19 April 2015

Hati Perempuan

Assalamualaikum..

  Maaf, ini bukan nak ulas cerita bertajuk Hati Perempuan daripada novel atau drama tv. Ini cerita hati perempuan yang real, bukan rekaan atau imaginasi.

    Hati seorang perempuan asalnya lembut, tak ada yang keras. Walaupun mulut jahat ke atau terlepas kata-kata menyakitkan hati orang lain, namun hati perempuan itu bukanlah sejahat mulutnya.

   Aku keliru sebenarnya. Tak tahu siapa yang benar, siapa yang tak jujur. Hanya doa yang dapat ku pohon setiap masa agar Allah memberi aku petunjuk. Bukan mahu mencari siapa salah, aku hanya mahu tahu kebenaran dan kesahihan. Itu sahaja. Barulah kekeliruan dan kekusutan ini akan berakhir. Ya, hanya pada Allah tempat mengadu dan meminta.

      Hati perempuan ini, selalu berdoa kepada Allah. Saat hati disakiti, terus berdoa dalam hati, Ya Allah, berikan aku ketabahan dan kekuatan. Kita hamba memang lemah. Tak ada kekuatan dan daya melainkan dengan kehendak Allah. Allah yang pegang hati kita. Dia berkuasa membolak-balikkan hati. Oleh itu kita jangan angkuh, berlagak dan bercakap besar. Setinggi mana ilmu dan kekuatan kita ada, jika Allah tak izinkan, memang tak akan terjadi apa-apa.

    Hati aku ini, kadangkala diracuni fikiran dan minda jahat, untuk doakan yang buruk untuk orang yang buat aku terluka. Tapi lembutnya hati perempuan ini, boleh dan mudah memaafkan. Kadangkala bila datang idea jahat atau dendam, macam-macam yang aku rancang untuk lakukan,  tapi bila sampai masanya aku jadi tak sampai hati dan tak jadi buat. Adakah aku terlalu lembut hati atau hati perempuan memang begini?

     Busuk hati? Hasad dengki? Minta Allah jauhkan rasa negatif itu. Minta Allah jauhkan segala sifat mazmumah. Ameen.
     Alhamdulillah. Bersyukur atas segala nikmat yang Allah beri. Semuanya datang dari Allah. Tidak kira lah kebahagiaan, kegembiraan, ujian dan apa sahaja. Asalkan kita sentiasa ingat pada Allah, hati kita akan menjadi tenang. Besar mana pun masalah yang datang, ujian dan dugaan yang menimpa, bila kita ingat Allah dan kembali pada-Nya, hati akan rasa tenang dan damai. Allah sentiasa bersama kita.

     Semoga segala kekusutan dan kekeliruan ini akan berakhir secepat yang mungkin. Aku tidak mencipta sengketa. Bukan aku yang buat huru-hara. Bukan aku punca semua ini berlaku. Ini semua adalah kehendak Allah jua. Kalau lah dia faham tentang ini. 😔

     Sabar. Sabarlah dalam menghadapi ujian ini. Ya Allah, damaikan semua hati mereka. Tunjukkan lah kebenaran.

09 April 2015

Doa Seorang Isteri dan Ibu

Assalamualaikum...

   Alhamdulillah. Allah menguji tanda sayang. Walau berat mana ujian yang Allah beri, ketahuilah yang kita mampu untuk menghadapinya. Allah tidak akan memberatkan satu ujian itu melainkan dengan kemampuan hamba-Nya.

    Tetapi, tidak sekali-kali aku melakukan perkara syirik dan khurafat. Nauzubillahi min dzalik. Aku dah hilang akal ke atau terdesak sangat ke sampai nak guna ilmu sihir lah, penunduk la, guna-guna lah. Apa aku cetek sangat ke pengetahuan agama? Akidah aku dah terpesong sangat? MasyaAllah. Kenapa begitu sekali tuduhan daripada orang yang aku hormat dan sayang? Ya Allah Yang Maha Melihat, kuatkan dan tabahkan diri ini. Ameen.

    Kalau pun memang tak suka aku, benci aku, janganlah sampai menuduh aku seteruk itu. Tak apa lah. Hanya Allah yang tahu hati aku, diri aku macam mana. Biar dibenci manusia tapi Allah lebih tahu akan hamba-Nya. Ya Allah Yang Maha Mendengar, tolong beri aku kekuatan untuk menghadapi semua ini. Ameen.

      Ujian demi Ujian bertimpa-timpa. Alhamdulillah. Ujian juga adalah hadiah dari Allah. Sebagai peringatan agar aku tidak lalai dan hanyut. Alhamdulillah. Aku juga bersyukur diuji sebegini. Allah ingin mengangkat darjat hamba-Nya dengan memberi ujian yang berat dan bagaimana hamba itu mengatasinya dengan sabar dan redha. Ya Allah Yang Maha Mengetahui, hanya pada-Mu segala pergantunganku. Ameen.

      Hari ini, aku juga mendoakan yang baik-baik untuk 'mereka'. Semoga Allah mudahkan semua urusan dan cepat-cepat pulang. Walau hati disakiti, pedih dan terluka, aku tetap doakan yang baik-baik. Tak apa lah, mengalah bukan bererti lemah. Sebaliknya aku sedang membina kekuatan dan ketabahan diri. Allah sahaja yang tahu hati aku. Ya Allah Yang Maha Agung, tolong pulihkan semangatku, kuatkan semangatku, kuatkan hatiku untuk redha dengan semua ini. Ameen.

    Walau sakit ini sukar sembuh atau mungkin tak akan sembuh sampai bila-bila pun, aku kena kuat untuk teruskan hidup ini. Ujian ini mungkin hanya kecil sahaja nak dibandingkan dengan orang lain yang Allah uji lagi besar ujiannya. Tetapi, ujian yang melibatkan hati dan jiwa ini sebenarnya amat perit lagi daripada ujian fizikal atau yang boleh nampak contohnya harta dan keperluan.
Ya Allah Yang Maha Penyayang, jaga dan pelihara lah hati ini agar selalu dekat dengan-Mu Ya Allah. Jangan sekali-kali hatiku dibiar lalai dari mengingati-Mu. Ameen.

    Allah sebaik-baik perancang. Allah sedang merencana yang terbaik buat hamba-Nya yang lemah ini. InsyaAllah semuanya akan baik-baik sahaja. Yakinlah dengan apa yang telah Allah atur, pasti itu yang terbaik buat kita. Bersangka baik dengan semua ujian yang Allah beri. Bukan untuk menyusahkan atau menyeksa, tetapi kerana Allah ingin memberi ganjaran lebih untuk hamba-Nya yang sabar.

01 April 2015

Semakin Hampir

Assalamualaikum...

   Semakin hari, semakin hampir hari 'derita' ku akan bermula. Aku masih tetap bertegas dengan pendirian dan doaku pohon tanpa jemu. Setiap hari, setiap masa aku berdoa benda yang sama tanpa gagal. Seandainya tidak dimakbulkan Allah, aku redha. Allah ingin memberi yang lebih baik lagi untuk aku.

     Dan seandainya doaku termakbul. Alhamdulillah. Aku bersyukur sangat. Allah menyebelahi aku. Bermakna 'mereka' tidak diredhai Allah. Aku dalam golongan 'teraniaya' dan 'dizalimi'. Hati aku dilukai. Hati aku bagai ditoreh, dihiris, ditikam sehingga hancur berkecai. Sakit. Memang sakit. Sakitnya itu di sini. Di hati. Sangat sakit. Pedih. Aku yang amat terluka. Aku memang tak akan maafkan pengkhianatan ini sampai bila-bila.

    Mulut memang mudah mengatakan...
Semuanya takdir Allah..
Allah yang gerakkan hati ini...
Allah yang atur semua ini...
Allah yang timbulkan perasaan suka dan cinta ini...
Tak tau macam mana boleh terjadi. Perasaan itu datang sendiri.. tanpa dipaksa. Timbul sendiri..

Ah, sudahlah! Semuanya dusta! Kau yang tak setia. Kau pengkhianat. Kau tamak. Kau yang tak bersyukur. Kau sentiasa mahu lebih.

Dan kau pula. Kau pengkhianat juga.

Ah aku benci semua ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...