24 June 2017

Ketupat dan Raya


Assalamualaikum.

     29 Ramadhan 1438. Alhamdulillah. Esok raya dah. Tahun ini buat kali pertama meraikan 1 Syawal di Tenggaroh. Sebelum ni mesti balik kampung rumah atok di Parit Yusof. Atok pun dah tak ada jadi tahun ni mil fil tak mahu balik kampung.

    Semalam pulun anyam ketupat. Yang ketupat bawang tu zauji buat, ketupat pasar aku buat. Boleh kata 90% ketupat aku buat seorang, Hehe. Satu kepuasan bila anyam ketupat ni. Setahun sekali je kan. Walaupun aku pandai anyam ketupat bawang dan ketupat sate, aku lebih suka anyam ketupat pasar sebab bentuknya cantik. Ketupat bawang gemuk. Ketupat sate nipis sangat pula.

    Tak pasti la generasi muda hari ini ramai ke yang pandai anyam ketupat. Aku mula belajar anyam ketupat masa umur 10 tahun kalau tak silap. Abah yang ajar step by step. Terima kasih abah. Dah 22 tahun berlalu kemahiran anyam ketupat masih power. Haha berlagak tak?

    Hari tu dalam Facebook ada orang iklan nak upah orang untuk anyam ketupat. Kalau aku kat JB aku nak je buat. Sebiji upahnya 25sen. Memang sikit je. Tapi kalau aku ambil upah menganyam tu bukan sebab duit, tapi lebih kepada kepuasan diri sendiri. Kata orang nak lepas gian. Sehari aku mampu anyam lebih 100 biji kelonsong ketupat tau. Takde hal punya.

      Walaupun sekarang ni dah banyak jual ketupat segera atau boleh buat nasi himpit je, tapi sesetengah orang Melayu masih mencari ketupat asli yang guna daun kelapa tu. Oldskool. Tak lapuk ditelan zaman. Ini lah tradisi kita orang Melayu yang tak patut dilupakan. Tak raya lah kalau tak ada ketupat. Tak lengkap lah raya kita tanpa ketupat.

     Tapi aku sekadar pandai menganyam ketupat je. Nak isi beras banyak mana aku tak tahu, nak rebus berapa lama pun aku tak tahu. Yang aku tahu tinggal makan je. Heheh. Soon kena belajar juga kot. Errrr...yeke.

    OK guys. Selamat menyambut hari raya esok. Maaf Zahir dan batin. Bye.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...