30 June 2017

Perjuangan Puasa Ganti dan Puasa Enam

Assalamualaikum.

   Salam 6 Syawal. Bersiaran dari pusat rawatan. Alhamdulillah dah dapat dua hari puasa qadha. Biasanya dulu waktu bujang, raya kedua aku dah start puasa ganti sebab takut tak sempat habiskan puasa qadha dan puasa enam. Seperti yang aku pernah cerita dalam blog ini beberapa tahun lepas, aku asingkan dua puasa ini (wajib dan sunat).

2012 : Puasa Ramadhan sebulan penuh + puasa enam di bulan Syawal. Ini tahun pertama bergelar isteri dan aku tengah mengandung 8 minggu masa masuk bulan puasa.

2013 : Puasa Ramadhan sebulan penuh + puasa enam di bulan Syawal. Alhamdulillah dua tahun berturut-turut dapat puasa penuh. Yay. Masa ini aku masih belum datang haid sebab tu dapat puasa penuh. Walaupun masih menyusukan anak dan bekerja tapi masih mampu bertahan puasa.

2014 : Gagal mempertahankan rekod puasa penuh sebab datang bulan. Masa Syawal puasa ganti 7 hari + puasa enam, total 13 hari puasa di bulan Syawal. Masih lagi bf Jannah waktu puasa.

2015: Puasa Ramadhan sebulan penuh + puasa enam di bulan Syawal. Masa ini tengah mengandungkan Naim dan masih menyusukan Jannah. Alhamdulillah masih larat puasa.

2016 : Puasa Ramadhan sebulan penuh + puasa enam di bulan Syawal. Sama kesnya sebab masih belum datang haid. Masih fully bf Naim.

2017 : Kena qadha puasa 7 hari + 6 hari puasa enam, total 13 hari.

    Aku start asingkan puasa ganti dan puasa enam ni masa umur belasan tahun sampai la umur 26 tahun. Gigih la aku puasa 13-15 hari di bulan Syawal. Perjuangan ini tidak mudah. Banyak pancaroba. Haha. Kena kuat semangat.  Yelah walaupun puasa aku tetap ikut orang beraya. Orang lain makan aku tak makan. Tapi aku ok je takde la terliur. Hahah.

     Aku paling cuak kalau terkena bersalin masa bulan puasa. Amboi jenuh wei nak ganti tu. Aku kesian jugak la pada ibu-ibu yang bersalin masa bulan Ramadhan, paling kesian bersalin 1 Ramadhan. Sebulan tu kena qadha. Jadinya aku mencuba sebaik mungkin untuk tidak hamil yang edd nya jatuh pada bulan Ramadhan. Hahaha. Anda pasti boleh.

   Seperti sedia maklum, puasa ni bagus untuk kesihatan. Kalau jenis yang bukan 'eat clean', elok sangat lah berpuasa untuk membantu detoks badan secara semulajadi. Contohnya aku sendiri lah yang suka makanan bergoreng, suka minum air manis, makanan banyak kolesterol, tak makan sayur. Pendek kata takde berkhasiat sangat. Aku masih tak mampu la nak 'eat clean' yang langsung tak ambil gula pasir, tak makan nasi (kalau ambil guna betas perang), tak makan roti, takde guna kicap, sos, takde bergoreng atau berminyak dan cuma makan real food yang benar-benar berkhasiat dan 'bersih' sahaja. Bersih bermaksud tiada GMO dan serba serbi organik sahaja.

    Biasa la orang kita, dah sebulan puasa, bila raya je 'balas dendam' makan macam-macam dengan kuantiti yang banyak. Rendang, kuah kacang, sayur lodeh, sup tulang, laksa, sate dan pelbagai lagi. Kalau rendang atau sup atau kari ke bukan setakat ayam, ada itik, lembu, kambing, paru, hati. Belum masuk lagi yang masak kicap lah, masak merah, masak kurma. Jadi bila dah makan macam-macam selama seminggu raya tu, dah boleh lah start puasa untuk bagi rehat dan bertenang sikit perut tu. Dah sumbat segala juadah raya termasuk kuih raya yang manis-manis, detoks la sikit dengan puasa enam. Hihi. Macam yang aku tengah buat la sekarang ni. Tapi aku puasa ganti dulu.

     Jadi kepada kaum wanita khususnya, jangan malas deh nak puasa ganti dan puasa enam. Mengandung dan menyusukan anak bukan alasan tak boleh puasa. Kalau yang tak mengandung dan menyusukan anak, pasti lagi boleh puasa tanpa ada masalah. Ala, korban lah sikit kan. Malam kan boleh makan. Melantak je la banyak mana pun. Haha.

    Bukan apa, orang perempuan ni lazimnya suka sangat bertangguh untuk ganti puasa. Boleh kata 70% orang perempuan suka ganti puasa pada bulan Syaaban. Hujung-hujung Syaaban baru terkial-kial nak ganti. Alahai. Ayuh berubah wahai ladies. Kalau tak nak ganti masa bulan Syawal sekalipun, paling kurang jangan bertangguh sampai bulan Syaaban. Zulqaedah ada, Zulhijjah ada. Muharram, Safar, Rabiul Awal, Rabiul Akhir, Jamadil Awal, Jamadil Awal, Rejab. Amik ko semua bulan aku sebut. Haha.

    Kepada yang berjaya ganti puasa di bulan Syawal tambah puasa enam, tahniah diucapkan. Anda hebat kerana berjaya tempuh dugaan kuat ketika musim raya. Hehe. Bukan senang. Kalau spesis mak-mak yang ada anak kecil ni, nak kena suap anak makan lagi, fuh dugaan dan cobaan. Sabar je lah.

     Selamat berjuang ye ibu-ibu.

Aidilfitri 2017

Assalamualaikum.

Seperti dijanjikan, meh aku belanja pic anak-anak.

Raya pertama di rumah fil. Baju Naim dan abah sedondon sebijik. Baju Jannah corak dan warna sama dengan Ummi tapi bezanya Ummi takde warna kuning tu dan takde kembang2 haha.

 Budak paling kuat makan. Mulut sentiasa ada isi makanan. Haha.










 2 Syawal. Masa ni singgah bengkel kejap di Kota Tinggi sebelum ke Muar.



 3 Syawal. Masa ni tengah berjaya rumah sepupu abah di Parit Raja.


 3 Syawal. Dalam kereta otw ke Parit Raja.



24 June 2017

Ketupat dan Raya


Assalamualaikum.

     29 Ramadhan 1438. Alhamdulillah. Esok raya dah. Tahun ini buat kali pertama meraikan 1 Syawal di Tenggaroh. Sebelum ni mesti balik kampung rumah atok di Parit Yusof. Atok pun dah tak ada jadi tahun ni mil fil tak mahu balik kampung.

    Semalam pulun anyam ketupat. Yang ketupat bawang tu zauji buat, ketupat pasar aku buat. Boleh kata 90% ketupat aku buat seorang, Hehe. Satu kepuasan bila anyam ketupat ni. Setahun sekali je kan. Walaupun aku pandai anyam ketupat bawang dan ketupat sate, aku lebih suka anyam ketupat pasar sebab bentuknya cantik. Ketupat bawang gemuk. Ketupat sate nipis sangat pula.

    Tak pasti la generasi muda hari ini ramai ke yang pandai anyam ketupat. Aku mula belajar anyam ketupat masa umur 10 tahun kalau tak silap. Abah yang ajar step by step. Terima kasih abah. Dah 22 tahun berlalu kemahiran anyam ketupat masih power. Haha berlagak tak?

    Hari tu dalam Facebook ada orang iklan nak upah orang untuk anyam ketupat. Kalau aku kat JB aku nak je buat. Sebiji upahnya 25sen. Memang sikit je. Tapi kalau aku ambil upah menganyam tu bukan sebab duit, tapi lebih kepada kepuasan diri sendiri. Kata orang nak lepas gian. Sehari aku mampu anyam lebih 100 biji kelonsong ketupat tau. Takde hal punya.

      Walaupun sekarang ni dah banyak jual ketupat segera atau boleh buat nasi himpit je, tapi sesetengah orang Melayu masih mencari ketupat asli yang guna daun kelapa tu. Oldskool. Tak lapuk ditelan zaman. Ini lah tradisi kita orang Melayu yang tak patut dilupakan. Tak raya lah kalau tak ada ketupat. Tak lengkap lah raya kita tanpa ketupat.

     Tapi aku sekadar pandai menganyam ketupat je. Nak isi beras banyak mana aku tak tahu, nak rebus berapa lama pun aku tak tahu. Yang aku tahu tinggal makan je. Heheh. Soon kena belajar juga kot. Errrr...yeke.

    OK guys. Selamat menyambut hari raya esok. Maaf Zahir dan batin. Bye.

23 June 2017

Bagaimana Cara Nak Wean Off (putus susu badan)

Assalamualaikum.

    Lusa nak raya patutnya cerita raya tapi aku post pasal wean off pulak. Hahah. Universal la sikit. Tak semestinya kena ikut tema.

    Dilema ibu-ibu menyusukan anak adalah bagaimana cara nak wean off. Memang cabaran besar. Penuh drama airmata lah senang kata, haha. Hanya mak-mak yang bf anak je tahu dan faham macam mana perasaan dan pengalaman tu.

    Untuk putus susu ada beberapa sebab. Sebab utama biasanya sebab dah ada adik. Haha. Sebab lain mengandung. Kalau anak bongsu, dah sampai umur perlu putuskan susu iaitu dua tahun atau tiga tahun atau empat tahun. Apa yang aku nak kongsi dan bagi tips ini adalah kerana si kakak atau Abang sudah ada adik. Dan sedia maklum, aku tak beri minum susu formula.

     Naim lahir ketika Jannah berumur dua tahun 8 bulan dan masih Menyusu badan. Sepatutnya nak wean off masa umur Jannah genap dua tahun tapi tak sampai hati. Jadi masa mengandungkan si Naim aku masih fully bf Jannah walaupun Jannah dah makan macam-macam. Lepas Naim lahir Jannah still bf. Gilir-gilir. Kejap kakak kejap adik. Dah pening juga macam mana nak stop kan si Jannah ni. Takpe lah selagi mampu bf dua-dua aku teruskan je.

     Sampai lah umur Naim tiga bulan dia makin kerap menyusu dan lama. Jannah dah banyak mengalah juga. Aku pun mulakan step nak stop kan.

Step pertama: Stop bf waktu siang.
Bagi makan banyak sampai kenyang. Nasi, biskut roti. Bagi minum air Milo dan air masak. Sesekali bagi air kotak coklat dutch lady. Aku dah cuba bagi susu kambing (tepung/ FM) perisa coklat tapi dia tak nak. Jadi aku terus tak bagi.

Step kedua: Stop bf masa nak tidur siang.
Normal anak yang bf ni suka ngempeng masa nak tidur. Aku lekakan dia dengan mainan atau tengok TV sampai tertidur. Kadang-kadang bagi main handset sampai tertidur.
Lepas dah berjaya dua step ni kira bagus dah. Ambil masa seminggu jugak.

Step ketiga: Stop bf waktu malam masa nak tidur.
Ini paling mencabar dan susah. Jannah nanges aku pun nanges. Sedih sangat tak sampai hati. Kesian. Tapi sebagai mak kena kentalkan hati. Cakap dan pujuk baik-baik. Bagi kata-kata pujian. Contohnya, "kakak dah besar dah tak boleh susu. Bagi adik pulak. Kesian adik. Kakak kan budak baik, cantik."
Kemudian masa nak tidur tu peluk dia. Biasanya aku sambil ngempengkan Naim, Jannah baring sebelah Naim sambil pegang tangan aku dan aku usap-usap kepala dia. Sambil cakap, "Ummi sayang kakak. Kakak budak baik kan". Dan teruskan bercakap dan pujuk sampai lah dia tertidur sendiri. Ini pun ambil masa seminggu jugak. Kalau dah tidur dan tengah malam dia terbangun biasa nya nak susu, haaa ni bapaknya kena main peranan. Tolong ambilkan air dan bagi anak minum.

   Aku pun tak sangka berjaya juga wean off Jannah. Hahaha. Petua orang suruh letak minyak angin la sirap la halia la aku tak pernah guna. Mungkin bagi orang lain cara tu efektif kot tapi aku tak yakin nak buat. Si Naim pula tunggu ada adik baru lah aku nak wean off. Sama lah masa Jannah.

     OK sekian untuk hari ini ye. Nak pergi anyam ketupat. Kbai.

21 June 2017

Setahun 8 bulan

Assalamualaikum.

    Alhamdulillah hari ini genap umur Naim 20 bulan atau setahun lapan bulan. Tapi gigi baru ada enam batang. Dua gigi bawah, empat batang gigi atas. Berjalan pun dah laju. Naim baru je pandai berjalan tiga minggu. Walaupun lambat tapi tak mengapa. Alhamdulillah.

     Eczema Naim memang dah pulih cuma ada saki baki sikit je lagi di bahagian lutut dan masih digaru kalau rasa gatal (tapi tak kerap). Jadi aku masih pakaikan leggings atau balut bandage bahagian lutut. Ahad dua minggu lepas zauji botakkan kepala Naim. Cukur guna mesin. Ni dah tumbuh semula rambutnya si comel.

    Berat dan tinggi terbaru tidak diketahui. Haha. Dah lama tak pergi Klinik since umur setahun. Saiz badan kecil molek je tak debab. Tapi pipi tembam macam kakak. Itu trademark dua beradik ni hahaha.

    Seperti baby lain, paling senang nak sebut perkataan 'abah'. Takpe lah Ummi redho masih belum dapat sebut 'Ummi'. Sobs. Asyik abah abah abah. Hahaha. Saje suruh sebut 'mama', OK confirm lah boleh sebut. Mama. Hahaha. Ada sekali tu aku cakap "haaa cepat lah naik" masa Naim tengah panjat katil. Naim pun sahut "aik...aik". Konon sebut perkataan naik la tu tapi pelat. Haha comel je.

     Makan memang kuat makan. Semua dia sebat. Pandai minum sendiri pakai cawan. Orang nak tolong pegangkan dia marah. Yelah takut tumpah ke. Tapi tak tumpah pun, sekadar berjaga-jaga. Minum air kotak pun pegang sendiri. Air botol air tin pun nak pegang sendiri tu (yang ni memang tumpah-tumpah le).

   Mulut memang bising becok bahasa dia. Paling cute bila dia bawa beg kecil atau bakul mainan ke hulu ke hilir ala mak jemah pergi pasar. Playskool pun dah pandai naik sendiri dan tolak sendiri. Sama jugak dengan kenderaan macam lori yang boleh naik tu dah pandai naik turun sendiri dan tunggang sendiri. Motor Jannah pun sama Naim naik turun sendiri. Dah besar la katakan. Haha.

     Biasa lah budak kecil suka kembur baju-baju yang dah dilipat. Setiap kali lipat kain kalau dia datang dan mula nak mengembur aku akan jerit aaaaaa (suara halus) sambil cepat-cepat simpan semua pakaian yang dah dilipat. Kadang-kadang aku tak perasan Naim datang kacau dan mula nak kembur lepas tu dia pun jerit aaaaaa (ajuk aku sebenarnya) sambil tangan dia mula nak sepahkan. Aku pun terus jerit aaaaaa jugak la.

   Aku memang selalu jerit aaaaaa kalau Naim buat sesuatu yang bikin mak-mak rasa marah. Contohnya tumpahkan air, teraburkan makanan. Konon-konon aku jerit tu tanda geram dan marah le tapi dalam mood kelakar. Buat muka dan aksi terkejut (beliakkan mata dan mulut lopong) lalu jerit aaaaaaa.

      Takde gambar pulak nak post. Nanti lah akan datang kita post gambar terbaru anak-anak ye. Mungkin Syawal nanti? Heheh.

18 June 2017

Tak Perlu Poyo Sangat

Assalamualaikum.

     Bila tiba bulan Ramadhan je antara yang paling popular adalah bazar Ramadhan atau pasar Ramadhan (singkatannya param). Tak dinafikan bazar dan param ini menambah kemeriahan bulan puasa.

     Tetapi muncul pula puak-puak poyo yang konon anti bazar Ramadhan atau jenis tak beli juadah di param la konon, prefer masak sendiri. OK lah bagus lah tu masak sendiri tapi tak perlu poyo nak bangga sangat kau tu bila tak jejak bazar Ramadhan.

    Contoh ayat popular bila update status di Facebook;

Dah tiga minggu puasa masih belum pernah jejak bazar Ramadhan. Alhamdulillah.

Yes. Berjaya tak pernah lagi beli kat bazar Ramadhan.

Ramadhan kali ini belum pernah lagi pergi param. Siapa macam saya like sikit.

     Eh beb ni aku nak tanya. Hina sangat ke orang yang beli juadah di bazar Ramadhan? Teruk sangat ke kalau beli makanan kat bazar Ramadhan?

    Kalau pun kau ada pengalaman buruk bila membeli makanan di bazar Ramadhan, tak boleh la pukul rata semua peniaga adalah sama dan semua makanan pun tak sedap. Masih ada peniaga yang ikhlas berniaga dan mencari rezeki halal.

   Ok lah kita tolak tepi cerita kuih karipap oksigen ke, murtabak inti bawang semata-mata, air tebu basi, makanan mahal nak mampus. Mana yang tak berkenan di hati, tak usah beli. Bukan semua peniaga tu meniaga hanya asal boleh atau nak kaut untung besar tapi makanan hampeh. Tak semua la macam tu. Kena bijak memilih.

   Macam aku sendiri sesekali suka juga round satu bazar Ramadhan dan beli apa yang aku teringin. Bukan lah hari-hari mesti membeli kat bazar. Dan biasa nya makanan yang aku nak tu susah nak jumpa dan aku tak reti masak makanan tu. Contohnya nasi kerabu, ayam percik, char kuey teaw. Contoh je la. Dalam masa yang sama support orang Melayu berniaga. Tapi beli jangan sampai membazir la kan. Itu paling penting sebenarnya.

     Memang la home cook adalah terbaik. Tak dinafikan pun. Bagus la kalau hang 30 hari puasa tu memang masak sendiri je juadah sahur dan berbuka tak pernah beli makanan kat luar. Tapi tak perlu nak bangga sangat semua nak canang kat fb. Bila kau buat status konon tak pernah jejak bazar Ramadhan tu, serious ramai yang rasa meluat dan menyampah gila bila baca. Kau tak pernah jejak bazar Ramadhan so what? Kau expect orang lain boleh ikut la cara kau tu yang tak membeli di bazar Ramadhan? Atau kau harap kau boleh jadi 'contoh' atau ikutan? Atau kau harap boleh menjadi 'rakyat mithali'? Terbaik lah aku ni tak pernah beli kat param. Bangga.
Huh boleh blah.

       Pendek kata macam ni lah. Kalau kau tak pernah lagi pergi param untuk tahun ni (Azam Ramadhan la konon) itu terserah pada diri ngko tapi tak perlu update status kat FB ke twitter ke no need. Diam-diam je sudah. Poyo gila tau tak? Macam la orang kisah kau pergi bazar Ramadhan atau tidak. Orang lain sikit pun tak kisah la. Tapi orang rasa sinis dan menyampah bila kau update status gitu. Hahah. Sebab ada riak di situ. Huk aloh.

   
    

13 June 2017

Botol Susu, Susu Formula

Assalamualaikum.


    Acapkali aku terbaca status FB ibu-ibu yang bercerita struggle nya nak stop kan penggunaan botol susu terutama bagi anak yang dah mula bersekolah samada taska atau tadika. Dalam hati aku yang part jahat (devil) akan pandang sinis sambil berkata, itu lah siapa suruh ajar guna botol, kan dah susah nak berhenti. Mendapat lah. Opss... Itu sindiran tajam dari part jahat tau. Lagi pun dalam hati je. Tak bermaksud aku mengecam. Maafkan saya.

    Yes, aku tak dapat nafikan yang botol susu dah memang satu keperluan untuk baby yang ibunya bekerja. Take note, only babies, not include the toddlers. Tak kisah la samada EBM atau FM, botol susu boleh kata wajib ada lah untuk semua baby. Walaupun baby tu EBF ada juga stand by botol susu untuk waktu kecemasan. Tetapi yang silapnya adalah bila masih memberi anak minum susu dalam botol bila usia anak dah melepasi dua tahun. Sepatutnya masa umur dua tahun dah stop kan. Minum pakai cawan je. Ada ke budak umur dua tahun masih belum pandai pegang cawan?

    Sebagai seorang bekas bayi (aku lah tu) yang memang tak pernah minum guna botol susu masa kecil, aku yakin orang lain pun boleh hidup lah tanpa botol susu. Hahah. Macam kes aku masa bayi memang refuse botol susu. Sama lah dengan anak-anak aku pun refuse botol susu. Orang akan cakap, yelah kau senang la surirumah je tak bekerja, bf je tak perlu susah-susah guna botol susu. Heh. Ramai je surirumah yang beri anaknya minum guna botol susu. Jadi apa bezanya?

    Perdebatan susu badan vs susu formula sampai bila-bila pun tak akan habis. Hehe. Tapi yang aku nak tegaskan ialah betapa susu formula itu sudah tidak diperlukan lagi setelah anak berusia dua tahun gais. Aku tengok mak-mak semua risau dan gelabah je nak bagi minum susu apa ye kat anak lepas wean off susu badan (lepas umur dua tahun). Duh. Bagi je lah makan nasi dan makanan berkhasiat. Real food. Susu dah tak payah bagi dah. Apa kebenda yang orang obses sangat 'mesti bagi susu formula lagi untuk tumbesaran yang sihat, otak cerdas, badan cergas, kuatkan tulang dan gigi (kalsium katanya), immune badan (tak mudah jatuh sakit)' dan pelbagai lagi lah alasan 'kebaikan' masih perlu bagi minum susu untuk budak. Tak payah terpedaya sangat dengan iklan promosi kebaikan susu (formula milk) sekian-sekian. Nak bagi Biar yang fresh bukan susu tepung tak kira lah susu kambing ke susu lembu ke susu kerbau ke. Sudah-sudah lah tu banggakan sangat jenama-jenama susu popular dan mahal yang dicanang penuh khasiat dan kebaikan. Puih.

     Bukan apa. Aku tengok ramai juga budak kerap jatuh sakit walaupun minum susu FM (yang katanya meningkatkan immune). Demam, batuk, selesema. Yang hyper lagi lah teruk. Terlebih gula. Yelah kalau dah dalam sehari sampai 8-10 botol susu FM 9oz kau rasa? Ish. Tak patut.

     Lepas tu terdengar la keluhan parents, barang mahal lah, kos hidup tinggi lah, pampers susu anak lagi sebulan dah berapa. Padahal kos beli susu yang beratus RM setiap bulan itu dah boleh di cut off, dah boleh jimat banyak. Sekali lagi aku tekankan, tak perlu lagi susu FM untuk toddler berusia dua tahun ke atas. Jangan risau budak tak cukup zat ke apa kalau tak minum susu (FM). Itu semua mitos sahaja. Asalkan diberi real food macam kita orang dewasa makan, dah cukup dah. Sebagai contoh la anak aku si Jannah. Tak minum FM langsung lepas wean off. Alhamdulillah OK je, jarang demam atau sakit. Cergas dan cerdas. Bijak, cepat belajar. Nutrients dalam susu formula tu bukan seperti yang dicanang dalam iklan. Mungkin ada la 5% khasiat je. Entah apa lagi kurang. Who knows?

       Sebenarnya perbelanjaan bulanan dan tahunan banyak boleh jimat bila anak stop minum susu FM bermula umur dua tahun. Duit susu formula dah boleh jimat setiap bulan. Duit botol susu dan puting juga boleh jimat. Katalah tukar botol enam bulan sekali, puting tiga bulan sekali. Bukan murah tu. Banyak juga kos mantenen budak yang masih hisap susu botol ni. Lagi pun kau tak penat ke asyik kena bancuh susu, basuh dan cuci botol setiap hari. Kalau sehari lapan kali anak hisap susu botol, lapan kali kena bancuh susu dan cuci botol susu. Belum masuk lagi tengah malam terpaksa bangun dari tidur bila anak merengek nak susu, pergi bancuh susu. Tidur pun terganggu. Cukuplah dua tahun je anak hisap botol susu tu ha. Yang terbaik tak payah guna botol langsung, df je. Tapi tak pe lah bagi ibu bekerja yang terpaksa bagi susu botol juga kat anak. Ingat. Sampai umur dua tahun je tau. Tak payah terpengaruh sangat dengan dakyah masih perlu minum susu untuk lengkapkan nutrients. Auta je semua tu.

    Kenapa aku terlalu prejudis dengan susu formula? Hmm. Sebab susu ibu adalah terbaik. Lagi satu sebab aku menyampah gila dengan lambakan iklan susu formula di pasaran. Paling menyampah bila siap claim khasiat dan kebaikan setinggi gunung, terlalu melebih-lebih.

    Tak mati lah anak kau kalau tak minum susu tepung tu. Ok lah hak masing-masing nak bagi anak minum susu tepung. Yup memang hak engko la aku tak peduli pun. Tapi yang aku meluat bila kau mengeluh pasal duit susu lah, susu naik harga lah, dan macam-macam lagi lah. Kalau tak nak aku kutuk baik kau diam je, hahaha. Dah kau yang memilih jalan tu (still bagi FM untuk above two years old), so kau hadap je lah. Itu sebab nya bila update status di FB ke Instagram ke Twitter ke jangan terlalu open sangat semua nak diluahkan. Bila kena kecam tahu pula sentap. Kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepian pantai. Cuba tengok macam aku. Nak mengutuk mengecam aku tulis dalam blog, bukan dalam FB. Ceh. Ada kaitan ke?

    Lagipun bila aku tengok budak dah besar (5, 6, 7 tahun umurnya) masih hisap botol susu, aku rasa macam geli pun ada. Dah besar kot. Kalau ye pun masih degil nak bagi minum FM untuk budak dah besar, bagi lah dalam cawan je atau gelas. Ataupun botol air yang ada straw tu pun boleh juga yang penting bukan botol susu (yang ada puting). Tapi aku takde la nak tegur anak orang 'eh masih hisap botol lagi? Kan dah besar'. Aku no komen je tak cakap apa-apa. Jaga air muka budak dan mak bapak budak.

    Sebenarnya, tak akan ada sesiapa pun akan kecam kau bila kau tak bagi susu FM kat anak bila dah lepas umur dua tahun. Jangan takut dikecam. Paling-paling pun orang cuma tanya 'eh kau bagi minum susu apa eh kat anak kau?'. Jawab je dengan jujur. Aku tak bagi apa-apa susu pun, dah boleh makan kan. Makan je macam kita orang dewasa. Susu tak penting. Lepas tu orang tak akan bertanya lagi. Kalau banyak tanya sangat siap pakej sindir sinis, kau lempang je muka orang tu. Hahaha. Takde lah tergamak ye.

      Akhir kata, maaf lah andai ada readers yang tersinggung dengan post ni. Ini sekadar pendapat dan kupasan peribadi aku je. Pilihan di tangan anda. 

09 June 2017

Travel Alone di Negara Orang

Assalamualaikum.

   Bulan puasa macam ni mula lah aku teringat Mesir. Hahaha. Tempat jatuh lagi dikenang katanya. Teringat kenangan berpuasa di Mesir dan terkait pula dengan kenangan lain di Mesir.

    Ada satu kisah yang aku tak pernah cerita pada sesiapa. Agak bahaya dan menyeramkan juga. Berlaku masa tahun akhir dah habis exam. Tengah tunggu result la macam tu. Aku tak ingat la aku travel seorang diri ke mana tah masa tu Kaherah ke Tanta entah nak balik Mansurah. Masa tahun tiga (tahun akhir) aku memang biasa travel seorang diri kalau nak ke mana-mana (Luar muhafazah Mansurah) sebab tak nak susahkan sesiapa untuk teman aku. Yelah masing-masing mesti ada hal kan nak dibuat.

     Masa tu aku ada beli anggur sekilo ke dua kilo entah. Tengah murah. Aku tunggu tremco di tepi jalan. Tiba-tiba ada satu kereta pak Arab berhenti depan aku. Bukan teksi ye. Dia tanya nak ke mana. Aku jawab Mansurah. Kemudian dia ajak tumpang kereta dia sebab dia pun nak ke Mansurah. Aku teragak-agak. Dalam hati kata kalau tumpang OK jugak jimat duit tambang aku sikit. Aiyo berani betul. Sambil aku toleh kiri kanan tengok ada student Malizi tak terutama ustaz/ ikhwah, hahaha. Aku tengok line clear tak ada Malizi aku pun dengan penuh keberanian naik kereta pak Arab tu duduk sebelah seat driver. Dalam hati berdoa banyak-banyak jangan la jadi apa-apa perkara buruk. Tawakal habis.

     Biasa lah dalam perjalanan pak Arab ajak sembang. Tanya macam-macam. Wah aku pun ramah jugak dok tanya nama, kerja apa dan macam-macam. Basa-basi lah konon. Kah. Yelah, ambil hati sikit lah dah tumpang kereta orang. Euwww terpaksa lah. Pangkat pakcik. Kalau orang muda hensem boleh la aku nak ngorat (uwek). Jauh jugak la dah berlalu perjalanan ni dalam setengah jam ada jugak kot.

   Lepas tu pak Arab minta aku selak niqab nak tengok muka katanya. Aduh. Aku cakap la tak boleh. Dia takde lah mendesak tapi cuba memujuk. Memang tak lah aku nak tunjuk muka aku. Aku dah mula cuak. Dah la masa sembang dia cakap teringin nak nikah dengan Malizi lah apa lah. Adoi cari nahas aku naik kereta pak Arab ni. Dalam hati tak putus berdoa Allah selamatkan aku dari 'bencana' ni.

     Kemudian ada jumpa macam satu perhentian ni dia nak singgah jap. Kalau kat Malaysia macam RnR kecik yang ada tandas, surau dan kedai makan sikit tapi totally different la. Mesir kan asal boleh je. Haha. Aku dan dia pun turun kereta. Orang memang ramai la di hentian tu. Dia pesan suruh tunggu dia nak buang air dan merokok. Bila dia hilang je dari pandangan aku pun berdiri tepi jalan mengharapkan ada la tremco lalu untuk aku naik tak kisah la dari arah mana pun asalkan aku dapat larikan diri dari orang tua tadi. Rezeki aku nampak ada tremco dari jauh. Aku tahan dan tremco berhenti. Tremco tu di seberang jalan. Aku lari cepat-cepat dan terus naik tremco. Mujur ada tempat duduk. Huhuh. Babai pakcik. Tremco tu pula sebenarnya patah balik arah tempat aku naik kereta pakcik tu tadi, bukan ke arah Mansurah. Aku tak kisah nekad je. Sampai Utubis (stesen pengangkutan awam) sana nanti aku naik la tremco ke Mansurah pulak.

      Dah sampai Utubis, aku turun dan naik tremco ke Mansurah. Bila lalu tempat yang tadi (rnr) aku tengok kereta pakcik tu dah tak ada. Fuh, nasib lah kau pakcik. Aku dah buang masa berjam juga la turun naik tremco siap patah balik semua tapi tak apa lah. Inilah namanya pengalaman hidup. Tapi berani Biar bertempat ye adik-adik, jangan ikut macam aku. Wakaka.

     Itulah salah satu cerita masa travel seorang diri. Sebenarnya aku paling kerap pergi Tanta sebab ada seorang kawan aku mutazawijin (berkahwin) duduk sana. Aku kerap ziarah. Kebetulan ada satu masa tu dia baru lepas bersalin dan berpantang kat sana. Sebab lain aku ke Tanta sebab nak pergi pasar dia ala-ala Sikah di Mansurah.  Macam-macam ada jual dan murah. Pernah beberapa kali aku pergi balik hari je woi, tak tidur sana pun. Mansurah - Tanta tak jauh sangat, sejam lebih perjalanan. Kalau Mansurah - Kaherah tiga jam. Pengangkutan awam ke Tanta samada aku naik tremco atau kereta peagot (kereta panjang ada enam seat penumpang).

     Pernah juga travel masa bulan Ramadhan seorang diri, siap berbuka dalam peagot/ tremco lagi. Biasa nya aku standby setakat roti je satu sebab nanti akan ada Arab tunggu tepi jalan dan edar makanan serta air kepada setiap kenderaan yang lalu lalang. Kurma, air, roti, kusari (aku lupa eja macam mana). Terbaik la orang Arab time Ramadhan memang suka sedekah makanan kepada sesiapa pun samada kenal atau tidak, orang tempatan atau orang luar, semua dia bagi.

      Tapi ingat ye. Kalau nak travel seorang diri di negara orang, pastikan kau dah biasa pergi tempat itu beramai-ramai sebelum berani gerak seorang diri. Kiranya dah hafal tempat mana nak berhenti, tempat mana nak naik bas atau pengangkutan awam lain. Amboi siap bagi tips lagi tu. Hahaha. 

06 June 2017

Please Respect and Don't Complaints

Assalamualaikum.

     Kalau seseorang wanita itu (baca; isteri dan ibu) memilih untuk tidak bekerja, jangan banyak tanya kenapa. Bekerja yang dimaksudkan di sini adalah yang memerlukan isteri itu mesti keluar dari rumah dalam tempoh beberapa jam dan ada tempat kerja contohnya pejabat, sekolah/ pusat pengajian tinggi, kilang, pasaraya, kedai dan sebagainya. Kerja dengan orang. Kalau orang tu tak nak bekerja dan nak jadi surirumah je itu pilihan dia dan mesti ada alasan tersendiri yang kau orang tak perlu sibuk nak tahu dan selidik dalam-dalam.

   Katakan lah aku ada 10 alasan sekalipun, perlu ke aku nak cerita satu persatu pada setiap orang yang bertanya? Kalau ada 100 orang bertanya? Huh jenuh la nak explain der. Biasanya kalau orang tanya memang jawapan standart aku, aku tak nak hantar anak-anak aku ke orang lain untuk asuh dan jaga dan anak aku takut orang. Sebenarnya yang lebih tepat aku tak percaya orang lain untuk jaga anak aku. Ya aku memang prejudis. Hahahah. Dengan banyak kes dera kat rumah pengasuh la taska lah lagi lah aku prejudis semua orang adalah sama, tak ada yang ikhlas. Tapi aku tak kan cakap pasal ni pada orang yang bertanya sebab nak menjaga hati. Ya, kebanyakan yang bertanya adalah ibu bekerjaya yang memang hantar anak ke pengasuh dan taska. So please stop asking and asking dude kalau tak mahu dengar jawapan yang bakal mengguris hati anda. Hahaha. Ya saya tahu anda memilih untuk bekerja dan terpaksa juga serahkan anak ke pengasuh atau taska, anda tiada pilihan. Anda bekerja juga untuk bantu suami dan bantu kewangan famili, tak ada siapa pun nak marah atau halang.

    Selain alasan prejudis aku yang tak percaya orang, alasan utama yang kedua adalah demi untuk memberi susu badan sepenuhnya untuk anak. Direct feeding bukan botol. Aku tahu tahap mana kemampuan aku. Jadi agak mustahil untuk anak aku dapat fully bf sampai dua tahun bila aku bekerja. Sebab aku spesis tak rajin nak kumpul stok. Mengepam OK tapi bab nak mencuci pump dan kelengkapannya macam botol susu dan sebagainya, hah yang ini paling leceh. Banyak masa terbuang. Df juga paling senang dan terbaik. Khasiat pun berlipat kali ganda. Alasan ini juga akan mengguris hati ibu-ibu lain yang bekerja dan mengepam. Jadi aku tak pernah cakap dengan orang pasal ni, hanya tulisan di blog aku ini sahaja. Inilah dua alasan kuat aku kenapa tak bekerja. Dua-dua pun berkaitan anak.

     Then what? Akan keluar lah pula ayat, 'rugi lah belajar tinggi, tapi sijil tak digunakan untuk dapatkan kerja bagus'. Ini mentality kuno lagi kolot. Biasa nya orang yang berumur la pangkat makcik dan nenek. Demi nak jaga hati, aku jawab je la, insyaAllah akan datang akan guna sijil tu cari kerja. Dalam proses. Klise sangat uolls. That's why kadang-kadang aku malas nak ziarah, akan ada soalan kenapa tak kerja bla bla bla. Sayang la ada ijazah bla bla bla. Cukup lah sekadar satu soalan, jangan dipanjangkan lagi dengan soalan lain atau komplen atau nasihat ke apa. Next topic please. Sebab biasa nya soalan seterusnya tu atau nasihat atau pesanan atau ceramah free sedikit sebanyak telah membuatkan ibu tak bekerja ini tersinggung atau terasa hati. Contoh soalan femes tajam dan sinis hingga menusuk hati jantung paru-paru;
"Tak teringin ke nak balas jasa mak bapak. Tolong mak bapak. Kalau bekerja kan boleh bantu orang tua?"
What the hell question is this?
 Kalau maksud 'balas jasa' itu adalah pemberian dalam bentuk material dan duit, perlu ke orang nak bercerita yang dia memang ada bagi?
"Eh makcik, setiap bulan memang saya bagi sekian sekian lah kat mak abah saya walaupun saya tak bekerja. Makcik apa tau? Jangan menyibuk boleh tak?"
Hah, kang tak pasal dicop anak muda biadap pula kalau cakap macam tu kan. Hew hew hew. Ini lah dilemma orang muda bila menerima kata-kata sinis dan pedas daripada orang tua. Bila senyap dikatanya pasif, bila lantang bersuara dikatanya kurang ajar. Paling tidak pun terpaksa senyum kelat.

   Sebenarnya sindiran atau kata-kata sinis seperti itu ada juga keluar dari mulut orang muda atau yang seangkatan umur. Tapi aku tak pernah lah kena. Ayat-ayat di atas tu sekadar contoh je. Mungkin ibu-ibu lain yang macam aku tak bekerja pernah kena? Seolah-olah hina sangat wanita yang tak bekerja ni ye. Low class. Susahkan suami? Ya memang ada dan wujud mentaliti macam ni.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...