh dengan air. Sejak semalam sapu madu. Kalau sapu madu memang kena bekerjasama dua orang sebab rumit nak sapu. Sehari tiga kali aku tukar/ salin bandage. Pagi madu, petang vco, sebelum tidur vco. Kalau dua kali Naim berak, dua kali lah salin dan tukar bandage macam salin pampers hehe. Atau kalau tengok bandage macam dah lembap kena cecair luka dia (atau nanah kot tapi warna jernih) pun tukar bandage baru. Stok memang banyak dan aku basuh setiap hari.
     Walaupun adik sakit, tapi beliau tetap ceria je bermain. Hehe. Merangkak merayap. Main mainan. Bila tiba time gatal merenyam dia merengek lah tak selesa. Biasanya waktu nak tidur.
Ok bersambung.

10 August 2016

Ujian Buat Si Kecil

Assalamualaikum.  
    Bersiaran dari Tenggaroh. Balik kampung sekejap. Esok pagi balik JB dah.  Hahaha. Dapek la den meghaso doyan. Alhamdulillah. Hihihi.
    Sebenarnya kan, dah sebulan baby Naim ada masalah kulit atau eczema. Aku perasan mula kena masa awal Syawal hari tu. Mula-mula keluar bintik merah macam ruam je di tangan kanan dia. Aku syak sebab cuaca panas ke kat kampung. Lepas tu getting worse. Amboi nyah speaking kau. Geli mak. Ahaha. Lepas seminggu dia merebak jadi kudis. Gatal. Digaru. Dan merebak lagi. Kaki kanan pun kena. Muka pun ada.
     Kami guna vco je sapu hari-hari. Tak berani guna krim klinik. Tapi masih tak ada perubahan. Makin teruk lagi ada. Down jugak aku kadang-kadang. Mak mana la tak sedih tengok anak sakit. Masa check up 9 bulan doktor tengok pun sahkan eczema. Nak bagi ubat sapu tapi dah habis stok pula. Doktor bagi surat suruh pergi klinik kesihatan lain jumpa doktor pakar tapi kami tak pergi.
     Paling menyayat hati beb, waktu malam nak tidur kaki Naim menendang sambil gesel kat tilam. Gatal. Bila nak garu aku tahan, pegang tangan dia. Lepas tu dia marah la merengek. Sampai aku pun dah bergenang airmata. Setiap hari tanpa gagal aku berdoa agar Naim sembuh. Tak kira masa aku doa.
   Sampai aku tertanya-tanya kenapa la Allah uji bayi yang suci dan langsung tak ada dosa ni dengan penyakit seperti ini? Kenapa? Tak kan la sebab dosa aku, anak aku pula kena tanggung? Astaghfirullah. Aku muhasabah. Dan membandingkan pula dengan bayi lain yang Allah uji juga dengan penyakit lebih kronik seperti sakit jantung, jantung berlubang, usus bocor, paru-paru berair, sawan dan bermacam lagi jenis penyakit. Sampai masuk icu, berselirat wayar. Belum masuk lagi yang terpaksa dibedah. Maka nikmat Allah yang mana lagi ingin kamu dustakan?
    Aku insaf dan kembali sedar. Allah uji aku dengan penyakit Naim. Setinggi mana tahap kesabaran dan tawakal aku kepada Allah. Aku kena positif dan yakin dengan kuasa Allah. Naim pasti akan pulih satu hari nanti. Lambat atau cepat, kena sabar.
   Dah beberapa hari ni kami balut tangan dan kaki dia dengan bandage. Betul ke nama tu. Yang kain putih gulung-gulung buat balut luka tu. Lepas sapu vco terus balut. Sebab nak elak dia garu. Dah berbalut pun dia garu juga tapi tak kena kulit lah kan. Alhamdulillah ada perubahan. Luka kering dan tinggal kudis. Sebenarnya sebab utama lambat sembuh ialah sebab digaru. Baru nak baik dia garu. Nak basah balik terkopek kudisnya. Berair semula lepas tu merebak. 
   Aku pula amalkan minum madu je lah. Hari tu ada suap madu sikit untuk Naim. Ikhtiar lah dengan apa yang ada. Aku tak pasti la pula kalau Naim ada alergik makanan ke apa. Tak tahu macam mana nak trace. Hahaha. Mudah-mudahan sakit kulit Naim ni akan pulih secepat mungkin. Kasihan sangat tengok. Sedih gila bhai.
   Aku mengharapkan juga doa daripada kalian yang membaca blog aku ni (sobs) moga Naim dapat pulih sepenuhnya kulit kembali licin. Terima kasih in advance.
   

13 April 2016

Dilema Ibu EBF

Assalamualaikum...
   20 April ini genaplah umur Naim enam bulan. Alhamdulillah. Baby exclusive bf dah melepasi tahap Diploma, hahaha. Enam bulan ebf. Tahniah, tahniah.
    Kebanyakan ibu-ibu dah excited nak beri makanan separa pepejal kat baby bila dah masuk umur 6 bulan. Tapi aku tak excited langsung tapi rasa bimbang. Dah kenapa bimbang pula?
    Aku kalau boleh nak delay daripada beri makan baby sampai umur dua tahun. Dua tahun hanya susu ibu semata-mata. Tapi aku tahu bukan semudah yang disangka. Sebab? Orang di sekeliling akan menyibuk nanti. Dah boleh makan kan? Kenapa tak beri makan lagi bubur ke. Termasuk nurse di KKIA yang akan suruh beri puri dan bubur. Konon takut susu ibu tak cukup. Wth?
    Baru-baru ni balik rumah mertua. Sementara aku tengah makan, sil tolong pegang si Naim. Ada ke fil ku nak suap buah tembikai kat Naim? Nasib baik tak jadi. Dalam hati aku dah menyirap. Naim baru 5 bulan lebih. Usus belum kuat dan matang nak cerna makanan selain susu. Nanti kalau Naim sakit masuk hospital, aku mak nya ni yang susah.
   Hari tu masa kat Bakri, mak aku ada cakap, nanti Naim dah umur 6 bulan dah boleh bagi makan ek Naim? Aku diam je. Oh my. Macam mana aku nak terangkan dan yakinkan semua orang bahawa susu ibu sahaja sudah cukup untuk bayi bawah umur dua tahun. Ini adalah satu cabaran. Buat aku rasa macam tak nak balik kampung mana-mana. Tak mahu hadap mereka yang beria nak beri Naim makan.
   Serius dilema sungguh jadinya. Raya nanti Naim dah lapan bulan lebih. Aku sampai tahap tak mahu orang lain pegang Naim. Takut di belakang aku mereka pandai-pandai je suap Naim makanan. Adakah ini sejenis fobia? Hahaha.
    At least kalau tak dapat sampai dua tahun fully ebf, dapat setahun pun jadi lah. Kira kejayaan besar juga lah bagi aku. Bukan senang. Ebf senang, tapi nak menghadapi kata-kata orang sekeliling yang bukan senang. Nak susun ayat, tak nak sampai orang terkecil hati, lebih-lebih lagi orang tua. Kalau orang muda tak pe lagi tak perlu nak jaga sangat ayat.
     Ah, nanti la aku fikir macam mana. Hahahaha.
   

25 February 2016

Cahayamata Kedua

Assalamualaikum.

Lamanyaaaa tak update blog. Adudududu. Ada saja halangan. Wah gitu kau. Busy pun ye jugak. Eceh. 

  Hey hey hey. Nak habaq mai sat. Jannah dah ada adik. Jeng jeng jeng. Punya lama tak update blog sampai dah keluar anak lagi seorang. Kah.



Ini dia Muhammad Naim yang sudah berusia empat bulan. Lahir pada 20.10.2015 premature 35 weeks dengan berat 2.17kg. 

Just quick update. Naim dah bangun pulak. Aku dah agak mesti tak sempat nak taip banyak. Hek eleh betoi. Hahaha. Ok bai.


12 February 2014

Selamat Hari Lahir Siti Nurjannah

Assalamualaikum

Hari ini 12 Februari 2014. Alhamdulillah, genap setahun umur Jannah. Cepat je masa berlalu. Kejap je dah setahun permata hati umi dan abah ni. Semoga membesar menjadi anak yang solehah dan taat perintah Allah dan Rasulullah. Amin.

Siti Nurjannah 5 jam selepas dilahirkan.





Jannah umur sebulan.


Gambar terbaru pagi tadi. Umur setahun. hihi.


Biasa la orang akan tanya 'dah pandai apa?', 'dah pandai apa?'. Kadang-kadang aku malas nak jawab sebab aku terasa yang bertanya tu macam nak banding-bandingkan dengan anak dia atau anak orang lain walaupun cuma dalam hati. Hahahahaa jahatnya aku sangka buruk pulak kan. Sebab, aku jenis yang tak bertanya anak orang lain dah pandai apa, dah pandai apa, so aku ada sedikit tak suka la orang tanya aku macam tu. Kakaka.

Sebelum orang tanya lebih lanjut, baik aku bagitau siap-siap kat sini apa yang Jannah dah pandai. Muahahaha. Yang pasti, Jannah masih belum boleh jalan lagi dan masih belum tumbuh gigi langsung. Hari-hari aku belek gusi Jannah kalau-kalau ada putih-putih atau keras-keras gigi nak keluar tetapi hampa. Haha. Tapi bagus jugak belum ada gigi, aku takut kena gigit time bf. Ngehehehe.

Makin hari makin seronok layan keletah Jannah. Makin hari makin bijak. Dah pandai ikut atau ajuk orang cakap atau buat. Contoh kalau kita jegilkan mata, dia pun buat jugak. Kengkonon nak marah dia atau takutkan dia, last-last gelak tengok dia ikut.

Dah pandai nak mintak dukung kalau abah dia baru balik kerja atau dari surau. Manja ni. Kalau tengok kita siap-siap nak keluar kan, dia mula lah resah gelisah nak ikut, mulut bising sambil tangan terkapai-kapai suruh ambil dia. Kalau bab mintak makanan, memang dah pandai sejak umur 9, 10 bulan dulu. Mulut bising, kuat membebel.

Suka tengok azan kat tv3. Paling suka tengok iklan Whoopee. Kemain gelak. Hahaha. Paling kelakar bila tengok drama ada scene marah-marah dan tinggi suara, tiba-tiba Jannah nanges. Alolo. Perasaan macam orang dalam tv tu marah kat dia. Hahaha, emosi lebih Jannah ni. 

Alhamdulillah juga, Jannah masih menyusu susu ibu hingga saat ini, ketika umurnya dah masuk setahun. Mudah-mudahan dapat bertahan hingga umur dua tahun. Jannah masih tak minum susu formula tau, susu ibu sepenuhnya. Aku harus berbangga dengan pencapaian ini. Haha. Tahniah untuk diri sendiri. 

Banyak lagi nak membebel tapi Jannah asyik kacau. Ini pun berhenti setiap perenggan layan si Jannah. Hahaha. Ok lah. Kita sambung lain kali ye. Daa...

01 November 2013

Jannah 1 - 8 bulan

Assalamualaikum.

Dah lama tak buat entri baru, asyik tak sempat je. Ni Jannah dah tido boleh la aku update cerita apa yang patut. Cewah. 

AlhamduLillah Jannah dah berusia 8 bulan 20 hari. Lagi 10 hari nak masuk 9 bulan. Perkembangan Jannah? Mengesot je pandai. Merangkak belum, duduk sendiri belum, memanjat belum. Tak apa lah lambat sikit janji sihat ye tak? Lagi pun Jannah lahir awal 3 minggu, hampir premature. Kata orang baby lahir awal ni perkembangan dia memang lambat sikit. So aku positif je.. Haha.

Yelah, aku tak pernah cerita perkembangan Jannah dari bulan ke bulan. Maksudnya sebulan dah pandai apa, dua bulan dah pandai apa. So rasanya dalam entri ni aku nak cerita ringkas-ringkas je lah perkembangan Jannah dari bulan ke bulan. Lain anak, lain perkembangan tau, usahlah dibanding-bandingkan.

Jannah umur sebulan: Masih tak pandai apa pun lagi. Haha biasa lah kan, masih dalam fasa newborn. Menangis je la yang dia tau. Mata pun belum nampak dengan jelas lagi. Suka menggeliat.

Sebulan




Jannah umur 2 bulan: Pun masih baring je lagi kan haha. Dan masih suka menggeliat. Comel sangat.



Jannah umur 3 bulan: Dah mula mengiring. Suka ngiringkan badan sambil kaki tendang-tendang ke depan. Mulut dah mula riuh. Tapi tak mudah senyum dan ketawa bila diagah. Kalau baby lain umur dua bulan dah ketawa mengekek dah, tapi Jannah tak. Pemalu atau sombong? Hahaha. Tapi dia tau la kalau orang panggil nama dia, mata dia akan mencari dan toleh kepala. hihi.

3 bulan




Jannah umur 4 bulan: Masih tak meniarap lagi. Mengiring je selalu. Mulut lagi bising. Entah apa-apa dia bebel. Masa ni dah pandai senyum dan gelak bila orang agah. Lega makk. Haha. Tangan dia dah pandai nak mencapai bila kita hulur sesuatu. Yang pasti dia dah kenal orang. Kalau dengan orang yang tak biasa jumpa pegang dia, muka cebik nak nangis. Dan kalau orang tu pegang lagi lama tanpa pulangkan pada umminya, memang menangis melalak la sampai tersedu-sedu. Sobs.

4 bulan



Jannah umur 5 bulan: Dah mula pusing badan meniarap tapi statik dan tak boleh angkat kepala sangat. Melepek je. Leher dia masih tak berapa kuat. Kalau dukung pun masih kena ampu leher dan kepala dia. Percubaan meniarap pun beberapa kali je. Tapi aku tak paksa, biarlah dia pnadai sendiri. Tapi mulut bising dan bercakap memang tak henti-henti la haha. Suka senyum dan ketawa. Dah boleh pegang barang kalau kita bagi. Masih takut orang haha.

5 bulan




Jannah umur 6 bulan: Baru lah dia rajin pusing nak meniarap. Kepala dan leher dia pun dah tegap. Bila meniarap boleh golekkan badan la (meniarap terlentang istilahnya) tapi tak laju. Nak masuk 7 bulan barulah bergolek dengan laju. Pantang baringkan je terus pusing meniarap. Nak salinkan pampers pun susah payah. Dah boleh sebut mamamamam. Perangai baru suka geleng-geleng kepala. Kalau tengok orang makan mulutnya pun nak kunyah-kunyah sama. Pandai pegang biskut baby bites sendiri, makan sendiri. Botol susu pun pandai pegang.

6 bulan




Jannah umur 7 bulan: Memang asyik meniarap je kerjanya. Kadang menyusu pun meniarap. Layankan aje. Dah boleh berpusing 360 darjah bila meniarap tu. Tak pandai mengesot lagi. Masih suka geleng-geleng kepala haha. Kalau membebel sebut 'mamamamam' ' bababababab' 'papapapapap' 'vavavavavava'. Emm bila nak sebut ummi ni? Asyik abah je. Jeles. Suka sangat menjerit tapi bukan nanges tau. Menjerit excited gitu, nak cakap tak pandai. Bila pegang mainan yang ada bunyi suka goncang kuat-kuat untuk keluarkan bunyi haha. Suka sangat tengok azan. Masa meniarap suka ketuk-ketuk lantai pakai tapak tangan bila tengah geram atau teruja.






Jannah umur 8 bulan (sekarang): Ok dah boleh mengesot tapi belum jauh sangat setakat ni. Itu pun kalau dia nak capai sesuatu, dia pun bergerak la ke depan. Aku selalu dengki jauhkan benda yang dia nak capai tu supaya dia bergerak lebih lagi. Kadang-kadang pandai marah tu, jerit-jerit. Paling sweet dah pandai cari susu dia kat mana hahaha. Perangai suka geleng-geleng masih diteruskan hihi. Tangan dia cepat je nak capai barang. Kalau orang tengah makan nanti dia mengesot datang dekat nak menyibuk.




Ok lah cukup setakat ni dulu. lain kali sambung. haha.

07 October 2013

Please Vote for My Baby

Assalamualaikum.

Selamat hari Isnin. Hari ni entri pendek je. Minta jasa baik my followers dan my blog readers tolong vote untuk Jannah. Saje suka-suka join contest ni. Baby/ kanak-kanak yang paling banyak dapat like, akan dapat hadiah.

Senang je nak vote. Just klik pada link di bawah ni dan vote for Jannah!


https://www.facebook.com/photo.php?fbid=476089475822112&set=pb.363061183791609.-2207520000.1380922863.&type=3&theater


Ok terima kasih banyak atas sokongan anda. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...