Assalamulaikum.
Sebenarnya entri ni dalam draft tahun 2017. Masa tu aku tak sambung tulis sebab dah beberapa bulan berlalu dan cerita macam dah basi hahaha. Tapi sekarang dah lebih 5 tahun berlalu, aku rasa nak sambung dan teruskan menulis pasal Ujang Samudera ini.
Lagu Salam Sejahtera adalah salah satu lagu popular kumpulan rock kapak Samudera yang boleh kata semua orang tahu dan boleh menyanyi bersama bila lagu berhantu itu dimainkan. Tapi bukan semua orang kenal dengan vokalisnya termasuklah aku lima tahun lepas. Hanya selepas kematiannya barulah aku tau, ohh namanya Ujang. Tapi perihal kematian pun aku tak tau jugak pada awalnya. Aku tau pun daripada youtube masa tu tular Usop Mentor Millenia nyanyi lagu Titian Hasrat. Kebetulan masa episod tu aku terlepas tak dapat tengok.
Usop jadi asbab aku dan ramai lagi warganet mencari dan mendengar semula lagu-lagu Samudera yang dulu-dulu. Dan masa baca komen barulah aku tahu vokalis asal Samudera dah meninggal dunia.
Yang teramat tragisnya kematian Ujang ni yang membuat semua orang bersimpati ialah sebab dia mati seorang diri di rumah dan lepas 6 hari baru orang dapat tau. Itupun sebab ada seorang rakan sekerjanya rasa tak sedap hati dah 6 hari Ujang tak datang kerja, so kawan ni pergilah rumah Ujang. Bila sampai je dah terhidu bau busuk. Kawannya tu terus call polis dan ahli keluarga angkat Ujang. Mayat Ujang ditemui berulat dan mula mereput. Sungguh menyayat hati.
Kenapa aku beria nak tulis cerita pasal Ujang ni? Sebab paling utama ialah kejadian berlaku di negeri aku iaitu Johor. Arwah menetap di Felda Palong Timur, Batu Anam, Johor bersempadan dengan Negeri Sembilan. Ujang orang Johor rupanya. Pastu satu daerah pulak dengan aku dulu (Segamat). Kira 'sekampung' la. Lagilah aku bertambah sedih. Selama ni tak kenal dan tak ambil tahu, orangnya dah pergi barulah nak ambil tahu.
Hasil daripada pencarian dan pembacaan aku pasal arwah Ujang ni, rupa-rupanya dia berasal dari Indonesia, dibawa datang ke Malaysia oleh ayah angkatnya. Waktu itu Ujang berumur 11 tahun. Waktu kecil dan remaja Ujang ikut keluarga angkatnya menetap di Johor. Ada dua tempat, Senggarang dan Sungai Balang, Muar. Tak pasti masa umur berapa Ujang duduk di dua tempat ini. Oh ye Ujang lahir pada tahun 1964. Kira dah pangkat pakcik-pakcik la kalau dengan umur aku 30-an.
Awal tahun 90-an Ujang bersama kawannya berhijrah ke Kuala Lumpur untuk cuba nasib nak jadi penyanyi dan pemuzik. Tertubuhlah kumpulan Axthara dan keluar 1 album pada tahun 1991.
Selepas itu Axthara berpecah dan pada tahun 1992 Ujang tubuhkan kumpulan muzik baharu dengan ahli baharu. Nama yang digunakan pada waktu itu ialah Arjuna. Setelah berbincang dengan syarikat rakaman, mereka menukar nama Arjuna ke Samudera. Samudera yang bermaksud lautan yang luas dan begitulah harapan kumpulan Samudera agar dapat dikenali seluas lautan dan perjuangkan muzik mereka hingga semua orang menyukai Samudera. Ada sumber lain pula aku pernah terbaca nama Samudera diambil daripada nama taman atau nama jalan tempat mereka menyewa (rumah sewa). Taman Samudera ke Jalan Samudera begitulah.
Jun 1993 Samudera melancarkan album pertama berjudul Titian Hasrat. Album ini sukses. 1994 keluar album Terminal Cinta yang mengandungi lagu Salam Sejahtera. Namun pada tahun 1995 Ujang keluar meninggalkan Samudera dan menubuhkan kumpulan baru iaitu Xray. Album pertama Xray released pada tahun 1997. Dan selepas itu Xray berpecah dan Ujang terus tinggalkan arena mainstream dan pulang ke Johor.
Di sinilah kisah sedih Ujang bermula yang tiada siapa pun tahu. Ada sumber yang mengatakan ketika masih menjadi artis dan di KL, Ujang telah disihir. Kekasih Ujang juga telah disihir dan mereka berpisah. Ada sumber kata lagi kawan Ujang sendiri yang rampas awek Ujang. Ujang kecewa dan bawa diri pulang ke kampung dan tinggalkan dunia artis.
Bila dah pulang ke Johor, Ujang meneruskan hidup dengan buat kerja-kerja biasa dan kebanyakannya kerja kilang. Tidak menetap di satu tempat, berpindah randah tapi masih dalam negeri Johor. Akhir sekali Ujang ikut bapa angkatnya menetap di Felda Palong Timur dan bekerja di kilang sawit di sana. Ujang aktif mennyanyi di kenduri kahwin sekitar Segamat, Negeri Sembilan dan Melaka bersama kugiran anak-anak Felda Palong.
Ada yang kata Ujang pernah terlibat dengan dadah sebab tu dah tak jadi artis. Ada satu sumber cerita Ujang pernah masuk pusat tahanan dan pusat pemulihan.
Pada tahun 2012, pengurus Samudera dan syarikat rakaman meminta Samudera buat lagu baru dan rakam lagu baru. Ujang yang dah lama menyepi berjaya dihubungi dan diminta datang ke KL untuk rakam lagu baru. Waktu dah berkumpul dan nak rakam lagu baru, semua ahli Samudera diminta mengeluarkan kad pengenalan masing-masing untuk urusan royalti. Pada waktu itu barulah mereka mengetahui yang Ujang hanya mempunyai IC merah iaitu IC penduduk tetap.
Tahun 2013 album terbaharu Samudera dilancarkan iaitu The Very Best Of Sanudera yang merupakan album kompilasi lagu-lagu hits Samudera termasuk dua lagu baharu.
Tahun 2014, persatuan rock kapak Malaysia anjurkan satu konsert Festival Rock Empire yang menghimpunkan beberapa rock band awal 90-an termasuk band Samudera. Yang menariknya Samudera membawa kembali dua vokalis asal Samudera iaitu Ujang dan EJ dan Ujang pertama kali join show berskala besar bersama-sama rock band yang lain. Ujang yang ketika itu berusia 50 tahun masih berbisa dan all out masa menyanyi. Penonton ikut menyanyi bersama-sama Ujang bila turn Ujang menyanyi lagu-lagu popular Samudera.
Namun pada sekitar tahun 2016, Ujang mengundurkan diri daripada Samudera kerana kesihatan Ujang yang semakin merosot. Ujang minta ahli Samudera yang lain mencari vokalis baharu bagi menggantikan posisinya. Menurut ahli Samudera, Ujang ada penyakit kencing manis.
31 Januari 2017, berita kematian Ujang tular. Ujang tak pernah berkahwin dan hanya tinggal seorang diri di rumahnya. Ada sumber (orang Palong) mengatakan Ujang ada berkawan (awek/ kekasih) dengan seorang perempuan yang lanjut umur juga seperti Ujang dan ada perancangan untuk menikah tapi masih kumpul duit lagi. Sayangnya tak kesampaian.
Ada lagi cerita kurang enak didengar (sumber orang Palong juga) kematian Ujang sebab overdose (dadah/ ketum/ arak). Baca boleh percaya jangan. Menurut ahli Samudera yang lain, punca kematian Ujang kerana jangkitan kuman. Apa pun asbab kematian Ujang, mudah-mudahan kesudahan yang baik untuk Ujang.
Semoga Allah ampunkan dia, rahmati dia, almarhum Sarfen Bin Husin. Al- Fatihah buat almarhum Ujang Samudera.
No comments:
Post a Comment